Tiga Anak Warisi Bakat

3 Feb

Oleh Elrafaei Sapi
ahmadelrafaei@hmetro.com.my

Rap
PEPATAH bapa borek, anak rintik sesuai menggambarkan perjalanan seni keluarga pelakon Mohd Hashim Abd Rahman bersama Hazimah Haroon.

Bagi Mohd Hashim, karier sebagai pelakon bermula pada pertengahan 1980-an apabila terbabit dengan produksi Solid Gold Publishers Sdn Bhd. Menariknya, dia terlebih dahulu diberi tawaran berlakon filem sebelum aktif membintangi drama selepas itu.

Filem Sayang Ibu arahan Omar Rojik bersama NT Wong lakonan utama Noraniza Idris dan Tamam Idris yang ditayangkan pada 1989 menjadi titik-tolak pada perkembangan karier lakonannya.

Menerusi filem yang sama, anak keduanya, Syaireen turut berlakon sebagai Tiara (Noraniza) ketika kanak-kanak. Pada usia 60 tahun kini, dia masih berminat berlakon dan mendapat pelbagai tawaran drama.

Katanya, dia sudah terbabit dalam lebih 100 drama dan terbaru membintangi drama bersiri popular, Gerak Khas. Meskipun aktif berlakon pada usia emas, dia masih meluangkan masa bersama keluarga.

Mungkin tidak ramai yang mengetahui, dia juga bekas pemain bola sepak pasukan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada 1979 dan kemudian aktif menjadi Setiausaha Agung Persatuan Seniman Malaysia selama sembilan tahun sejak 1991.

Mengimbas kenangan lalu, bakat lakon tiga anaknya termasuk Syaiful Annuar dan Syaifuddin (Buzen) sebenarnya bermula sejak zaman kanak-kanak.

Kata Mohd Hashim, selepas Syaireen mula berlakon filem, giliran Buzen pula muncul dengan drama pertama, Pekak Sekampung arahan Raja Ismail Raja Saat pada 1986. Ketika itu usia Buzen baru mencecah lima tahun.

“Berbanding Syaireen dan Buzen, abang mereka Syaiful lewat menceburi bidang lakonan. Syaiful mulanya terbabit dengan iklan TV pada usia lapan tahun.

“Namun, selepas itu dia banyak tertumpu pada pelajaran hingga melanjutkan pengajian dalam Diploma Pengurusan Hartanah di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai Johor.

“Selepas tamat belajar, dia bekerja sebagai pramugara Penerbangan Malaysia (MAS) dan menerima tawaran berlakon drama Bunga Raya bersama Astro pada 1995. Untuk drama itu, Syaiful turut bergandingan bersama Buzen dan A Aida.

“Dalam menimba pengalaman lakon, akhirnya tiga beradik ini dipertemukan menerusi drama bersiri, Bas Mini 52. Drama ini melonjak populariti dalam kalangan penonton kerana ketika itu pengangkutan bas mini adalah pengangkutan awam popular di ibu kota.

“Sebagai bapa, saya memberi mereka galakan apabila menunjukkan minat berlakon. Saya tidak paksa berlakon tetapi sejak kecil mereka sendiri mempunyai keinginan berlakon.

“Cuma beberapa kali saya temankan mereka di lokasi penggambaran dan kemudian mereka boleh berdikari.

“Namun, antara mereka tiga beradik, Buzen paling menyerlah sebagai pelakon berbanding Syaiful yang lebih menumpukan perhatian pada pelajaran. Zaman dulu, tidak ramai pelakon kanak-kanak dan peluang mereka untuk berlakon sebenarnya banyak,” katanya.

Syaiful, 35, mengakui kehidupan kini banyak berubah selepas mendirikan rumah tangga bersama Norhazrin Hashim pada 2002 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Syaizreen Erina, 6, dan Syaizreen Eluna, 3 bulan. Mengenai lakonan, dia hanya menerima tawaran apabila mempunyai masa terluang.

Selepas menimba pengalaman kerja sebagai pramugara selama enam bulan dia kini sibuk menguruskan perniagaan perunding perkahwinan di bawah syarikat sendiri, Erin N Erinas Sequins yang ditubuhkan sejak enam tahun lalu.

Katanya, dia sudah lama tidak muncul dengan lakonan baru selepas drama Nur 2 yang ditayangkan di Astro, dua tahun lalu. Buat masa ini, dia lebih gemar menguruskan perniagaan sendiri tetapi tidak menolak untuk berlakon jika mempunyai tawaran sesuai.

“Saya masih berminat berlakon jika ada masa terluang. Selalunya jika ada rakan yang minta saya untuk berlakon, saya tidak mempunyai masalah. Namun, fokus saya ketika ini tertumpu pada perniagaan sendiri.

“Selain menguruskan tempahan majlis perkahwinan, saya juga menyediakan khidmat sewa van. Sejak enam tahun menguruskan perniagaan ini yang sama usia dengan anak sulung, Erina, saya selesa dengan kerja sekarang,” katanya.

Syaireen, 31, pula yang pernah membawa watak mencabar menerusi filem Sayang Ibu kerana memerlukannya menyanyi, berhasrat melupakan lakonan buat sementara waktu.

Katanya, dia lebih berminat bekerja di belakang tabir dan bercita-cita menjadi produser berjaya.

Meskipun mula berlakon pada usia muda, dia tetap gembira dengan pengalaman yang ditimba. Menariknya, atas kemunculan menerusi filem pertamanya itu, dia turut dicalonkan antara Top 5 untuk kategori Pelakon Kanak-Kanak Terbaik pada Festival Filem Malaysia pada 1990.

“Ketika Syaiful berlakon drama Nur, saya juga terbabit sama tetapi hanya untuk musim pertama drama berkenaan. Berbanding lakonan, saya sebenarnya lebih berminat pada kerja belakang tabir dan mahu menubuhkan produksi sendiri.

“Memandangkan keluarga saya sendiri berkecimpung dalam lakonan sebelum ini, saya berharap dengan adanya produksi ini dapat membantu jana pendapatan untuk keluarga. Apabila sudah berkahwin dan mempunyai anak, saya fikir susah untuk berlakon.

“Buat masa ini, saya mahu memberi lebih perhatian kepada keluarga khusus anak. Mungkin apabila mempunyai produksi sendiri nanti, saya boleh bawa anak ke tempat kerja sekali dan ia memudahkan bekerja sambil menjenguk anak,” katanya.

Selepas mendirikan rumah tangga bersama Azrin Shaari pada 2003, dia banyak menumpukan perhatian pada tanggungjawab sebagai isteri. Di samping itu, dia turut menemani suami yang masih belajar di Universiti Industri Selangor (Unisel), Batang Berjuntai Selangor dalam bidang Perakaunan dan Perniagaan

Mengukuhkan hubungan kekeluargaan, Syaireen bersama suami dan dua anak mereka, Danish Haikal, 5, Daniea Hamani, empat bulan, kerap berulang-alik ke Kuala Lumpur bertemu ibu bapanya.

Baru-baru ini, dia bersama Syaiful berkesempatan mengadakan majlis cukur jambul untuk Daniea dan Syaizreen Eluna. Majlis yang bertemakan warna merah jambu dan putih itu dimeriahkan dengan acara marhaban dari kumpulan Kawan yang turut dianggotai Hazimah.

Memberi keberkatan, acara doa selamat diadakan selepas solat Zohor dan disambung dengan marhaban daripada kumpulan Al-Jannah. Majlis yang bermula jam 11 pagi hingga lewat petang dihadiri 800 tetamu.

Kata Hashim, dia bersyukur kerana majlis berjalan lancar walaupun ramai tetamu hadir. Menariknya, sajian istimewa seperti laksa, rojak, cucur udang dan kuih muih disediakan katering milik mereka sendiri, Erin N Erinas Sequins.

“Majlis sebegini dianggap penting dalam merapatkan hubungan kekeluargaan antara ibu bapa, anak, menantu dan cucu. Hampir 50 anggota keluarga kami bertemu dalam majlis ini. Malah, kami juga mengajak rakan dan kenalan lain hadir memeriahkan majlis.

“Berbanding majlis orang lain, kami mempunyai kemudahan kerana mempunyai katering sendiri. Kami berharap ikatan keluarga terus kukuh dan tradisi cucur jambul diteruskan masyarakat Melayu pada masa akan datang,” katanya.

>Profil

NAMA: Hashim Abdul Rahman

TARIKH LAHIR: 20 Mei 1948

ASAL: Kampung Baru, Kuala Lumpur

PENGALAMAN: Bekas Pemain bola sepak Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur (1979), Setiausaha Agung Persatuan Seniman Malaysia (1991-2000).

FILEM: Lebih 10 filem seperti Sayang Ibu, Ragam Pemandu, Simfoni Kasih dan Sembilu.

DRAMA: Lebih 100 drama televisyen seperti Bicara Awan Dan Tebing, Anak, Sembilu Kasih dan Gerak Khas.

ISTERI: Hazimah Haroon (Kak Jem)

TARIKH LAHIR: 18.5.1954

ASAL: Kampung Baru, Kuala Lumpur

ANAK: Syaiful Annuar, 35, Syaifuddin (Buzen), 28, dan Syaireen, 30.

CUCU: Syaizreen Erina, 6, Syaizreen Eluna, 3, Danish Haikal, 5, dan Daniea Hamani, 2 bulan.

Harian Metro

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: