Jejak Warisan Pulau Mutiara

12 Mar

Oleh Syah Rul Aswari Abdullah
srul@hmetro.com.my

Menjejak sejarah Pulau Pinang yang diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia tidak lengkap jika tidak singgah di Fort Cornwallis, kota pertahanan dan pusat pentadbiran yang binaan asalnya dikatakan menggunakan batang nibung

KEPINGAN papan yang menjadi pelantar pejalan kaki sudah agak lusuh, tetapi untuk penghuni perkampungan air berdekatan pusat bandar Georgetown, Pulau Pinang, ia menyimpan sejarah panjang menjangkau hampir 150 tahun.

Rumah pertama dibina pada 1860-an oleh pemuda dari wilayah Fujian, China yang merantau untuk berkerja sebagai kuli di Pulau Pinang yang ketika itu berkembang maju sebagai pelabuhan selepas dibuka Kapten Francis Light pada 1786.

Sejak itu, ia berkembang kepada beberapa perkampungan air menempatkan sebilangan puak hidup harmoni dalam koloni masing-masing iaitu jeti Chew (paling besar), jeti Lee, Tan dan Yeoh.

 

 

Kini, penempatan di kawasan dikenali sebagai Weld Quay menjadi antara tarikan sejajar dengan pengiktirafan Pulau Pinang sebagai Tapak Warisan Dunia oleh Pertubuhan Kebudayaan, Saintifik dan Pendidikan Sedunia (Unesco), pada 7 Julai tahun lalu.

Jejak warisan di Pulau Mutiara ini bagaimanapun, tidak akan lengkap jika tidak singgah di Fort Cornwallis, kota pertahanan dan pusat pentadbiran yang binaan asalnya dikatakan menggunakan batang nibung pada 1786.

Tiga tahun kemudian, ia dibina semula bagi memenuhi keperluan sebagai pusat pentadbiran dan pangkalan tentera sejajar dengan perkembangan kuasa empayar British di rantau ini.

Sejarahnya, seperti yang dapat dihayati di galeri pameran, berkait rapat dengan usaha pemodenan pulau ini. Selain menempatkan gereja kecil, ia juga menempatkan rumah api – uniknya, di tengah pusat bandar dan masih berkhidmat sebagai panduan arah kepada kapal dagang.

Catatan penting yang tidak boleh dipinggirkan mengenai kota di Jalan Tun Syed Sheh Barakabah ini adalah kisah menarik mengenai meriam bernama Seri Rambai, yang dikatakan bermula sejak 1603.

Asalnya, Belanda menghadiahkan meriam ini kepada Sultan Johor, tetapi ia dibawa ke Acheh, Indonesia dan kemudian diletakkan di Kuala Selangor. Pada 1871, ia dirampas oleh British dan diletakkan di lokasi sedia ada iaitu satu sudut kota itu.

Menghala ke pusat bandar, pengunjung dibawa menghayati keindahan bangunan warisan kolonial dengan seni bina Anglo-India dengan pengaruh reka bentuk Cina. Perluasan kuasa Inggeris dan perkembangan pulau ini juga menarik kedatangan pedagang dari serata dunia.

Pelbagai nama jalan utama membuktikan penempatan awal masyarakat pelbagai bangsa. Orang Eropah ditempatkan di Lebuh Light, keturunan Serani (Lebuh Bishop), pedagang Cina (Lebuh China), pedagang India (Lebuh Chulia) dan pedagang Aceh (Lebuh Aceh).

Pendatang dari wilayah India Selatan dikatakan membina deretan rumah kedai sepanjang Jalan Chulia (dulu dikenali sebagai Malabar Street), King Street and Queen Street, kawasan yang kini tersohor dengan jolokan Little India.

Pulau ini juga menjadi transit untuk pedagang yang ingin belayar ke India dan Timur Tengah. Masjid Kapitan Keling umpamanya, menjadi tempat berhimpun jemaah haji dari Tanah Melayu, Thailand dan Sumatera sebelum berangkat ke Mekah dengan kapal laut.

Lebuh Armenian dan Lebuh Acheh pula menyimpan sejarah dan gaya hidup glamor golongan atasan suatu ketika dulu. Hartawan terkemuka, Syed Alatas yang menemui kekayaan dengan perdagangan antara Pulau Pinang dan Acheh pernah mendiami banglo dua tingkat di Lebuh Acheh.

Jalan sama turut menempatkan Masjid Melayu Lebuh Acheh, manakala Lebuh Armenian pula mendapat namanya daripada warga Armenia berketurunan Yahudi, Sarkies, yang bertanggungjawab membuka hotel The Eastern & Oriental yang amat popular sekitar 1920-an.

Pertembungan Timur dan Barat dapat disaksikan dengan jelas jika anda singgah ke Muzium Peranakan Pulau Pinang di Jalan Gereja. Menariknya, pemilik rumah agam ini adalah Kapitan Chung Keng Kwee, ketua puak Hai San, yang terbabit dalam Perang Larut antara 1860-an dan 1884.

Walaupun bukan berasal daripada keturunan Baba hartawan yang meraih kekayaan hasil perlombongan bijih timah di Perak ini membina rumah yang sarat dengan jiwa Peranakan ini pada abad ke-19.

Pengunjung dapat menyaksikan pakaian, perabot dan pinggan mangkuk yang digunakan bagi menggambarkan kedudukan ahli keluarga masyarakat atasan ketika itu. Malah, rumah itu turut menempatkan koleksi kebaya dan kuil untuk acara keagamaan keluarga besar ini.

Kongsi Khoo berusia lebih 100 tahun di Lebuh Cannon pula membawa pengunjung mengembara ke Dinasti Ching dengan reka bentuk bangunannya seperti perkampungan Cina pada abad ke-19. Kuil dalam kongsi ini pernah diabadikan dalam satu babak filem Hollywood, lakonan Jodie Foster pada 1999.

Menariknya, kompleks kediaman yang dilengkapi pentas opera, rumah kedai, pejabat pentadbiran ini juga mempunyai pertalian dengan tokoh perniagaan terkemuka negara termasuk Tan Sri Francis Yeoh dan aktres antarabangsa, Datuk Michelle Yeoh.

INFO

>Tapak Warisan Dunia meliputi bangunan bersejarah di Lebuh Acheh, Masjid Melayu Lebuh Acheh,

Masjid Jalan Mesjid Kapitan Keling, Goddess of Mercy Temple, Kuil Mariamman Temple, Kongsi Khoo, Gereja St George dan Assumption Church.

>Selain itu, St Xavier’s Institution, Convent Light Street, Little India, muzium dan mahkamah, bangunan komersil sepanjang Beach Street, Fort Cornwallis, Esplanade, City Hall dan perkampungan air di Weld Quay.

>Jejak warisan Pulau Pinang mengambil masa antara dua dan tiga jam. Selain menghayati bangunan warisan, pengunjung boleh mencuri masa untuk mengunjungi kedai di sepanjang Jalan Masjid Kapitan Keling sehingga ke Lebuh Pasar.

>Selain hidangan nasi kandar, pastikan anda singgah untuk menikmati rojak pasembor dan laksa di medan selera berhampiran dengan Esplanade atau gerai penjaja di Gurney Drive.

* Kunjungan wartawan dari ibu kota ke Pulau Pinang diaturkan oleh Tourism Malaysia sempena dengan Zoom Travel Fair 2009.

RUJUKAN PERCUTIAN
Tourism Malaysia
Tel : 03-2615 8188
Faks: 03-2693 5884 / 2693 0207
Talian Pelancongan: 1-300-88-5050
Emel: enquiries@tourism.gov.my
http://www.tourism.gov.my

Harian Metro

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: