Joey Vokalis Baru Exist

24 Feb

Oleh Nurulhisham Abdul Latiff
nurul@bharian.com.my


BERDIRI dari kiri, Ujang, Musa, Joey dan Along.

Ezad pilih haluan sendiri kerana mahu tampil secara solo

PADA ketika Ezad mengeluarkan pelbagai kenyataan berhubung perpisahannya daripada Exists, tiga anggota kumpulan muzik terbabit mengambil pendekatan mendiamkan diri. Hanya sesekali kumpulan ini tampil bercerita mengenai isu itu, sebagaimana dapat dibaca peminat dalam majalah atau akhbar.

Sewaktu hadir ke Balai Berita untuk mempromosikan album terbaru yang menghimpunkan lagu terbaik kumpulan berkenaan, Keunggulan Exists, mereka tetap ditanya mengenai perkara sama. Pada awalnya, kumpulan ini memang berat hati untuk membuka rahsia. Hanya selepas beberapa kali diminta untuk sekurang-kurangnya memberikan penjelasan, Musa dan Along akhirnya bercerita.

Menurut mereka, selepas kontrak Exists bersama syarikat rakaman NAR tamat, kumpulan itu mengintai beberapa peluang untuk bernaung bersama beberapa syarikat lain, sekitar 2007. Dalam proses berkenaan, mereka mendapati sebuah syarikat rakaman gergasi menawarkan kontrak yang dilihat sebagai terbaik.

Sayangnya, pada hari kontrak itu hendak ditandatangani, penyanyi utamanya, Ezad, tidak memunculkan diri. Selepas puas mencuba, akhirnya panggilan kepada penyanyi itu berjawab. Alasannya, dia berasakan mereka harus mencari tawaran lebih matang, berbanding kontrak ditawarkan syarikat gergasi tadi.

“Bukan saja dia kurang memberikan komitmen tatkala kami bertiga berusaha mencari peluang bersama syarikat rakaman lain, dia juga tidak muncul pada hari kami sepatutnya menurunkan tandatangan bersama syarikat terbabit. Sedangkan, syarikat itu turut bersedia menghasilkan album solonya sendiri, jika itulah juga apa yang Ezad ingini,” ujar Along.


JOEY menyuntik semangat baru kepada Exists.

Rupa-rupanya, Ezad sengaja berdalih ingin mencari kontrak lebih baik apabila dia sebenarnya sudah pun menandatangani kontrak bersama sebuah syarikat rakaman lain.

“Kononnya, apabila dia menandatangani kontrak bersama syarikat tadi, mereka fikir kami juga akan mengikut langkahnya bernaung di bawah syarikat sama.

“Kami pula bergerak secara kumpulan, lalu apabila dia terlebih dulu mengikat kontrak secara solo dengan syarikat itu, kami tentunya berasa diketepikan,” kata Musa.

Menurut Musa, Ezad akhirnya mengaku dia sudah mengikat kontrak bersama syarikat rakaman berkenaan selepas ditanya sendiri olehnya. Sebelum itu, dia berulang kali tidak mengaku terikat dengan mana-mana label.

Kemudian timbullah cerita kononnya kumpulan itu kini sudah berpecah dan sebagainya. Semua itu ditelan Musa, Along dan Ujang kerana enggan membuka mulut mengeruhkan lagi keadaan.

“Malah, ada sebahagian peminat menganggap kami bersikap kejam terhadap Ezad. Pelbagai tuduhan kami terima, sebagaimana yang dapat dibaca di laman web Exists.com.my. Memanglah kalau boleh, kami lebih suka bercerita mengenai produk kumpulan ini, daripada menjaja cerita masalah peribadi. Kita juga semakin dewasa, jadi kenalah pandai-pandai membawa diri,” sambung Musa.

Setahun Ezad tidak bersama Exist

Selepas ketiadaan Ezad, kira-kira setahun juga kumpulan itu tidak aktif pada pertunjukan pentas, membuat kemunculan di televisyen atau majlis anugerah. Tanya mereka, bagaimana kumpulan itu hendak menerima tawaran muncul dalam mana-mana persembahan apabila tidak mempunyai vokalis?

“Bercerita mengenai televisyen, pada awal tahun lalu kumpulan ini hampir digam sebuah stesen televisyen gara-gara Ezad lambat muncul pada hari kami sepatutnya mengadakan raptai persembahan. Sebuah stesen penyiaran lain pula menggam kami sejak 2005 dek masalah disiplinnya juga,” dedah Along.

Semua itu kini tinggal kenangan buat Exists apabila seorang penyanyi lain mengisi kekosongan ditinggalkan Ezad. Bersama penyanyi dikenali sebagai Joey itu, mereka mengaku lebih bersemangat untuk meneruskan langkah dalam industri muzik.

“Joey sebenarnya bukanlah orang baru dalam seni. Di samping aktif berlakon, dia juga pernah muncul dengan album solo sekitar 1995, berjudul Beradu Suratan. Dia ialah bekas artis Luncai Emas yang mendapat didikan daripada M Nasir. Dia juga bukan anggota Budak Kaca Mata seperti ditulis dalam sesetengah media massa sebelum ini.

“Joey menyertai kami akhir tahun lalu. Ketika itu juga kami merakamkan dua lagu baru, Ada Dengan Mu yang kini mula mendapat tempat di stesen radio dan Cinta Terindah, untuk album kompilasi ini,”ῠkata Musa yang sehingga kini memuji disiplin penyanyi itu, yang dikatakan memberikan komitmen sepenuhnya bagi menjayakan aktiviti membabitkan mereka secara berkumpulan.

Dedah Along, ketika mereka mencari penyanyi baru selepas Mamat meninggalkan Exists, nama Joey turut tersenarai sebagai calon utama. Namun, ketika itu Joey masih terikat dengan Luncai Emas.

Nampaknya, jodoh penyanyi itu bersama Exists amat kuat. Selepas 13 tahun, dia menganggotai kumpulan berkenaan sebagai penyanyinya.

Exists sendiri seboleh-bolehnya tidak mahu kumpulan yang sudah pun bergerak aktif sejak 1991 itu berkubur begitu saja dengan peredaran masa. Walaupun bersilih ganti penyanyi, namun mereka ingin sekali melihat Exists sentiasa ada. Bukan sekadar wujud dalam industri, malah mereka berusaha untuk sentiasa hadir bersama karya baru juga.

“Kami pasti berasa segan pada peminat kalau Exists hanya wujud pada nama, sedangkan lagu barunya tiada,” ujar Musa penuh makna.

Dia juga melihat kumpulan itu sudah melalui beberapa fasa sejak penubuhannya. Daripada fasa remaja hingga ke dewasa, semua itu sudah dialami kumpulan berkenaan dan sekarang, mereka muncul lagi dengan fasa seterusnya, berserta dua karya baru serta vokalis yang ketiga.

INFO: Album kumpulan Exists
Exist (1992)
Anugerah (1994)
Exist Dulu Dan Sekarang (2003)
Diammu Gunung Berapi (1996)
Jangan Gentar (1997)
Mutan (1998)
Best Of Exists (2000)
Ada (2001)
Seperti Dulu (2003)
Paragon (2004)
Special Edition (2006)
Hits Rakaman Semula (2007)
Keunggulan Exists (Disember 2008)

Anggota Exists:Joey (vokal)Along (gitar)
Musa (bes)
Ujang (dram)

Berita Harian

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: