Penantian 3 Tahun Berbaloi

9 Feb

Oleh Nurulhisham Abdul Latiff
nurul@bharian.com.my


AMYLEA akhirnya muncul bersama album studio pertama berjudul Selepas 3.

Album sulung Amylea, Selepas 3 kini berada di pasaran

KETIKA ini, tentunya hati Amylea Azizan berdebar-debar apabila dia diumumkan seorang daripada peserta Top 20 pertandingan nyanyian paling mahal di Malaysia, One In A Million (OIAM) musim ketiga. Selepas Akademi Fantasia (AF) musim ketiga, inilah rancangan realiti kedua buat penyanyi genit terbabit.

Apakah tuah angka tiga sekali lagi menyebelahi gadis berbakat ini? Jika di AF dulu, dia berjaya melangkah hingga ke final, adakah angka tiga pada OIAM membolehkannya sekali lagi beraksi pada peringkat akhir pertandingan berkenaan? Tentunya masih terlalu awal untuk peminat membuat ramalan, apatah lagi musim terbaru rancangan itu sendiri baru saja disiarkan 8TV.

Masih jauh perjalanannya dalam rancangan realiti yang pernah menobatkan nama Suki dan Ayu Damit sebagai juara itu. Namun, jika rezeki menyebelahi, tidak mustahil penyanyi berusia 22 tahun ini mampu melangkah lebih jauh dalam pertandingan yang penuh berprestij itu.

Ketika debaran Amylea pada pertandingan itu makin memuncak, keresahan menunggu album sulungnya muncul di pasaran nampaknya sudah terurai. Album perdana yang diberi judul Selepas 3 akhirnya berada di rak kedai muzik setelah sekian lama proses pembikinannya dilakukan.

“Selama tiga tahun saya berusaha menghasilkan album ini. Ia satu tempoh yang agak panjang. Pada ketika rakan lain sudah pun muncul dengan album pengenalan mereka, saya pula bagai teraba-raba. Syukurlah, sekarang semuanya sudah berlalu dan satu kelegaan yang amat sangat kini cukup dirasa. Segala penat lelah yang dicurah bagai berbaloi apabila peminat dapat juga menikmati kesemua lagu yang dimuatkan di dalamnya,” katanya.

Kini, dia sabar pula menunggu reaksi peminat terhadap hasilnya. Jika dilihat kepada barisan pencipta lagunya, tidak ada sebab untuk Selepas 3 gagal menambat hati peminat. Daripada komposer yang pernah mencipta nama pada pertandingan seperti Azlan Abu Hassan, Audi Mok, Hazami dan Afdlin Shauki, sehingga pencipta berbakat yang semakin disegani termasuk Pacai, Joe Flizzow dan dirinya sendiri, album berkenaan bagai menjanjikan kepuasan tersendiri untuk pembeli.

“Kesabaran saya selama menunggu album ini dipasarkan rasanya berbayar. Saya berpuas hati dengan hasilnya, walaupun mungkin banyak lagi yang boleh dipertingkatkan pada album akan datang.

“Menghasilkan album ini sendiri satu pengalaman amat berguna lagi berharga. Selama proses itu berjalan, saya banyak mempelajari cara sesebuah lagu dan muziknya disusun, dirakam dan seterusnya diadunkan. Daripada lagu pertama yang dirakam, Andai, ciptaan Hazami kira-kira tiga tahun lalu, saya mengutip segala pengalaman untuk membentuk diri sendiri sebagai produser berjaya satu hari nanti,” ujarnya.

Jika sebelum ini kerap kali Amylea melahirkan kegusaran serta kekecewaannya akibat cukup lama menunggu buah yang bagai tidak gugur ke bumi, sekarang semua itu tinggal memori.

Tidak berdiam diri ketika menunggu album sulung menjadi realiti, Amylea mengasah bakat sebagai pencipta menerusi beberapa lagu untuk drama bersiri. Pada mulanya dia menghasilkan lagu rancak Aku Sindarela untuk siri popular Sindarela lakonan Bront Palarae dan Sharifah Amani, siaran TV3.

Baru-baru ini, dia mencipta pula irama indah berjudul Akan Tiba, nyanyian Alif Satar, yang juga seorang lagi produk muda berbakat rancangan OIAM. Selain Alif, turut menyanyikan lagu tema siri Rona Roni Makaroni siaran Astro itu ialah Amylea sendiri bagi versi akustik dan Flava untuk versi R&B. Single Akan Tiba dikeluarkan Amylea bersama Isma Yusoof dan Ash Bau.

Mengaku amat menyintai dunia ciptaan lagu, begitupun Amylea berasakan masih terlalu awal untuknya mencanang nama sebagai komposer. Justeru, dia banyak menyimpan karyanya ‘di rumah’.

“Cuma sejak akhir-akhir ini, dengan sokongan kawan baik seperti Isma dan Audi, saya mula rasa bagai ada keyakinan untuk lebih serius dalam bidang penciptaan ini,” katanya yang dikatakan turut menghasilkan sebuah lagi lagu untuk drama siaran TV3.

Nampaknya, bakat milik Amylea tidak rela dilepaskan begitu saja oleh penerbit drama. Apatah lagi apabila lagu ciptaannya bagai senang sekali melekat di hati peminat. Lihat saja bagaimana orang ramai mudah menerima Aku Sindarela dan Akan Tiba.

“Apabila saya diminta menghasilkan sesebuah lagu untuk drama bersiri, saya pastikan diberitahu terlebih dulu jalan ceritanya. Ia membantu saya mencipta lagu yang sesuai untuk drama berkenaan. Cara itu nyata lebih memberikan kesan, daripada saya menciptanya tanpa ada sebarang rujukan,” ujar Amylea.

INFO: Amylea

AMYLEA ialah bintang realiti TV Astro Ria, Akademi Fantasia 3 pada 2005. Dia dilahirkan pada 26 November 1986 di Hospital Besar Alor Star. Dia mula menjejakkan kaki di alam persekolahan di Sekolah Kebangsaan Sungai Petani (1) manakala sekolah terakhir, Sekolah Menengah Kebangsaan Mahsuri, Langkawi.

PENYANYI ini menetap di Langkawi pada 1990 ketika berusia 4 tahun dan berulang-alik sehinggalah keluarga menetap terus pada 2001. Ketika berada di tingkatan 5, Amylea bekerja sebagai deejay sambilan di Radio Langkawi selama setahun.

AMYLEA mendapat tawaran melanjutkan pelajaran ke tingkatan 6 dalam aliran sains matematik, tapi kurang berminat. Kecenderungannya lebih kepada dunia muzik.

APABILA ibunya sakit, Amylea menggantikan tempat ibunya di Sheraton Perdana sebagai penyanyi. Di situ, dia menyanyi enam hari seminggu selama setahun.

ANTARA pencapaiannya ialah muncul dengan album Selepas Tiga (Januari 2009), menghasilkan single Akan Tiba Rona Roni Makaroni, single Aku Sindarela, single Andai Kerna Pasti, Top 5 ABPBH 2006 kategori Artis Baru Wanita Popular, duta Maggi Slurrpp, terbabit dalam penghasilan album Evo 05 dan Salam Raya AF3.

PALING baru, dia berjaya melangkah ke Top 20 OIAM siaran 8TV. Amylea juga aktif menjayakan pelbagai program anjuran Biro Karyawan Muda.

SELAIN Aku Sindarela (menampilkan Andika), album Selepas 3 juga membariskan lagu Andai, Luar Biasa, Bukan Cinta (menampilkan Azan Ad-Din), When We Dance (menampilkan Sona), Ku Temui, Dari Mula, Menari, Aku Sindarela (menampilkan Sharifah Amani).

Berita Harian

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: