Fiesta Fesyen KL: Fabrik Mewah Cabar Minda

25 Mar

Oleh Shaidah Shafie
shasha@bharian.com.my


RIZMAN (kanan) dan Wan Ruzaini mendapatkan pandangan Pengarah Eksekutif Euro Moda, Jasleen Kaur, bagi memilih kain yang sesuai untuk digabungkan dengan fabrik songket.

Rizman Ruzaini curah kreativiti hasilkan rekaan berasaskan perincian songket

PELUANG mengadun ilham dengan fabrik tenun seperti songket ternyata menyeronokkan bagi dua pereka, Rizman Nordin dan Wan Ruzaini Wan Jamil yang membangunkan jenama Rizman Ruzaini sebagai rumah fesyen yang bersedia memenuhi cita rasa pelanggan dalam menata gaya serta penampilan.

Meskipun sudah lama membabitkan diri dalam industri yang dianggap glamor itu, kedua-duanya tidak pernah memandang remeh mengenai tanggungjawab berkaitan rekaan busana kerana mereka sebetulnya ingin memberikan yang terbaik kepada pelanggan melalui kepelbagaian fabrik yang ada di pasaran tempatan.

Menyentuh mengenai fabrik, keterujaan kedua-duanya jelas kerana mereka adalah antara 10 pereka fesyen yang terbabit dengan Fiesta Fesyen Kuala Lumpur (FFKL) anjuran Berita Harian (BH) pada 6 dan 7 April di pusat beli-belah One Utama, bandar Utama dan Hotel One World, Petaling Jaya.

FFKL yang mengangkat martabat fabrik tenun dan songket sebagai teras rekaan ternyata menjadi gelanggang hebat bagi kedua-duanya memerah ilham untuk menghasilkan busana indah selaras dengan kehebatan fabrik tenun yang diangkat dalam acara dimaksudkan.

“Kami gembira kerana berpeluang memeriahkan dunia fesyen melalui FFKL anjuran BHSB. Walaupun, sudah ada pengalaman menghasilkan busana, rekaan kami kali ini amat bermakna kerana adanya elemen songket yang diketahui umum berharga dan tinggi nilainya.


Rizman (kiri) dan Ruzaini.

“Justeru, kami cuba menghasilkan rekaan yang bertepatan dengan motif BHSB memartabatkan songket ke persada dunia sekali gus memperluaskan penguasaan songket di kalangan penggiat industri fesyen luar negara,” katanya ketika ditemui di gedung Euro Moda yang juga penaja fabrik untuk FFKL, baru-baru ini.

Rizman dan Wan Ruzaini yang ternyata tidak sabar menyiapkan rekaan berkata, konsep ‘less is more’ yang sering diperkatakan dalam istilah rekaan fesyen turut menjadi panduan untuk mereka memanfaatkan peluang keemasan mencipta busana untuk artis yang akan tampil membuat peragaan di FFKL.

“Untuk rekaan tempatan, mungkin tidak menjadi masalah kalau diselitkan dengan elemen sarat perhiasan, tetapi memandangkan matlamat penganjuran antara lain memartabatkan fabrik songket ke persada dunia melalui acara peragaan, kami berpendapat lebih baik memfokuskan rekaan ke arah cita rasa antarabangsa,” katanya.

Rizman dan Wan Ruzaini yang mengambil inisiatif menyediakan busana untuk penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza, Fasha Sandha, Sariyanti dan Siti Saerah berazam menampilkan persalinan yang boleh menyerlahkan keistimewaan pemakainya selain pada masa sama mengetengahkan keunikan fabrik tenun yang terus diperakui mutu dan nilainya.

“Songket sangat ekslusif seperti kehadirannya yang bermula di Terengganu dan oleh itu,

kami turut memanfaatkan ilham kreativiti ikatan samping yang lazim dipakai orang Melayu dalam penataan busana yang kami hasilkan,” katanya.

Bagi dua pereka itu, dunia fesyen tiada had dan sempadan, lebih-lebih lagi unsur kesenian budaya Melayu sangat jelas dalam kebanyakan perincian membabitkan pemakaian tengkolok, samping, sarung dan persalinan yang masing-masing mempunyai cara tertentu menggayakannya.

“Kami tidak perlu memandang jauh untuk mendapatkan ilham bagi mereka busana untuk FFKL kerana dunia Melayu sendiri kaya dengan falsafah penciptaan yang sangat indah dan penuh misteri.

“Melalui penampilan ini, diharap usaha kami untuk sama-sama membawa songket ke arena yang lebih luas sedikit sebanyak mencetus inspirasi positif kepada penggiat industri fesyen,” katanya.

Sementara itu, antara penenun yang terbabit dalam FFKL ialah Manang Songket, Bibah Songket, Wan Hasnah Songket, Zaidah Songket, Atikah Songket TTDI dan Nur Atikah Songket.

Bagi memeriahkan FFKL, beberapa jenama terkenal tampil menaja acara berprestij itu antaranya Euro Moda yang menaja fabrik, Secret untuk solekan dan dandanan artis serta peragawati, manakala R&R Craft dan Fruitale, penaja cenderamata.

INFO: Rizaman Ruzani

Dipelopori dua pereka, Rizman Nordin dan Wan Ruzaini Wan Jamil.

Pendidikan: Ijazah Sarjana Muda Kepujian (Fesyen) Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam.

Butik Rizman Ruzaini Creations beroperasi pada awal tahun ini.

Terbabit dengan perekaan fesyen sejak dua tahun lalu.

Artis yang pernah menggayakan busana Rizman Ruzaini antaranya Datuk Siti Nurhaliza, Ziana Zain, Erra Fazira, Ning Baizura.

Pencapaian: Terpilih sebagai lapan pereka terbaik untuk Pereka Busana Pengantin Malaysia Great Eastern Mall, peserta akhir pertandingan Jarum Berlian 2003, penerima anugerah busana terbaik Rafflesia 2008 melalui busana diperagakan artis Fazura dan terbabit dengan perekaan busana untuk artis Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH).

Berita Harian

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: