David Teo Masuk Rumah Tak Siap

28 Jan

Oleh Hartati Hassan Basri
hartati@hmetro.com.my

Rap

BERPINDAH ke rumah baru sebelum hari perayaan sememangnya sangat digalakkan di kalangan masyarakat Cina. Ia dilihat sebagai satu permulaan yang sangat baik apabila tinggal di rumah baru pada tahun baru.

Bagi produser popular, David Teo, 45, dan isteri, Jane Lim, 41, mereka berpindah ke rumah baru di Bukit Rimau, Shah Alam pada 21 Januari lalu walaupun belum sepenuhnya siap.

Rumah mereka dijadualkan siap dua minggu sebelum tahun baru, tetapi atas sebab tidak dapat dielakkan, kontraktor gagal menyiapkannya mengikut jadual.

Akui David, kedatangan tahun baru kali ini dilihat paling sesuai untuk berpindah ke rumah baru kerana penghujung tahun tikus disambut tahun lembu.

Malah bapanya, Teo Tuan Chin, 79, turut memilih tarikh dan masa paling sesuai untuknya masuk ke rumah baru.

“Proses pindah rumah sememangnya sangat meletihkan hingga tidak cukup tidur dan rehat. Saya dan Jane berbincang mengenai konsep rumah dan juga pemilihan perabot untuk disesuaikan dengan konsep kontemporari yang dipilih.

“Seminggu sebelum tahun baru, saya sangat sibuk untuk memastikan segala persiapan berpindah berjalan lancar. “Kesibukan ini menyebabkan saya ketepikan kerja di pejabat hingga pengagihan hamper dan limau seperti tahun sebelumnya tidak dapat dijalankan tahun ini.

“Walaupun banyak perabot yang belum siap, saya tetap berpindah pada 21 Januari lalu, tetapi untuk buat rumah terbuka di rumah baru, nampaknya belum bersedia lagi,” katanya.

David yang sebelum ini tinggal selama lapan tahun di Cheras Jaya, Cheras berkata, lokasi baru itu dipilih kerana kedudukannya sangat baik selepas meninjau beberapa lokasi di sekitar Lembah Klang.

Antara lokasi yang menarik minatnya ialah Sunway Lagoon dan Bukit Damansara, tetapi memilih Bukit Rimau yang lebih damai dengan kehijauan sekeliling.

“Antara kriteria utama saya sudah tentu kedudukan feng shui yang baik di tempat tinggi serta persekitaran menghijau. Selain itu saya suka suasana damai dan tidak suka penempatan yang sesak. Saya beli tanah di sini lima tahun lalu dan baru tahun lalu memutuskan untuk memulakan pembinaan rumah.

“Saya masuk rumah baru pada 21 Januari selepas mendapat nasihat daripada bapa saya mengenai hari dan masa paling sesuai untuk pindah.

“Sememangnya sejak dulu lagi saya akan meminta pandangannya mengenai tarikh sesuai untuk perkara penting.

“Begitu juga soal memberi nama anak-anak, tapi saya suka sesuaikan dengan zaman moden. Contohnya anak-anak saya diberi nama Inggeris, tetapi maknanya tidak lari dari bahasa Mandarin yang diberikan ayah saya. Cuma diubah suai dengan sebutan Inggeris seperti Teo Ruby, 17, Teo Jason, 10, Teo Jackhu, 9, dan Teo Jehan, 4,” katanya.

Mengenai sambutan Tahun Baru Cina kali ini, David yang juga Pengarah Urusan Metrowealth International Group (MIG) yang menjalankan perniagaan jualan langsung berkata, seperti biasa mereka sekeluarga pulang ke kampung untuk berkumpul bersama keluarganya di Segamat, Johor kemudian kembali bekerja pada hari ini (Rabu) dengan upacara sembahyang supaya perniagaan mereka bertambah maju.

Kata David, dia sangat bersyukur kerana perniagaannya berjalan dengan baik sepanjang 2008 terutama penerbitan filem dan drama.

Apa yang membanggakan, lima filemnya yang ditayangkan tahun lalu, Congkak, I’m Not Single, Senario The Movie Episod 1, Selamat Pagi Cinta dan Brainscan: Aku & Topi Ajaib mencatat kutipan keseluruhan RM13.5 juta.

“Saya bangga kerana MIG Productions mendahului produksi lain seperti KRU Filem, Grand Brilliance Sdn Bhd (GBSB) dan Tayangan Unggul Sdn Bhd.

“Untuk 2009, saya mensasarkan lapan filem dan 250 jam program untuk televisyen. Empat filem sudah siap iaitu Syurga Cinta, Jangan Tegur, Jangan Pandang Belakang Congkak dan Rempit V3 dan berharap dapat tayangkan lima filem bermula dengan Syurga Cinta pada 21 Mei ini.

“Untuk program televisyen pula drama bersiri Intan Asmara untuk slot Samarinda mencatat jumlah penonton yang tinggi begitu juga Mentua VS Menantu (Astro) dan Biarlah Rahsia di Radio Televisyen Malaysia (RTM). Semua ini membuktikan saya serius menghasilkan program televisyen dengan mementingkan kualiti untuk kepuasan penonton.

“Untuk tahun ini, TV3 memberi peluang pada saya menghasilkan drama untuk slot Samarinda, Lagenda, Akasia dan Lestary manakala untuk stesen lain, drama bersiri Jangan Pandang Belakang untuk RTM sudah siap begitu juga telefilem Mataku Nampak Hantu (Astro Ria).

“Saya juga akan memulakan penggambaran Mentua VS Menantu 3 untuk Astro selepas Erra Fazira selamat bersalin,” katanya.

Mengenai simbol lembu untuk tahun baru kali ini, David yang dilahirkan pada tahun naga meramalkan tahun ini penuh dengan pelbagai cabaran.

“Mengikut pusingan 12 tahun kalendar Cina, lembu adalah tahun pertama dan ia dianggap sebagai permulaan kerja keras dan bersungguh-sungguh dengan apa yang dilakukan untuk mencapai matlamat.

“Setiap kali pusingan tahun lembu juga berlaku krisis ekonomi seperti 1997, 1973 dan tahun ini disifatkan sebagai pengstrukturan semula perniagaan. Apabila berlaku kegawatan, perlu kerja keras untuk mempertahankan apa yang sudah dimiliki,” katanya.

David juga percaya doa daripada pekerja dan kawan-kawan juga membawa rezeki kepadanya.

Prinsipnya sejak dulu cukup mudah iaitu jangan tamak dan berkongsi rezeki dengan mereka yang banyak membantunya selama ini.

Sebelum pulang ke Segamat, Sabtu lalu, David tidak lupa meraikan mereka yang bertungkus-lumus menjayakan filem dan dramanya sepanjang tahun ini.

Bertempat di restoran miliknya di The Mines, Seri Kembangan, David dan Jane meraikan barisan pelakon dan kru Rempit V3 arahan Farid Kamil, Mataku Nampak Hantu (Feroz Kadir) yang baru saja selesai menjalani penggambaran bersama kru dan pelakon Brainscan, Syurga Cinta, Mertua VS Menantu dan Selamat Pagi Cinta.

Antaranya Ahmad Idham, Farid Kamil, Feroz, Norliana Samsudin (Yana), Lisa Surihani, Ery Putra, Serina Redzuan, Jehan Miskin, Aqasha, Anita Baharum, Intan Ladyana dan Wan Nor Azlin.

Tidak ketinggalan dua kakitangannya, Ketua Bahagian Promosi, Azahari Abdul Hamid dan Eksekutif Perhubungan Awam, Mohd Zubir Badar Shair.

Selain diraikan dengan hidangan yee sang sebagai simbol membawa rezeki dan limau, mereka juga mendapat angpau.

David dan Jane juga beruntung kerana sama-sama berasal dari Segamat, Johor.

Jadi selepas makan besar di rumah keluarga David di Kampung Pekan Jabi, Ahad lalu, mereka sekeluarga boleh berkumpul pula di rumah keluarga Jane di Kampung Abdullah.

Kata David, keluarganya tidak besar, cuma bapa, dua abang dan seorang adik yang semuanya menceburi dunia perniagaan.

Tentunya meriah apabila abang dan adiknya yang tinggal di Jakarta dan Surabaya, Indonesia pulang bersama keluarganya untuk meraikan Tahun Baru Cina sebagaimana kebiasaan.

Harian Metro

One Response to “David Teo Masuk Rumah Tak Siap”

  1. Cotton Comforter Sets January 28, 2011 at 4:08 PM #

    .’* I am very thankful to this topic because it really gives great information ,’*

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: