ABPBH 2008: Masih Berbulan Madu

17 Mar

Oleh Nurulhisham Abdul Latiff
nurul@bharian.com.my

Maya Karin belum tergesa-gesa untuk mendapatkan zuriat kerana mahu mengecapi nikmat hidup berdua bersama suami

BAGI sesetengah orang, memasuki gerbang perkahwinan bagaikan melangkah ke dunia yang cukup asing. Apatah lagi apabila lelaki atau wanita yang menjadi teman hidup itu belum cukup dikenali. Lalu, terpaksalah kehidupan diubah suai sedikit demi sedikit bagi memberikan ruang keselesaan untuk kedua-dua insan yang kini bergelar suami isteri.

Aktres berbakat besar, Maya Karin juga tidak terlepas daripada berasakan tempias kehidupan berumah tangga. Begitupun, percikan itu cuma sedikit apabila dia dan suami, Muhammad Ali Abdullah, 38 atau Steven David Shorthose sudah saling mengenali sejak kira-kira tujuh tahun lalu.

Justeru, proses menyesuaikan diri antara kedua-duanya tidak perlu bermula sedari peringkat awal.

“Entahlah, saya sendiri sukar untuk menjelaskan bagaimana kehidupan berumah tangga sebenarnya. Paling mudah, hidup berumah tangga ialah kehidupan bersama. Ia sedikit berbeza daripada kehidupan sewaktu solo dulu kerana kini, saya sudah bersuami yang tinggal bersama-sama,” katanya sambil ketawa kecil.

Menurut Maya, aktiviti domestik seperti memasak, mencuci pakaian, mengemas rumah dan sebagainya sudah biasa dilakukan sejak dulu lagi. Semua itu diteruskannya sesudah bergelar isteri dan dia sendiri tidak pun kekok untuk melaksanakannya.

Maya tidak berasakan kehidupan berumah tangga amat jauh berbeza daripada kehidupannya ketika masih bujang, selain sedikit penyesuaian yang perlu dilakukan kedua-dua insan terbabit.

“Hidup kami berdua cukup sederhana, ada pasang dan surutnya. Apabila kami bergaduh, umpamanya, macam-macam cara dilakukan bagi meredakan kemarahan. Maklumlah, kami berdua adalah daripada jenis “api”.

“Ada kala kami tidak bercakap seketika, ada masanya terus berbaik saja. Ada saatnya pula kami akan menjelaskan mengapa kami berasa marah kemudiannya,” cerita Maya.

Sebagaimana pasangan lain, tentu sekali Maya juga tidak terkecuali daripada mengalami saat sedemikian, namun seboleh-bolehnya dia tidak cuba memanjangkan perselisihan faham demi keharmonian mahligai dibina.

Diam tak diam, sudah tujuh bulan pelakon ini melayari kehidupan sebagai isteri. Begitupun, dek komitmen pada kerja, belum cukup rasanya waktu berharga dihabiskan bersama suami tercinta. Atas kesedaran itu, dia teringin sekali untuk pergi jauh bercuti bersama Steven sekiranya ruang untuk berbuat demikian tiba.

Pasangan itu juga belum berasakan perlunya kehadiran anak-anak dalam hidup mereka ketika ini. Paling tidak, saat manis suami-isteri ingin dinikmati sepenuhnya terlebih dulu. Apabila masanya hadir nanti, pastinya Maya dan suami merindui tangisan bayi yang seterusnya menjadi pengikat kasih.

“Setakat ini, kami selesa hidup berdua. Saya berharap, masyarakat tidak salah faham apabila kami tidak menginginkan anak buat masa sekarang. Lagipun, bukanlah satu dosa untuk menangguhkan dulu kehadiran cahaya mata. Apabila semuanya sudah stabil nanti, insya-Allah anak kecil akan kami timang juga.

“Saya sendiri sebenarnya sukakan kanak-kanak dan sememangnya mahukan anak sendiri. Saya teringin sekali melihat anak-anak saya membesar dan berkawan dengan anak adik-adik saya. Sehingga tiba saat itu, saya kenalah tunggu sampai mereka berkahwin dulu,”ῠujar Maya sambil menguntum senyuman.

Akui pelakon jelita ini, dia mengimpikan sebuah keluarga yang besar. Lebih-lebih lagi apabila suasana meraikan perayaan Aidilfitri secara beramai-ramai sebagaimana keluarga Melayu lain tidak pernah dialami aktres ini.

Kerana itu, dia amat berharap zuriatnya kelak akan melahirkan anak yang ramai, supaya apabila sudah berusia nanti, dapat juga dia berasakan suasana meriah Hari raya apabila anak cucu berkumpul beramai-ramai menyambutnya.

Sebuah filem setahun

PADA tahun ini, peminat Maya Karin akan dapat menyaksikan aksinya sebagai gadis gedik dalam Pisau Cukur, yang dilakonkan bersama, Nur Fazura. Filem terbabit diarahkan pengarah muda, Bernard Chauly.

“Nampaknya, pada tahun ini, saya hanya muncul dalam sebuah judul, sebagaimana tahun lalu (Duyung). Begitupun, bukan bermakna saya banyak menghabiskan masa begitu saja. Sebaliknya, banyak kerja yang saya lakukan di sebalik tabir. Ada beberapa projek televisyen yang sedang saya usahakan, di samping penerbitan album yang kini berterusan.

“Pada April nanti, saya mempunyai sebuah projek yang cukup istimewa. Namun, saya minta maaf kerana saya tidak boleh mendedahkannya sekarang. Pada dasarnya, saya terus bekerja dan akan kencang mencari rezeki dalam bidang seni sehingga lapan atau 10 tahun lagi,” cerita Maya yang turut muncul sebagai bintang undangan dalam filem indie, Punggok Rindukan Bulan, pada tahun lalu.

Menyentuh mengenai tawaran berlakon yang diterima, Maya memberitahu, ketika ini ada lima skrip yang diserahkan kepadanya untuk penilaian. Filem terbabit pula dalam pelbagai genre – komedi, kisah cinta dan epik.

“Masalahnya, kesemua filem itu bakal menjalani penggambaran dalam masa yang lebih kurang sama. Maknanya, saya tidak boleh menerima lebih daripada dua judul. Jika saya menerima dua daripada lima tawaran berkenaan, sekurang-kurangnya saya boleh melakonkan sebuah filem sebulan,” ujarnya.

Kenangan indah ABPBH

PADA 12 April ini, acara yang ditunggu-tunggu ramai, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008 akan berlangsung di Arena of Stars Genting Highlands. Pada majlis anugerah terbabit, Maya Karin antara selebriti yang bakal menceriakan suasana setelah namanya turut dicalonkan buat kali kelima pada peringkat akhir.

Kali ini, Maya bersaing sekali lagi dalam kategori Pelakon Filem Wanita Popular. Calon lain yang turut berentap merebut trofi idaman ramai itu ialah Erra Fazira, Vanidah Imran, Sharifah Amani dan Liyana Jasmay.

“Saya masih ingat saat kemenangan saya dulu (ABPBH2005 – Pelakon Filem Wanita Popular; ABPBH2001 – Artis Baru Popular). Apabila nama diumumkan sebagai pemenang, saya berasa bagai di awan-awangan. Masa itu, jerit-pekik peminat di bawah pentas bagai sudah tidak didengar lagi, yang terlintas di hati hanyalah doa semoga kaki saya tidak tersandung atau terjatuh,” katanya.

Sehingga sekarang, Maya masih dapat mendengar gemuruh jeritan peminat yang memenuhi arena di kota keriangan berkenaan. Semuanya masih terngiang-ngiang di kepala pelakon ini.

ABPBH baginya satu acara yang memang ditunggu-tunggu, bukan saja oleh golongan selebriti, malah seluruh peminat industri hiburan tanah air. Selama berbulan-bulan sebelum acara kemuncak berlangsung, orang ramai sudah pun berbicara mengenai majlis anugerah berprestij itu.

“Saya sendiri terpaksa melakukan persiapan beberapa bulan lebih awal, untuk memastikan segala-gala berjalan dengan baik apabila tiba acara sebenar. Bukan saja soal pakaian yang hendak difikirkan, malah hal berkaitan logistik juga hendaklah diambil berat,”ῠkata Maya yang mengaku, detik keputusan kategorinya hendak diumumkan ialah saat yang paling ‘tidak disukainya’ pada anugerah terbabit.

Kata Maya, ABPBH amat bermakna kerana ia menghimpunkan selebriti daripada pelbagai bidang – lakonan filem dan TV, nyanyian, pengacaraan TV dan penyampaian radio. Semuanya berkumpul di bawah satu bumbung untuk sama-sama memartabatkan lagi dunia seni negara.

Info: Filem lakonan Maya Karin

Pisau Cukur (2009) watak Bella

Punggok Rindukan Bulan (2008) watak Umi

Duyung (2008) watak Puteri

Anak halal (2007) watak Jo

1957: Hati Malaya (2007) watak Salmi/Normala

Waris Jari Hantu (2007) watak Tina

Pontianak Harum Sundal Malam 2 (2005) watak Maria / Meriam / Pontianak

Pontianak Harum Sundal Malam (2004) watak Meriam / Maria

No Problem (2001) watak Rosnah

Seri Dewi Malam (2001) watak Seri

Berita Harian

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: