Epilog: Filem Pahlawan Mat Kilau Wajar Cetus Kejutan

29 Jan

Oleh Akmal Abdullah
akmel@bharian.com.my

PADA pertengahan bulan depan, projek filem epik sejarah patriotik berjudul Pahlawan Mat Kilau dijadualkan dilancarkan secara rasmi oleh Menteri Perpaduan Kebudayaan Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal. Hebahan awal mengenai perancangan filem ini tidak dibuat lagi kerana produsernya masih bersikap ‘merendah diri’ kerana sibuk menjalankan proses praproduksi.

Seperti dimaklumkan kepada akhbar ini, syarikat Lagenda Studios Sdn Bhd menerusi Pengurus Perhubungan Awamnya, Julia Mohamad,

pihaknya masih dalam peringkat awal praproduksi dan berasakan mungkin terlalu awal bagi mereka untuk menggembar-gemburkan rancangan itu, tambahan pula, pengarah dan penerbit masih sibuk membuat tinjauan lokasi di luar negara.

Dalam kenyataannya, dimaklumkan juga selain filem itu bakal ditangani pengarah Rodzee A Razak, filem berkenaan dijangka membabitkan kos sebanyak RM10 Juta.

“Tujuan Lagenda Studios mahu menghasilkan penerbitan filem itu adalah sebagai menyahut seruan kerajaan supaya menjadikan medium filem sebagai satu alat untuk meniupkan semangat patriotisme di kalangan rakyat untuk mempertahankan kedaulatan negara. Ia juga boleh dijadikan teladan kepada generasi masa kini, bagaimana gigihnya perjuangan nenek moyang kita menentang penjajahan.

“Untuk pengetahuan, Lagenda Studios akan mengadakan acara pelancaran dan sidang media mengenainya pada pertengahan Februari sebelum memulakan penggambaran filem pada penghujung Mac 2009,” kata Julia dalam satu kenyataan sambil memohon maaf kerana lambat menghebahkan projek Pahlawan Mat Kilau kepada media massa.

Projek filem ini menjadi sesuatu yang menarik kerana banyak sebab. Pertamanya tentulah kerana berkaitan dengan seorang tokoh perwira Melayu yang berasal dari Mukim Pulau Tawar, Pahang bangkit untuk menentang penjajahan British pada era penghujung abad ke-19 hingga dia menjadi buruan dan menghilangkan diri hinggalah akhirnya muncul semula memperkenalkan dirinya pada awal 1970-an ketika berusia 123 tahun. Keberaniannya dulu yang turut mengkritik golongan bangsawan kerana berbaik dengan penjajah menyebabkan Mat Kilau menjadi sasaran untuk ditangkap dan dihukum tetapi berjaya melarikan diri.

Keberanian Mat Kilau menjadi sebutan ramai dari dulu dan terus dikenang hingga kini. Keberaniannya itu terserlah dengan pelbagai peristiwa termasuklah ketika pada 14 Jun – Pada 1894, tokoh itu bersama pahlawan Melayu Pahang yang lain termasuk Tok Gajah, Bahaman, Awang Nong, Teh Ibrahim, Mat Kelubi dan Mat Lela berjaya menawan kubu Inggeris di Jeram Ampai.

Lebih menarik bagi Mat Kilau ialah sepanjang kehilangannya selepas menjadi buruan, apa yang dilakukannya. Ini menarik untuk dibongkar dan diceritakan menerusi filem berkenaan. Penyelidikan terhadap susur galur perjuangan, pengembaraan dan persembunyian Mat Kilau harus dipaparkan supaya masyarakat akan lebih jelas untuk mengenai aspirasi dan patriotisme Mat Kilau sebenarnya selain sudah tentu sebagai sebuah filem cereka patriotik, akan ada elemen tokoh tambah yang disesuaikan mengikut mood sebuah filem epik.

Kita berharap menerusi filem Pahlawan Mat Kilau, akan dipaparkan juga bagaimana strategi perang dan ciri keberanian yang menjelma dalam diri tokoh itu. Sudah tentu pihak produksi dari Lagenda Studios sudah membuat kajian terperinci mengenai peribadi dan fizikal Mat Kilau, selain melihat bagaimana gayanya bercakap, cara berjalan, aksinya berpencak silat dan beberapa ciri kehebatannya yang luar biasa. Kajian juga tentunya sudah dibuat untuk melihat bagaimana bentuk khazanah Mat Kilau yang lain seperti pedang, keris, pakaian, kitab, barang persilatan, rumah dan sebagainya yang relevan dengan diri Mat Kilau. Ini semua harus diambil kira dalam menghasilkan epik Pahlawan Mat Kilau.

Sebab kedua yang mengejutkan industri ialah kerana projek filem ini bakal membabitkan bajet RM10 juta, iaitu filem cereka tempatan kedua termahal setakat ini selepas filem cereka Puteri Gunung Ledang terbitan Enfiniti Productions yang membabitkan kos produksi lebih RM16 juta.

Kita berharap Lagenda Studios juga teliti dalam casting atau pemilihan pelakon untuk filem itu kerana kesilapan casting selalunya akan menyebabkan persembahan filem menjadi hambar kerana lakonan tidak meyakinkan serta tidak disertai mutu persembahan yang boleh menggerakkan naratif serta feel filem itu sebagai sebuah cereka yang bermain dengan manusia zaman silam.

Kita berharap pelakon yang membawa watak Kilau akan benar-benar dapat membawa watak tokoh perwira itu dengan berkesan, sesuai dengan lagak fizikal, cara bermain air muka dan mampu menjelmakan ketokohan. Kita bimbang jika tersilap pilih pelakon, ia akan memberi kesan seperti berlaku dalam beberapa filem sejarah seperti Puteri Gunung Ledang apabila M Nasir tidak menyerlah membawa imej hebat Hang Tuah, begitu juga filem Leftenan Adnan yang memperlihatkan Hairie Othman tidak menyerlah sebagai perajurit hebat itu.

Dalam filem Raja Melewar dulu, watak Raja Melewar yang dilakonkan Eizlan Yusof juga tidak memenuhi ciri berkesan dan boleh dianggap sebagai casting yang gagal. Ini menyebabkan ketokohan perwira kita dulu tidak menyerlah dalam filem dan lebih menyedihkan apabila cerita dalam filem itu sendiri tidak begitu berkesan, gagal memberi feel dan semangat kepada penonton dan tidak menggambarkan dengan berkesan milieu zaman yang dibawa dalam skrin.

Filem Pahlawan Mat Kilau wajar mencetuskan kejutan yang bukan saja membanggakan industri filem dan menarik perhatian ramai untuk menonton cereka ini, sebaliknya harus boleh memberi kebanggaan kepada anak Pahang sendiri khususnya serta bangsa kita umumnya. Filem ini kelak harus bertanggungjawab untuk mengangkat imej sebenar Mat Kilau sebagai sebuah naskhah yang bukan sekadar ‘janji ada’ tetapi harus memenuhi agenda sebuah filem cereka patriotik seperti kata pihak produksi Lagenda Studios – ‘menjadikan medium filem sebagai satu alat untuk meniupkan semangat patriotisme di kalangan rakyat untuk mempertahankan kedaulatan negara’. Jika benar ia untuk meniupkan rasa patriotisme, wajarlah ia ditangani dengan baik supaya ia mampu memberi kekaguman dan kebanggaan apabila ia ditayangkan kelak. Pahlawan Mat Kilau akan menjadi perhatian untuk warga filem dan pengkritik yang kini sedang menanti dengan suspen untuk menilai sejauh mana hasil kerja Rodzee. Kita tunggu dan lihat saja nanti.

Kata orang, mati ikan kerana umpan, mati manusia kerana budi…

Berita Harian

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: