Bintang Idola Berita Harian: Tuah Gadis Tinggi Lampai

11 Mar

Oleh Serimah Mohd Sallehuddin | Gambar: Ihsan Persatuan Akademi Industri dan Muzik


PESERTA Bintang Idola Berita Harian bergambar kenangan dengan sekretariat ABPBH 2008 selepas pertandingan di Pasir Gudang.

Farlyana Mohamad yang pernah menganggotai kumpulan South Trio dinobatkan sebagai juara di Pasir Gudang

PENGALAMAN yang ditimba dari program realiti Gang Starz 2 tahun lalu barangkali memberi sedikit kelebihan kepada gadis berusia 16 tahun, Farlyana Mohamad untuk mempamerkan kekuatannya apabila namanya diangkat sebagai johan Bintang Idola Berita Harian (BIBH) edisi Pasir Gudang, Ahad lalu.

Gadis yang pernah menganggotai kumpulan South Trio itu memukau juri dengan kelantangan vokalnya tatkala mendendangkan lagu milik Agnes Monica, Matahariku. Kemenangan itu sekali gus melayakkan Farlyana membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM500, barangan kemas tajaan Rafflesia The Pearl Centre bernilai RM1,000 berserta sijil.

Gadis yang menetap di Bandar Sri Alam itu berkata, dia memilih lagu milik penyanyi dari seberang itu untuk menonjolkan kekuatan vokalnya di samping populariti lagu berkenaan.

Farlyana yang mula mengikuti pertandingan nyanyian sejak berusia 4 tahun menyertai BIBH atas saranan ibunya. Biarpun pernah menimba pengalaman lebih besar di kaca televisyen, bagi Farlyana bukanlah sesuatu yang memalukan menyertai pertandingan seperti BIBH.

Sebaliknya dia menganggap pertandingan ini cukup istimewa kerana memberi peluang kepada mereka yang bergelar juara antara juara untuk beraksi di pentas Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008 yang cukup berprestij.


Farlyana Mohamad

“Saya tidak akan jemu menyertai pertandingan nyanyian sehinggalah saya mencapai impian yang dimahukan. Saya menyertai BIBH tentulah dengan harapan untuk menang tetapi saya tidak berasakan diri saya istimewa atau mempunyai kelebihan daripada rakan-rakan lain hanya kerana pernah menyertai Gang Starz.

“Bagi saya pengalaman kami semua sama, kekuatan vokal kami juga setara. Saya masih lagi perlu banyak belajar. Kritikan yang juri berikan tadi saya terima dengan positif dan akan cuba saya perbaiki lagi,” katanya yang akan berlatih bersungguh-sungguh untuk menghadapi pertandingan antara juara yang bakal diadakan 5 April depan di Klang Parade.

Pertandingan BIBH yang diadakan di Kompleks Pusat Bandar Pasir Gudang, lokasi sama siri jelajah ABPBH 2008 diadakan itu menerima sebanyak 75 penyertaan. Pertandingan peringkat akhirnya diadili oleh Pengarang Hiburan Berita Harian merangkap Pengerusi Pengelola ABPBH, Hanizam Abdullah; wartawan murai.com.my, Haswari Ali dan pemain gitar kumpulan Sweet Charity, Rosli Mohalim.

Haswari yang ditemui berkata, peserta Pasir Gudang kurang kepelbagaian, namun mereka mempunyai kelebihan dari sudut vokal.

“Peserta di Pasir Gudang kurang kepelbagaian mungkin disebabkan ramai sudah terdedah kepada uji bakat program realiti dan mereka lebih berminat menyertai program sedemikian. Bagaimanapun menilai dari sudut vokal, kebanyakan daripada mereka memiliki vokal yang baik,” katanya.

Pemenang tempat kedua yang juga jatuh kepada gadis remaja, Sharifah Shahira Syed Abdul Malik, 15, yang bersekolah di Taman Tun Aminah, Skudai berkata, dia menyertai pertandingan ini atas dorongan rakan-rakan sekolah yang mengetahui mengenai BIBH.

Mendendangkan lagu milik penyanyi Ziana Zain, Bersama Akhirnya, gadis ini berkata dia tidak memandang nilai hadiah yang ditawarkan sebaliknya hanya mahu menunjukkan bakatnya kepada orang ramai.

“Saya tidak sangka boleh mendapat tempat kedua daripada 75 orang yang menyertai pertandingan ini. Saya menyertai pertandingan ini hanyalah sekadar untuk melatih diri. Namun saya belajar dari kesilapan dan akan cuba menyanyikan lagu lain pada masa hadapan,” katanya yang mula menyanyi sejak usia 6 tahun.

Dengan kemenangan itu, Sharifah Shahira membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM 300 berserta sijil dan hadiah lain.

Kerani di Taman Teknologi Malaysia, Muhammad Irwan Othman, 24, tidak menyangka kepulangannya ke Johor untuk menjenguk isteri dan dua anak berusia 3 tahun dan anak keduanya 3 bulan membawa tuah kepadanya.

Katanya, dia terharu dengan dorongan isterinya dan tanpa pengetahuannya, isterinya terlebih dulu sudah mengumpul 10 keratan logo Berita Harian yang menjadi syarat untuk penyertaan.

“Sebenarnya pada pertandingan akhir ini keyakinan diri saya kurang kerana tidak berapa sihat. Saya tidak sangka lagu Harapan milik Fazli Zainal yang sering saya bawakan sebelum ini dalam mana-mana pertandingan membawa rezeki kepada saya,” katanya yang membawa pulang wang tunai bernilai RM 200.

Hadiah kepada peserta pertandingan akhir disampaikan oleh Pengerusi Jelajah ABPBH 2008, Shamsaini Salim.

Berita Harian

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: