Keliwon Kepercayaan Jawa

17 Feb

Oleh Zaidi Mohamad
zaidim@bharian.com.my

Drama seram hasil pengalaman, pemahaman dan cerita orang tua yang dikutip oleh Rashid Sibir

DEMI mengikuti peredaran zaman dan melakukan satu percubaan baru, pengarah Rashid Sibir yang begitu sinonim dengan genre cinta dan air mata kali ini memberanikan diri menghasilkan drama seram 13 episod, Keliwon yang sudah disiarkan di TV3 setiap Khamis jam 9.30 malam.

Malahan, Rashid yang pernah diberi jolokan ‘pengarah air mata’ ini cuba memberi sedikit anjakan daripada kisah seram yang pernah dihasilkan pengarah lain dengan elemen serta suntikan berbeza.

Kerjasama dengan TV3 juga bukanlah sekerap yang disangka, bahkan drama atau telefilem arahannya lebih kerap disiarkan di stesen TV berbayar. Kali terakhir, dramanya disiarkan di TV3 berjudul Datin Diaries dua tahun lalu. Kertas cadangan ringkasan drama yang dihantar ke TV3 akhirnya membuahkan hasil apabila drama yang tajuknya diberi sendiri oleh Rashid menarik perhatian TV3.

Menariknya, setiap 13 episod yang disiarkan mempunyai cerita berbeza dan ia menjadi cabaran buat dirinya untuk menyiapkan satu episod berbeza yang tiada sambungan dalam tempoh masa 40 minit.

Keliwon juga bukan drama rantaian, kerana Rashid mempraktikkan serampang dua mata dengan harapan ada mana-mana episod dianggap sebagai episod pengenalan yang siapa tahu mampu menarik perhatian TV3 supaya boleh dikembangkan menjadi drama bersiri.

Berbekalkan peruntukan sekitar RM 400,000, drama berepisod Keliwon menjalani penggambaran lebih dua bulan di tiga lokasi iaitu Kuala Lumpur, Tampin dan Hulu Langat.

Penggambaran bermula sejak Disember tahun lalu hingga Februari dengan membariskan lebih 40 pelakon berbeza dalam setiap episod. Menurut Rashid, Keliwon dijelmakan daripada nostalgia dirinya yang pernah mengalami dan mendengar melalui saluran penceritaan dan yang berlaku di sekitar ruang lingkup kehidupan.

“Sebelum Keliwon, saya pernah mengarahkan drama genre yang sama berjudul Di Alam Lain lima tahun lalu dan disiarkan di Astro. Jika dulu filem cinta seperti Titanic dihasilkan dan ramailah penggiat seni mula tergerak menghasilkan kisah sebegitu.

“Begitu juga dengan cerita seram, setiap negara menghasilkan cerita sedemikian dan menjadi ikutan. Cerita hantu mungkin berbeza mengikut pendekatan setiap negara, menerusi aspek kandungan dan perjalanan cerita mengikut budaya masing-masing,” katanya.

Menurutnya, setiap pengarah termasuk dirinya mempunyai penafsiran dan penjelmaan tertentu apabila melihat subjek ‘hantu’ atau elemen seram itu dihasilkan.

Sehubungan itu, katanya, untuk Keliwon, ia tercetus apabila saya memerhatikan kalendar lama yang tertulis Jumaat Keliwon pada minggu ketiga setiap bulan. Mengikut kepercayaan orang Jawa terutamanya ia sering dikaitkan dengan benda yang ‘keras’ dan makhluk halus.

“Saya aplikasi pengalaman kehidupan lalu dan saya pasti setiap daripada kita pernah mengalami nostalgia waktu kecil apabila ditakutkan dengan pelbagai kisah hantu pelbagai versi.

“Cerita rakyat rekaan atau sebaliknya ini sedikit sebanyak akan menghantui kita. Bapa saya sendiri berkongsi pelbagai cerita, sewaktu saya tinggal di kampung, Batu Pahat. Mungkin frasa, ‘jangan keluar malam, nanti diganggu hantu’ antara contoh apa yang saya maksudkan,” katanya ketika ditemui dalam sesi ramah mesra pelakon drama Keliwon, baru-baru ini.

Asalkan tidak timbul masalah

DITELITI kembali kebanyakan pelakon yang terbabit di dalam drama ini adalah antara pelakon yang sering menjadi pilihan Rashid menghiasi drama dan telefilem yang dihasilkan. Pendek kata, asyik muka yang sama digunakan oleh Rashid.

Rashid berkata, dia harus akur dengan prosedur mana-mana stesen terbabit yang mempunyai kriteria pilihan pelakon tertentu.

Tambahnya lagi, dia mempunyai alasan sendiri memilih muka yang sama untuk produksi miliknya hingga wujud istilah kronisme. Terbit juga masalah kepadanya apabila sukar untuk mencari pelakon yang sesuai pada masa yang ditetapkan.

“Kalau kita imbas kembali sejarah perfileman zaman hitam putih dulu, Allahyarham Tan Sri P Ramlee sendiri selalu mengambil pelakon yang sama untuk membintangi filemnya.

“Perkara ini tidak perlu dibangkitkan kerana saya sendiri jika selesa dan serasi dengan seseorang pelakon, saya tidak teragak-agak untuk menawarkan watak kepadanya lagi. Saya yakin muka yang sama inilah antara pelakon terbaik yang boleh diharapkan,” katanya.

Rashid berkata, faktor lain dia cenderung mengambil orang sama adalah kerana wujudnya persefahaman dan keserasian yang menjadikan timbul rasa keyakinan mereka tidak akan memberikan masalah kepadanya apabila sesebuah drama dijalankan.

“Untuk mengelak berlakunya macam-macam masalah itu dan ini, saya ambil pelakon ‘kegemaran’ sendiri. Soal pelakon hanya subjektif, janji produk itu menarik dan diminati.

“Buat apa menawarkan watak kepada pelakon yang tamak ambil dua tiga kerja dalam satu masa hingga akhirnya mengundang risiko,” katanya yang bakal mengarahkan sebuah telefilem untuk Astro berjudul Diari Mak Ayam berkisarkan kehidupan isteri yang dilacurkan suaminya sendiri. Mariani akan memegang watak utama.

Info Keliwon

Mula disiarkan sejak 5 Februari lalu setiap Khamis jam 9.30 malam.

Berdasarkan cerita seram rakyat, sebanyak 13 episod yang membawa penonton mengenali entiti seram dengan tajuk menarik seperti Sungai Puaka, Darah Lantera, Saka Harimau, Saka Pulut Kuning, Santau, Pontianak, Hantu Kopek, Tiang Seri, Anak Belaan, Rasuk, Puaka Kain Kapan, Mak Andam Cantik dan Puja.

Menghiasi slot Seram di TV3 selepas drama Susuk, Anak Pontianak, Saka, Kekasihku Seru dan Puaka Niyang Rapik.

Episod Puaka Kain Kapan antara yang paling menyeramkan Rashid sendiri sebagai pengarah.

Gara-gara penggambaran drama ini, Rashid mengakui masanya bersama keluarga agak terbatas kerana ada kalanya penggambaran berlanjutan dari pagi hingga ke pagi keesokan harinya.

Lagu tema drama ini berjudul Jangan Kau Pergi dinyanyikan Farawahida

Info Rashid Sibir

Berasal dari Sungai Nibung, Semerah, Batu Pahat, Johor

Selepas mengarahkan filem Sutera Putih, Laila Isabella dan Cinta Luar Biasa, Rashid dalam perancangan untuk mengarahkan filem Bidadari yang menjadikan subjek golongan adik-adik menampilkan watak utama Ahmad Tarmimi Siregar, Zaibo dan Mami Zarina. Penggambaran akan bermula Jun ini dijangka menampilkan Nasha Aziz, Saiful Apek dan Fouziah Gous. Malah filem ini dikelaskan sebagai komedi yang memaparkan permasalahan sosial melanda masyarakat.

Tahun lalu, pernah merancang membawa telefilem Wali ke layar perak. Bagaimanapun, hasratnya itu tidak jadi kesampaian apabila cerita daam filem Bidadari lebih kurang sama di dalam tele filem Wali.

Perkahwinannya dengan Nurulhuda Azizi pada 31 Mac 2007 kini bertambah seri dengan kehadiran anak sulung mereka, Ainul Mardiah, 8 bulan.

Bakal menerbitkan drama cinta lagi selepas ini berjudul Deru Ombak menggandingkan Fouziah Gous dan Farid Kamil sebagai teraju utama.

Filem pertama arahannya iaitu Sutera Putih mengangkatnya sebagai Pengarah Harapan pada Festival Filem Malaysia pada 1997.

Cukup sinonim dengan telefilem Pondok Buruk, Takbir Suci, Quran Buruk, Salina dan drama Dalam Hati Ada Cinta.

Berita Harian

One Response to “Keliwon Kepercayaan Jawa”

  1. sahara aban August 12, 2013 at 12:04 PM #

    Dahulunya saya anggap keliwon ni hiburan TV semata. Saya tidak peduli dan ambil tahu hari-hari jawa seperti poon, wageh, paeng, legi dan keliwon sehinggalah pengalaman mengubati kakak yang sakit. Sakit kakak tidak diketahui puncanya. Pakar perubatan memberi berbagai-bagai nama penyakit tetapi segala ubat dan rawatan tidak berkesan langsung.Wajahnya makin pucat dari hari ke hari, cengkung dan kurus melidi dari asalnya berisi. Puas hantar kakak keluar masuk hospital dan klinik kerajaan, swasta tidak ada perubahan akhirnya kami berikhtiar dengan perubatan alternatif iaitu perubatan traditional. Pelbagai ragam kerenah bomoh dan dukun kami temui sehinggalah akhirnya kami sampai ke kampung Belahan Tampok, Rengit, Batu Pahat, Johor bertemu Ustaz Adi Wijaya. Beliau bertugas di sekolah agama Daerah Pontian. Tidak tahu kenapa setelah mengira dan mencari punca penyakit beliau minta kami datang semula pada malam JUMAAT KELIWON untuk ritual perubatannya. Yang penting bagi kami, Alhamdulilah kakak telah sihat, pulih seperti sediakala. Saya paparkan kisah ini sebagai tanda kesyukuran kakak saya selamat dan bertujuan membantu sesama kita supaya tidak tertipu dengan bomoh palsu. Dapat saya rakam beberapa foto aksi perubatan beliau dalam :
    http://my.opera.com/saharaaban/albums/ atau
    http://my.opera.com/saharaaban/albums/show.dml?id=14706102

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: