Belum Sempat Makan Malam Bersama

17 Mar

Oleh Norhadiani Baharom
yanie@hmetro.com.my

Rap
PADA 28 Disember lalu, Felda Taib Andak, Kulai, Johor, mencuri tumpuan ramai apabila penyanyi popular Asmawi Ani (Mawi) melangsungkan perkahwinan dengan Nora’asikin Rahmat (Ekin) dihadiri lebih 20,000 tetamu dan digelar Wedding Of The Year.

Sejarah perkahwinan gemilang itu sekali lagi berulang Sabtu lalu dan kali ini membabitkan persandingan pasangan pelakon Que Haidar, 29, dan koreografer jelita, Linda Jasmine Hashim, 36.

Pasangan beza usia tujuh tahun ini disatukan sebagai suami isteri pada Hari Kekasih bersamaan 14 Februari di Bora Ombak, Ampang diikuti persandingan di lokasi sama pada sebelah malam.

Genap sebulan satu hari disatukan, kini pasangan sepadan itu diraikan pula keluarga Que atau nama sebenarnya, Tengku Iskhan Shah Tengku Haidar dalam majlis sambut menantu di Dewan Serbaguna, Felda Taib Andak (lokasi sama persandingan Mawi-Ekin).

Berbanding majlis Mawi dan Ekin yang berlangsung dalam suasana sesak serta penuh kejutan apabila pengantin dibawa menaiki helikopter, hari bersejarah Que-Linda pula cukup tenang dan serba ringkas tanpa meminggirkan adat istiadat Melayu.

Jika kebanyakan pengantin memilih berarak dengan kereta mewah, Que dan Linda sepakat mengabadikan memori perkahwinan mereka dengan menaiki beca berhias setibanya di pekarangan dewan kira-kira jam 2 petang.

Que berkata, idea menaiki beca itu kerana dia mahukan sebuah majlis perkahwinan ‘ala kampung’ sekali gus mengembalikan suasana adat perkahwinan penuh tradisi.

“Perkahwinan ala kampung adalah perkahwinan impian saya kerana suasananya cukup meriah. Setiap kali berlangsungnya majlis perkahwinan, penduduk setempat akan bergotong-royong mengadakan majlis rewang.

“Justeru, pada mesyuarat yang sempat dihadiri dua kali, saya memaklumkan kepada ahli jawatan kuasa yang terbabit mengenai majlis perkahwinan impian saya dan memberi idea berarak ke dewan menaiki beca.

“Saya rasa ia satu detik yang sangat menarik juga sekali gus memberi pengalaman baru buat isteri tapi saya serahkan segalanya kepada keluarga dan orang kampung menyusun atur acaranya,” katanya.

 

 

Pelakon drama bersiri, Cinta Untuk Ain bersama Nabila Huda ini melahirkan kelegaan apabila majlis perkahwinan mereka selesai dengan sempurna tanpa sebarang masalah.

“Alhamdulillah, saya berasa sangat lega sekarang kerana kedua-dua majlis sudah selesai dan atur cara pada hari ini berjalan dengan lancar seperti diharapkan.

“Walaupun sebelah petang hujan, ia tidak sedikit pun merencatkan majlis. Saya akui sedikit penat tetapi ia amat berbaloi.

“Kesempatan ini saya mengucapkan terima kasih kepada penduduk Felda Taib Andak yang bertungkus-lumus mengaturkan majlis bersejarah untuk saya, isteri dan keluarga. Khususnya kepada Juz Zarith yang bertindak sebagai perancang majlis.

“Tidak dilupakan AZ Studio & Bridal yang menaja pelamin dan meja santapan pengantin serta tetamu, Zuwein Bridal kerana sudi menghias kamar pengantin serta pelamin untuk memotong kek serta semua terbabit yang tidak dapat saya sebutkan di sini. Hanya Yang Maha Esa saja dapat membalas jasa baik mereka,” katanya.

Manakala, Linda yang kelihatan jelita dengan persalinan mewah serta solekan rapi Tiar Zainal gembira dan terharu dapat bertemu peminat, penduduk termasuk kakak kesayangannya, Susanne Mazlin Hashim, yang datang jauh dari Amerika Syarikat.

“Ketika majlis pernikahan dan persandingan saya di Kuala Lumpur pada 14 Februari lalu, kakak tidak dapat hadir. Justeru, kehadirannya di majlis persandingan ini cukup bermakna dan saya berasa amat terharu kerana kesudiannya datang bersama anak walaupun terpaksa menempuh penerbangan lebih satu hari dari Amerika Syarikat.

“Malah, keluarga juga gembira dapat meraikan majlis ini dan secara peribadi saya amat terharu dengan kerjasama diberikan orang kampung dalam memastikan ia berjalan lancar seperti dirancang,” katanya.

Merancang berbulan madu di Los Angeles, Amerika Mei ini, Que yang sedang mempertimbangkan beberapa tawaran menarik drama dan filem akan bersama isteri serta anak tirinya, Qalif Khan, 8, (anak hasil perkahwinan terdahulu Linda) menikmati percutian indah di negara itu. Kesempatan di sana digunakan untuk bertemu kakak Linda.

Mengenai perubahan hidup mereka selepas berkahwin, Que mengakui setiap harinya lebih terisi dan sungguh bermakna. Katanya, perasaannya kini sangat gembira dan bahagia kerana segalanya lebih terurus dan hati senang.

“Sebulan mendirikan rumah tangga, Linda yang saya kenali masih sama cuma sekarang saya dapat rasakan cinta dan kasih sayangnya semakin menebal dan ia terserlah dari caranya melayani saya dan sikap ambil beratnya,” katanya.

Sama seperti Que, Linda juga merasai perasaan yang sama cuma akuinya sejak mereka diijabkabulkan, belum sempat memasak untuk suami tercinta kerana Que sibuk di lokasi penggambaran.

“Kami belum sempat makan malam bersama kerana seharian dia sibuk di lokasi penggambaran. Pun begitu, perkahwinan ini membuatkan kasih sayang antara kami bertambah erat dan sepakat dalam segala hal,” katanya.

Serba sedikit rentetan perjalanan majlis, Que yang tampak segak manakala Linda menawan persis bidadari dengan persalinan rona emas sentuhan Datin Sharifah Kirana melangkah ke dewan tepat jam 2.15 petang sambil beriringan tangan menuju ke pelamin yang dihias indah bunga hidup.

Dimulakan dengan bacaan doa acara digamatkan lagi dengan persembahan zapin selamat datang yang dipersembahankan Kirana Dancers Studio.

Kemudian acara dimulakan dengan adat istiadat menepung tawar yang disempurnakan keluarga kedua-dua pihak. Antaranya, ibu Linda, Datin Kay Hashim. Diikuti upacara makan beradab seterusnya memotong pulut kuning dan sesi beramah mesra dengan peminat serta penduduk kampung.

Ketika upacara memotong pulut kuning dilaksanakan, mempelai mengenakan persalinan ala Inggeris warna putih gading rekaan Calvin Thoo sebelum menukar pakaian rona hijau disediakan AZ Studio Bridal House Sdn Bhd untuk sesi bertemu peminat.

Majlis yang dimulakan sejak 11 pagi itu berakhir kira-kira jam 5 petang menyaksikan kehadiran hampir 5,000 tetamu termasuk 26 ahli keluarga kerabat diraja Kedah (keluarga Que) serta 20 rombongan pihak perempuan.

Beberapa artis tempatan turut kelihatan antaranya Amy Search yang hadir bersama isterinya, Norhasniza Hassan (Norish), Adlin Aman Ramlie dan tunangnya, Emelda Rosmila serta sepupu Linda, Jeslina Hashim.

Harian Metro

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: