Hip TV Lebih Berani

26 Feb

>>Oleh Elrafaei Sapi
ahmadelrafaei@hmetro.com.my

Rap
KEJAYAAN program TV berkonsepkan cerita hiburan dan artis sering kali menarik perhatian ramai. Program Melodi terbitan TV3 antara contoh program hiburan yang berjaya mencatat rating tinggi penonton sebanyak 2.3 juta dan masih bertahan sejak 15 tahun lalu.

Berbanding penerbitan program sebegini di luar negara, program hiburan tempatan masih dianggap kurang. Atas dasar itu, TV9 cuba menghasilkan lebih banyak program hiburan yang mempunyai tarikan dan kelainan selepas Galaksi dan Filem Di 9.

Program baru Hip TV dilihat lebih berani kerana menggunakan elemen sensasi. Sudah mula bersiaran empat episod, program ini memberi fokus pada topik berbeza mengenai artis yang dibincangkan bersama panel pilihan.

Produser program ini, Shamatul Nadiah Mohamad, berkata program yang bersiaran setengah jam ini membawa pendekatan berbeza apabila tidak menggunakan pengacara untuk mengendalikan temu bual bersama panel jemputan.

Katanya, kandungan program ini dibuat berdasarkan isu hiburan mahupun isu sensasi yang boleh dibincangkan dengan lebih lanjut.

“Program ini seperti E! Entertainment di Hollywood yang bukan hanya memaparkan berita hiburan dan aktiviti terbaru artis tetapi mempunyai isu menarik yang boleh dibincangkan. Menariknya, ada isu dibuat mengikut carta. Sebagai contoh, carta artis lelaki paling seksi atau artis paling kontroversi.

“Untuk program Hip TV, kami juga mempunyai carta untuk topik yang dibincangkan antara tiga panel yang dijemput untuk setiap episod. Walaupun perbincangan berdasarkan topik yang kami buat tetapi program ini turut menyingkap aktiviti artis seperti pembabitan mereka dalam bidang perniagaan dan fotografi yang pernah mereka dilakukan.

“Apa saja aktiviti menarik mengenai artis akan kami kongsi menerusi program ini. Sebelum ini, dalam episod pertama, kami ada memaparkan cerita fesyen artis pada Anugerah Juara Lagu ke-23 yang lalu.

“Matlamat program ini, kami mahu penonton mendapat cerita artis dengan lebih mendalam. Skop cerita meluas tetapi ia mesti berkaitan dengan artis. Untuk segmen perbincangan isu menerusi carta, kami hanya mengambil carta Top 5.

“Sebelum ini, kami ada menyenaraikan carta perkahwinan artis paling ‘meletup’, artis bercerai, artis mulut ‘laser’, artis dengan gosip terhangat dan artis menggunakan suntikan. Untuk mengenal pasti artis mana yang patut menduduki carta satu hingga lima, kami mendapatkan pandangan daripada panel dan orang ramai secara rambang,” katanya.

Meskipun tanpa pengacara, program ini masih menggunakan penyampai radio Hot FM, Kieran untuk menyumbang suara latar. Program ini akan diterbitkan sebanyak 52 episod dan rakaman dibuat di lokasi luar.

Kata Shamatul, latar belakang artis dinyatakan terlebih dulu sebelum panel menyatakan pandangan masing-masing.

“Untuk berlaku adil, artis yang disenaraikan dalam carta Top 5 juga diberi peluang memberikan pendapat sendiri. Cabaran pada pihak produksi, saya perlu mencari topik yang sesuai, panel yang boleh bercakap dan lokasi yang sesuai untuk rakaman.

“Program ini cuba memberi kebebasan kepada panel untuk menyatakan pandangan secara jujur. Berdasarkan respons awal yang kami terima, ada yang berkata, program ini lebih berani dalam membincangkan isu hiburan. Selain panel yang terbabit dengan bidang hiburan seperti wartawan dan artis, kami juga menjemput pelawak yang turut memberikan pandangan selain menceriakan suasana,” katanya.

Kelmarin, program ini menjalani rakaman di Restoran Lemon, The Mines, Sri Kembangan, Selangor dan turut menjemput penyanyi Deja Moss dan Pengarang Hiburan Harian Metro, Adam Salleh sebagai panel dengan dua topik berbeza.

Deja diberi topik Penyanyi & Trademark manakala Adam, Selebriti Mulut Laser mengikut kedudukan iaitu Fauziah Datuk Ahmad Daud di tempat pertama diikuti Adlin Aman Ramlie, Sheila Rusly, Raja Azura dan Roslan Aziz.

Program ini disiarkan setiap Isnin, jam 10.30 malam di TV9.

Harian Metro

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: