Tiga Jam Bersama Awani Pagi

18 Mar

Oleh Zul Husni Abdul Hamid
zhusni@bharian.com.my


ROZINA, dan Zaiful (duduk) bersama Bakhtiar, Dangsuria serta Faris sebagai teraju utama Awani Pagi.

Slot terbaru bermula 16 Mac papar berita dan maklumat terkini

PAGI yang baru di Awani – itu yang dijanjikan saluran informasi, Astro Awani (saluran Astro 501) yang memperkenalkan program bual bicara, Awani Pagi yang mula disiarkan sejak 16 Mac lalu.

Disiarkan secara langsung selama tiga jam bermula jam 7 pagi, slot Awani Pagi menyajikan penonton dengan berita dan maklumat terkini dan padat menerusi segmen tertentu setiap Isnin hingga Jumaat.

Pengurus Besar Astro Awani, Rozina Aziz berkata, Awani Pagi dipadatkan dengan berita ringkas dan maklumat terbaru yang disampaikan secara santai namun menyegarkan bersesuaian dengan suasana sibuk pada waktu puncak itu.

Slot Awani Pagi katanya, memperlihatkan satu lagi perubahan baru saluran itu selepas 18 bulan beroperasi untuk memenuhi keperluan pelanggan yang inginkan laporan seimbang, terperinci dan tidak memihak serta disampaikan dengan penuh tanggungjawab.

Rozina berkata, dalam usia masih mentah, saluran Awani berjaya mendapat kepercayaan dan pujian peminat atau penonton yang berpuas hati dengan laporan diberikan.

Ini dibuktikan pada laporan musim Pilihan Raya Umum Ke-12, Mac tahun lalu yang mendorong kepada pengenalan program bual bicara khas, Analisis Awani bermula Julai lalu yang memfokus kepada politik dan isu negara.

“Awani Pagi memenuhi keperluan itu dengan menyediakan berita dan maklumat yang diperlukan kepada penonton menerusi laporan mendalam, telus, seimbang serta paparan perbincangan menyeluruh terhadap sesuatu isu,” katanya dalam satu temubual bersama wakil media, baru-baru ini.

Merangkumkan tiga jam siaran itu dengan paparan isu utama, berita terpilih serta tajuk utama akhbar, blog dan laman sesawang.

Penonton juga dilengkapi perkembangan terbaru dari Bilik Berita Awani dengan laporan padat berkaitan pasaran saham dan dunia niaga, sukan, hiburan, kesihatan dan kecantikan.

Tiga segmen istimewa

SEMENTARA itu, Pengarang Input Kanan Astro Awani, Zaiful Ariffin berkata, untuk kemudahan tontonan, Awani Pagi dibahagikan kepada tiga segmen dengan jam pertama siaran menyajikan berita penting dan isu utama untuk memulakan hari.

“Segmen pertama menyediakan lima hingga enam laporan berita tempatan serta antarabangsa, selain interaksi bersama media untuk mendapatkan pandangan mereka mengenai sesuatu isu pada hari siaran.

“Jam kedua pula membincang lebih mendalam serta analisis isu yang berkaitan politik, dunia perniagaan, sukan serta gaya hidup,” katanya.

Tambah Zaiful, jam ketiga pula merangkumkan paparan menarik mengenai isu wanita dan keluarga, kesihatan serta kecantikan selain meninjau prestasi saham seluruh dunia.

Membicarakan mengenai perbezaan Awani Pagi dengan program bual bicara pagi sedia ada, Rozina berkata, fokus mereka lebih terarah kepada berita dan maklumat yang mencetuskan dimensi baru dengan penyampaian santai serta menyegarkan.

“Format tiga perantara yang membawakan berita padat dan tepat, namun memberi keselesaan kepada penonton dengan tajuk berita ringkas dan utama disiarkan kerap kali supaya mereka sentiasa berpeluang mengikuti perkembangan semasa.

“Penonton juga berpeluang memperoleh maklumat mendalam mengenai isu utama yang dikupas, sekali gus pengisian Awani Pagi akan menentukan agenda liputan berita dan hal ehwal semasa sepanjang hari,” katanya.

Awani Pagi dijana gabungan tiga perantara berpengalaman dan baru menampilkan Zaiful disertai penerbit/pengacara, Dangsuria Zainurdin dan wajah baru, Faris Hamid.

“Menjadi tradisi Awani menyatukan nama baru dan berpengalaman sebagai pendedahan serta perkongsian pengalaman untuk memantapkan siaran,” katanya. Awani Pagi juga disertai Bakhtiar Affendi sebagai penyampai berita.

Kenali perantara Awani Pagi:

Zaiful Ariffin:

Pengarang Input Kanan yang bertanggungjawab menyelenggarakan Unit Buletin di Astro Awani. Zaiful juga ialah penyampai berita antarabangsa dan sukan.

Lulusan Pengurusan Perniagaan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM). Berpengalaman 13 tahun dalam bidang penyiaran dan percetakan, Zaiful juga pengacara Undi 2008 pada Mac tahun lalu serta Analisis Khas Awani semasa Pilihan Raya Kecil Permatang Pauh, Ogos lalu.

Dangsuria Zainurdin:

Perantara dan penerbit Wacana Wanita. Dang Suria berpengalaman lebih 10 tahun dalam industri penyiaran.

Berpengalaman menemubual pelbagai lapisan masyarakat dan pernah ditugaskan membuat laporan peperangan Lubnan-Hizbullah pada 2006 dan Kembara Ziarah di Afghanistan.

Menyimpan impian kembali ke Kabul dan Lubnan untuk melihat lebih dekat kehidupan masyarakat di sana.

Faris Hamid

Berusia 23 tahun ini ialah penolong penerbit dan pengacara. Pemegang Diploma Penyiaran dari Institut Integratif Media Malaysia (MIIM) ini pernah memerangi anugerah di Starlight Cinema Short Film Festival.

Turut terbabit dalam pembikinan dokumentari, Shah Rukh Khan: Di Mata Kita yang disiarkan Astro Awani, Februari lalu.

Antara pemegang watak utama dalam penerbitan realiti pelancongan, The Hoppers & Ahli Muzik.

Berita Harian

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: