Suram Seri Pengantin Aida

14 Mar

Oleh FIRDAUS SAHAT
firdaussahat@hmetro.com.my

Rap

TURUN naik tangga stesen televisyen tempatan sudah menjadi lumrah buatnya. Memandangkan syarikat produksinya, Cintakasih Productions Sdn Bhd ditubuhkan dua tahun lalu, bukan mudah baginya mendapatkan projek, lebih-lebih lagi masih ramai belum percaya kemampuan pelakon ini menguruskan syarikat berkenaan.

Namun, Aida Aris percaya rezeki itu ketentuan Tuhan Yang Maha Pemurah. Di mana ada usaha, pasti ada jalan yang terbuka untuknya.

Ketika mula-mula menubuhkan syarikat berkenaan, Aida mengakui memang sukar mendapatkan projek menerbitkan drama untuk stesen televisyen tempatan.

Begitupun, tanpa mengenal erti jemu, syarikat yang dibina bersama buah hatinya, Zul Handy Black, akhirnya berpeluang menerbitkan telefilem pertamanya berjudul Tercipta Untukku.

“Selepas menubuhkan syarikat ini, saya menunggu hampir setahun untuk mendapatkan projek pertama. Alhamdulillah, selepas berjaya meyakinkan stesen televisyen berkenaan, Cintakasih Productions akhirnya berjaya membina tapak dalam dunia seni ini.

“Sebenarnya, projek pertama berkenaan memang ditunggu-tunggu. Biasalah, sebagai syarikat yang baru ditubuhkan, memang payah untuk meyakinkan stesen penyiaran kita,” katanya.

Tambah Aida, telefilem berkenaan berjaya membuka mata banyak pihak. Sekalipun tidak banyak peluang diperoleh, rezeki masih tidak putus.

“Untuk tahun ini, saya berjaya meyakinkan TV3. Malah, baru-baru ini syarikat saya baru menamatkan penggambaran telefilem berjudul Suram Seri Pengantin untuk tayangan dalam masa terdekat ini. Alhamdulillah, walaupun tidak banyak projek baru buat masa ini, saya percaya syarikat ini masih boleh bergerak perlahan-lahan.

“Lagipun, saya menubuhkan syarikat ini berdasarkan minat yang terbina sejak memulakan karier lakonan dan bukan berdasarkan pengalaman. Banyak yang perlu saya pelajari mengenai kerja di belakang tabir ini.

“Begitupun, saya percaya dengan dibantu tenaga kerja yang lebih berpengalaman, insya-Allah apa yang saya lakukan ini mampu bertahan. Yang penting adalah usaha dan cara terbaik menjalankannya. Apapun, saya perlu belajar selok-belok apa yang patut dibuat. Bagaimanapun, dengan dua projek itu, setidak-tidaknya produksi kami sudah mula mencipta pengalaman,” tutur Aida.

 

 

Menurut Aida atau nama sebenarnya Siti Rohaida Mat Aris, selain bergelar produser, dia turut membintangi telefilem berkenaan. Menariknya, Suram Seri Pengantin bukan drama biasa yang sering dipaparkan di kaca TV. Sebaliknya, cerita berkonsepkan drama ini memberi banyak pengajaran kepada penonton, mahupun dirinya sendiri.

“Dalam cerita ini, saya memegang watak Yuhanis, pelacur dan juga penagih dadah. Dalam masa sama, saya turut mengandung anak luar nikah. Begitupun, cerita ini mengisahkan nasib anak Yuhanis yang turut sama dijangkiti HIV positif ketika dalam kandungan.

“Selepas beberapa tahun, Yuhanis yang akan berkahwin tidak lama lagi menyedari dia menghidap penyakit berkenaan. Terkejut dengan apa dialaminya, Yuhanis membatalkan perkahwinannya dan mula mencari identitinya yang sebenar. Dalam masa sama, Yuhanis mencari sebab mengapa dia dijangkiti penyakit itu.

“Ia sebuah cerita yang rumit dan penuh dengan pengajaran. Tambah menarik, Fairuz Loy selaku pengarahnya tahu apa yang dia dan penonton mahukan. Dalam masa sama, telefilem bercorak artistik ini pasti dapat menarik perhatian penonton,” katanya.

Tambah Aida, cerita seperti ini jarang ditonton di layar kaca. Malah, cerita yang menitikberatkan soal keagamaan dan teladan seperti ini bukan setakat menghibur, tetapi turut memberi pengajaran kepada penonton dalam meneruskan kehidupan.

“Lebih menarik, telefilem ini turut dibintangi pelakon seperti Fasha Sandha, Aida Razwill, Ako Mustapha dan Vanidah Imran. Telefilem ini akan disiarkan selama satu jam sebanyak 13 episod,” katanya.

Meskipun kerjaya semakin berkembang, Aida tetap tidak akan meninggalkan bidang lakonan. Selain berlakon dalam ceritanya sendiri, Aida masih menerima tawaran daripada produksi lain.

“Saya belum terfikir mahu berhenti bergelar pelakon. Lagipun, dunia lakonan adalah minat utama saya. Malah, menerusi bidang ini saya dapat mempelajari banyak perkara mengenai dunia belakang tabir.

“Begitupun, saya tidak pernah meletakkan sesuatu tempoh dalam kerjaya ini. Saya akan meneruskan lakonan selagi termampu dan begitu juga di sebalik tabir,” kata pelakon berusia 36 tahun ini.

Harian Metro

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: