Tragedi Lesen Terbang

28 Feb

Oleh Fudzail

Ini Dubai, Bukan KL

“Mahalnya belanja untuk ambil lesen kereta!”

Mat Ju terpinga-pinga.

“Sampai empat ribu dirham?”

Mat Jar ketawa. Reaksi biasa daripada pendatang baru ke bumi Dubai. Memang sesuatu yang biasa untuk terkedu apabila mendengar jumlah besar sebegitu hanya untuk mendapatkan sekeping lesen memandu.

Mat Ju masih menggeleng-geleng kepala. Fikirannya berkecamuk. Dia baru seminggu tiba di Dubai dan masih tinggal di hotel yang disediakan majikan. Visa pemastautin pun belum dicop di pasport. Masih dalam proses di Jabatan Imigresen Dubai. Masih bertaraf pendatang asing tanpa izin.

“Lesen Malaysia tidak laku macam lesen Singapura di sini. Kalau lesen memandu Singapura terus boleh ditukar dengan lesen Dubai. Macam juga kalau kau rakyat UK, USA, Australia, New Zealand dan negara-negara orang putih yang dikatakan negara maju dan mempunyai lesen memandu negara-negara tersebut!”

“Kenapa lesen memandu Singapura boleh ditukar dan kenapa lesen memandu Malaysia tidak diterima? Bukankah kedua-duanya memandu di sebelah kanan dan mewarisi sistem British? Bukankah Singapura dulu pun di bawah Malaysia?”

Mat Ju terus bertanya untuk memuaskan hati yang masih panas dengan isu Batu Putih. Lagipun, dia sudah merancang mahu membeli sebuah kereta mewah sport yang lama diidamkan sejak di bangku sekolah. Sesuatu yang tidak mungkin kalau dia masih bekerja di tanah air melainkan dia menang loteri atau empat nombor ekor.

Harga kereta memang murah di Dubai. Harga petrol juga masih jauh lebih murah walau harga petrol dunia telah meningkat. Bertuah juga Mat Ju untuk datang bekerja di Dubai sebaik harga petrol naik sebanyak 40% di tanah air. Terlepas daripada krisis yang membuatkan ramai gelisah kerana terpaksa mengubah gaya hidup.

“Itu kena tanya Lembaga Jalan Raya dan Pengangkutan Dubai atau RTA. Kau juga kena tahu yang bukan mudah untuk lulus ujian memandu kenderaan di sini. Kau kena ambil dalam minimum 20 jam kelas latihan dan ramai yang kecundang buat kali pertama. Majoriti gagal sehingga ujian ketiga!”

Bertambah murung hati Mat Ju mendengar cerita Mat Jar yang sudah tiga tahun menjadi ekspatriat di Dubai. Bekerja sebagai jurutera komunikasi di sebuah syarikat multinasional. Sudah bertaraf otai di kalangan ramai ekspatriat baru dari Malaysia yang semakin bertambah ramai dengan peluang pekerjaan yang banyak. Pembangunan pesat Dubai terus pesat dan dengan 90 peratus tenaga kerja dari luar, rakyat Malaysia juga semakin ramai mencari rezeki dalam pelbagai bidang, terutama industri penerbangan, perhotelan dan pembinaan.

“Begitu susah mahu lulus?”

“Ya, susah sekali, aku pun kena ambil dua kali ujian. Kau tahu, ramai ekspatriat lain dari India, Pakistan, Filipina, Bangladesh, Afghanistan sampai berpuluh kali. Memang lebih susah daripada ambil Phd! Bertuah kalau kau boleh lulus dengan sekali ambil ujian, boleh buat kenduri!”

Mat Ju terdiam mendengar borak serius Mat Jar yang seakan berjenaka. Sambil melihat ke arah ramai ekspatriat lain Malaysia yang hadir pada majlis sambutan keputeraan ke bawah DYMM Yang Dipertuan Agung. Majlis anjuran pejabat konsulat bersama Persatuan Profesional Malaysia di UAE, yang dikenali sebagai myUAE Pro sahaja.

“Malah, lesen memandu antarabangsa Malaysia pun sebenarnya tidak diterima di sini sebab kita tiada perjanjian dua hala dengan UAE. Lesen antarabangsa yang kaubawa itu boleh dicampak dalam bakul sampah sahaja!”

Kata-kata Mat Jar itu seakan penutup besar yang terus menutup lubang dalam strategi Mat Ju untuk mencari cara lain bagi memudahkan urusan mendapatkan lesen memandu Dubai.

Mat Ju lemas sendiri memikirkan pelbagai perkara sebagai pendatang baru dalam suasana gamat di ruang foyer pejabat konsulat.

Ini sistem RTA Dubai, bukan sistem JPJ

“Buat masa ini kamu kena tunggu minimum tiga bulan sebelum boleh menduduki ujian memandu. Senarai mereka yang menanti memang panjang walau musim panas!”

Mat Ju tekun mendengar penerangan staf yang duduk di meja pendaftaran sebuah sekolah latihan memandu. Staf berasal dari negara India itu, menggeleng-geleng kepala sambil bercakap. Tidak tersenyum dan tidak nampak mesra pelanggan.

Mat Ju cuba memahami setiap patah perkataan yang keluar daripada staf tersebut. Slanga bahasa Inggerisnya memang agak pekat dengan dialek Malayalam. Kena mendengar dengan sepenuh perhatian.

“Bila boleh mulakan latihan pula?”

Tanya Mat Ju sambil sesekali berpaling ke arah pengunjung kompleks beli-belah Mall of Emirates. Terutama setiap ada wanita-wanita gebu, genit dan seksi lalu-lalang. Masih dalam kejutan budaya dengan suasana kosmopolitan Dubai yang tidak langsung menggambarkan suasana dunia Arab. Seakan berada di Eropah atau Amerika.

Apalagi isteri dan anak-anak masih belum tiba dari Malaysia. Bujang senang dan masih mencari rumah sesuai untuk disewa. Masih juga sibuk bertanya warga ekspatriat Malaysia lain melalui yahoogroup malaysian-uae.

Banyak maklumat dan tips yang didapati. Terlalu banyak sehingga kadang-kadang mengelirukan pula. Apalagi dengan bajet daripada elaun perumahan yang tidak begitu cukup berbanding dengan sewa rumah yang begitu mahal. Bantuan dan pertolongan dari komuniti ekspatriat Malaysia memang lebih daripada jangkaan. Sesuatu yang sinonim dengan budaya gotong-royong warga Malaysia.

“Kami akan telefon kamu dalam dua tiga hari ini!”

Staf tersebut seakan endah tidak endah menjawab. Mahu cepat sahaja kerana ramai juga yang beratur di belakang Mat Ju untuk dilayani. Dengan sistem dan proses latihan dan ujian memandu diserahkan kepada sekolah-sekolah latihan memandu swasta, sememangnya menjadi satu bisnes yang cukup menguntungkan.

Melihat layanan yang sedikit kurang memberangsangkan, Mat Jar yang berdiri berhampiran terus mendekati Mat Ju dan staf tersebut. Dengan wajah serius sekali.

“Hello, bila dia akan mula latihan?” Mat Jar bertanya garang.

“Kami akan telefon dalam dua tiga hari!” Ulang staf yang tidak pun memandang ke arah Mat Jar. Sambil tangan memegang henfon dan mata ke arah layar komputer. Terdengar muzik dari henfonnya.

Menyirap terus darah Mat Jar melihat biadabnya staf yang rambutnya ala Shah Rukh Khan.

“Hello, minta maaf, kami ini pelanggan dan telah membayar yuran latihan memandu seperti yang diminta. Yuran bukan murah. Kenapa tidak boleh beritahu terus jadual, supaya senang dia membuat perancangan! Bukankah kamu ada sistem, apa komputer depan muka hensem kamu itu hanya untuk chit-chat dan melayar internet sahajakah?”

Staf tersebut terperanjat dengan reaksi tiba-tiba Mat Jar yang sudah kuat bersuara. Menampakkan kegeramannya. Mata Mat Jar memandang dengan tajam. Beberapa orang yang beratur, sama terperanjat.

“Hello, kami dari Malaysia tahu dan kami ada lesen memandu dari UK dan USA, sudah berpuluh tahun memandu kereta serata dunia, kamu jangan ingat kami macam kawan-kawan kampung kamu kah!”

Terkejut juga Mat Ju melihat Mat Jar melatah. Suara berintonasi sombong. Emosional di tengah khalayak yang memerhati. Bukan tenang seperti biasa.

“Dia orang ini memang tidak boleh kasi muka. Kita kena tunjuk yang kita bukan dari negara dunia ketiga macam dia orang. Kita dari Malaysia, salah sebuah negara Islam yang maju dan kita bukan taraf buruh. Kita semua profesional yang ada ijazah!”

Mat Jar bercakap dalam bahasa Melayu sambil staf tersebut cepat-cepat mengetuk paparan kekunci. Nampak pengalaman Mat Jar dalam menangani kerenah staf kaunter yang begitu buruk, sesuatu yang cepat dipelajari oleh Mat Ju dalam kehidupan baru di Dubai.

Ini BMW, bukan Proton

“Murah benar kereta di sini, geram sungguh. Tidak sabar mahu membeli!”

Mat Jar memang cukup suka menatap lampiran iklan kereta terpakai dalam akhbar. Hatinya cukup geram memikirkan yang sekolah memandu masih belum menelefon walau setiap kali dihubungi akan berjanji untuk menetapkan tarikh latihan pertama.

“Jangan fikir lagi. Kalau sudah suka kaubeli sahaja!” Saran Mat Ju pendek.

Sekali lagi Mat Jar terkejut. Dia ternampak iklan kereta Proton Wira terpakai. Lebih murah daripada harga Kancil. Malah kereta Honda, Toyota, Nissan juga lebih murah daripada kereta Proton. Sesuatu yang menyebabkan dia jadi lebih teruja.

“Tetapi lesen memandu belum dapat!”

“Tidak perlu tunggu lesen memandu, kau boleh beli kereta, cuma kau tidak boleh memandu di jalan raya!”

“Betulkah begitu?”

Mat Jar mengangguk-angguk.

“Kalau begitu, boleh kaubawa aku ke kompleks kereta terpakai hujung minggu ini?

“Tentu sahaja. Kita pergi selepas main bola Jumaat petang, aku boleh bawa kau ke sana kerana aku pun mahu jual kereta lama itu!”

Mat Ju terasa cukup gembira. Terlupa seketika kemarahan meluap terhadap sekolah memandu dan sistem ujian memandu di Dubai.

Mendengar maklumat terkini daripada Mat Jar yang menceriakan, mata Mat Ju terus terpaku pada kereta sport BMW yang sudah lama diidami. Harganya separuh daripada harga jualan di Malaysia. Dan dia tidak perlu AP untuk membelinya.

Ini Polis Dubai, Bukan PDRM

“Kau boleh tolong aku?”

Suara Mat Ju agak gementar. Percakapan dengan Mat Jar pun agak kelam-kabut. Dia panik sekali dalam suasana sebegini. Sehingga ayat juga tidak tersusun dan tunggang terbalik.

“OK, jangan risau, aku datang sekarang ke situ!” Jawab Mat Jar di telefon. Lega Mat Ju dalam kepanasan tengah hari di kawasan perumahan Mirdiff. Memang Mat Jar tidak akan menghampakan permintaan kecemasan daripada seorang sahabat satu negeri. Sahabat akrab semenjak menjadi geng bujang di Dubai. Mat Jar memang masih bujang manakala Mat Ju masih belum membawa keluarga.

“Jangan panggil Polis dulu, sekejap lagi kawan saya datang!” Mat Ju memujuk lelaki Filipino yang memeriksa dengan teliti kesan geselan di keretanya. Calaran yang tidak begitu teruk, tetapi agak dalam dari sebelah tepi pintu pemandu. Kereta sport Mat Ju pula tidak mengalami apa-apa kerosakan. Kereta mahal katakan berbanding dengan kereta Korea yang digeselnya.

“Saya perlu tuntut insuran untuk memperbaiki kerosakan ini, jadi kena ada laporan pihak Polis!” Lelaki Filipino bernama Alex itu berkata perlahan. Seakan memahami gelora dan kerisauan dari wajah Mat Jar.

“Saya faham keperluan itu, tetapi saya tiada lesen memandu tempatan. Yang ada lesen memandu antarabangsa!”

“Lesen Malaysia tidak boleh ditukar ke lesen Dubai kah?” Tanya Alex yang nampak begitu ramah. Mat Jar menggeleng. Isu yang sudah tidak perlu diperkatakan kerana memang tidak akan menyelesaikan masalahnya sekarang.

Alex tersenyum melihat wajah Mat Jar yang panik. Pada mulanya Alex menyangka Mat Jar sama-sama datang dari kepulauan Filipina. Menegur dalam bahasa Tagalog. Memang kebanyakan warga Filipina ramah dan mesra. Cepat menegur kalau disangka sesiapa adalah sama warga Filipina.

“Jangan risau, saya faham dan kita tunggu kawan kamu datang, lagipun kerosakan ini kecil sahaja dan bukan kesalahan kamu. Kamu hanya mahu mengelak kereta pacuan empat roda yang tiba-tiba mencelah… biadap sungguh!”

Sejuk Mat Jar mendengar kata-kata daripada Alex. Kalau kereta yang dilanggarnya kepunyaan warga Emirati atau ekspatriat lain, sudah tentu ada pertengkaran. Boleh bawa bergaduh. Tetapi apa pun dia memang bersalah kerana memandu tanpa lesen sah Dubai.

Kereta pacuan empat roda mewah yang cuba dielakkan itu mungkin dipandu oleh seorang pemuda belasan tahun Emirati dan terus lesap ke arah lebuh raya Emiriyah. Tidak sempat mengambil nombor pendaftaran. Kalau sempat pun, mungkin tiada gunanya juga sebab mereka kadang-kala mengatasi undang-undang tempatan.

Peluh jantan yang menitik seluruh tubuh Mat Jar bukan sahaja kerana kepanasan musim panas, malah kepanasan daripada bayangan yang menghantui. Fikirannya tidak henti membayangkan kalau dia disaman polis. Bukan sahaja jumlah saman untuk dibayar, tetapi dia juga boleh ditahan dalam lokap kerana memandu tanpa lesen Dubai. Satu kesalahan besar.

Lebih daripada itu, dia baru mendapat rumah sewa dan baru selesai melihat rumah di kawasan berhampiran tempat kemalangan. Keluarganya akan sampai dua tiga hari lagi dan malam itu dia akan bersama-sama untuk makan malam dengan anak-anak Kelantan di sebuah villa di perumahan ekslusif Arabian Ranches. Sudah lama tidak merasa nasi kerabu dan kuih lompat tikam. Sudah lama juga tidak berborak ramai-ramai dalam loghat Kelantan.

Melihat kereta yang perlahan untuk melihat apa yang terjadi, Mat Jar kembali terasa panik. Terfikir kalau dia masuk lokap, boleh sahaja dia dibuang kerja. Dia baru dua bulan bekerja di Dubai. Baru mendapat visa pemastautin. Belum lagi menduduki ujian memandu. Belum juga mandi hadas di Dubai.

Masuk lokap bukan satu pilihan terbaik. Bayangan lokap dan banduan terus menambahkan kelajuan degupan jantung. Bersama-sama peluh jantan tidak henti membasahi seluruh tubuh yang nampak semakin gempal sejak mengenal nasi beriani kambing.

Lebih panik membayangkan kalau tiba-tiba polis singgah sebelum Mat Jar tiba!

Ini Cerita Benar, Bukan Fiksyen

“Rilekslah. Nampak kau risau sahaja untuk ambil ujian memandu, kenapa?’

Mat Jar bertanya sambil menghirup teh tarik di restoran makanan yang terletak di kawasan membeli-belah Naif. Isteri dan anak-anak Mat Ju masih sakan membeli-belah dengan pelbagai jualan hebat sempena Festival Musim Panas Dubai. Potongan harga dan tawaran cabutan bertuah dengan pelbagai hadiah menambahkan kemeriahan.

Naif terus sibuk dan gamat dengan pengunjung walau cuaca hampir melebihi 40 darjah Celcius. Pelancong dan orang tempatan bercampur-baur. Semuanya seronok menabur wang.

“Kalau gagal kali pertama pun tidak mengapa, ambil lagi. Biasalah kalau gagal kali pertama di Dubai. Majoriti seperti itu dengan sistem kuota dan untung rugi bisnes pelesenan!”

Sambung Mat Jar sambil membelek kamera digital canggih yang baru dibelinya. Dia sama-sama menyertai kelab fotografi ekspatriat Malaysia dan aktif mengambil foto landskap Dubai.

“Sebenarnya aku ada cerita benar mengenai lesen memandu yang kini menghantui aku di Dubai! Isteri aku sendiri pun tidak tahu mengenainya!” Perlahan Mat Ju bercakap, seakan tidak mahu orang lain mendengar. Walaupun mereka yang lain tidak memahami Bahasa Melayu yang dipertuturkan mereka berdua.

Mat Jar menoleh ke arah Mat Ju yang masih memegang akhbar dengan tajuk utama mengenai statistik kemalangan jalan raya yang semakin meruncing di Dubai. Fenomena yang membimbangkan pihak berkuasa kerana majoriti yang kehilangan nyawa daripada kemalangan jalan raya adalah orang Emirati, walau mereka hanya minoriti di negara sendiri.

Mat Ju menarik nafas sedalam-dalamnya. Kemudian melepaskannya dengan penuh perasaan.

“Aku memang takut untuk buat ujian memandu sebab…!”

Sekali lagi Mat Jar rasa saspens apabila Mat Ju terhenti. Seperti babak antiklimaks dalam suasana yang janggal dalam sebuah drama TV.

“Sebab lesen memandu Malaysia yang aku ada pun sebenarnya, lesen terbang!”

Biodata

FUDZAIL nama pena bagi Fudzail Mohd Nor, ekspatriat Malaysia yang bermastautin di Dubai sejak 2000. Berkelulusan sains komputer dari New Zealand. Pernah terbabit dalam pembangunan Dubai Internet City, Palm Jumeirah dan 15 projek mega lain untuk prasarana teknologi maklumat dan telekom Emiriyah Arab Bersatu. Kini menguruskan projek pembinaan prasarana utiliti di Palm Jabel Ali. Beliau boleh dihubungi melalui fudzail@yahoo.com dan kerjadubai.blogspot.com.

Berita Harian

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: