Sisi Maskulin Juliana Evans

22 Jan

Oleh FAIZAL SAHARUNI
mfaizal@kosmo.com.my

“Memilih kasut diumpamakan macam kita memilih teman atau pasangan hidup. Kita harus mencari kasut yang bersesuaian, berkualiti dan selesa dengan kaki sendiri” – Juliana


TRANSISI seorang wanita yang ingin membawakan watak kelelakian bukannya satu perkara mudah. Jika cukup bijak mengolah watak kaum lelaki yang sinonim dengan perwatakan kasar, maka impaknya bakal kelihatan semula jadi.

Bagi pelakon muda, Juliana Sophie Johari Evans atau lebih mesra disapa sebagai Jue, dia cukup bersyukur diberikan peluang menterjemah watak Mai, seorang remaja berusia 17 tahun yang sarat dengan sikap kelelakian.

Menerusi drama komedi romantik terbaru 13 episod, Kasut Tumit Tinggi, anak bongsu daripada tiga orang adik beradik mengaku tidak menghadapi sebarang masalah memegang watak yang dilihat hampir ‘menyerupai’ diri.

“Watak Mai secara keseluruhannya memang tiada persamaan dengan saya, sebaliknya Mai yang agak kasar barulah begitu dekat dan kena dengan jiwa saya.

“Dalam Kasut Tumit Tinggi, Mai merupakan gadis yang keras kepala serta terlalu mementingkan kehidupan ibunya lakonan Nanu Baharudin yang merupakan seorang ibu tunggal.

“Mai beria-ria cari pasangan untuk ibunya yang merupakan penterjemah novel dan popular sebagai penasihat cinta.

“Watak ini memang tidak terjadi dalam kehidupan realiti saya,” jawab Jue spontan terus tertawa manis.

Masih menuntut dalam Ijazah Program Amerika di Institut Help, Damansara, Kuala Lumpur, kata Jue, dia dibesarkan bersama-sama dua orang abang dan sudah pastilah dia terikut-ikut gaya seorang lelaki dalam melayari kehidupan.

“Gara-gara membesar dengan dua orang lelaki, lalu saya turut terbiasa bergaul, malah mudah serasi dengan rakan lelaki yang lain.

“Saya seorang gadis yang kasar dan ganas. Nampak saja saya bertubuh kecil, namun saya boleh buat banyak perkara yang golongan lelaki lakukan.

“Hingga sekarang sifat ke arah lelaki ada dalam diri, tetapi saya masih tidak melupakan sifat feminin,” akui Jue.

Selain Jue dan Nanu, Kasut Tumit Tinggi turut dibintangi oleh Datin Norish Karman, Amy Mastura, Siti Saleha dan Renaldo Scully.

Bakal disiarkan di Astro Prima (saluran 105), drama yang diarahkan oleh pengarah muda, Low Ngai Yuen akan bermula hari ini bermula pukul 10 malam.

Baru ‘gilai’ kasut tumit tinggi

Tidak dinafikan, golongan wanita cukup sinonim dengan kasut tumit tinggi. Bagai tidak lengkap rasanya naluri kewanitaan, tanpa menyarungkan kasut yang mencecah ketinggian sebanyak empat ataupun lima inci.


“MENGAKUI hatinya sudah ditawan oleh seorang lelaki bergelar ahli perniagaan.”

Pantas butir bicara Jue tatkala dilontarkan pertanyaan tentang kasut tumit tinggi. Enggan berselindung, Jue meluahkan personaliti diri yang menyukai kasut tumit tinggi, namun dia tidak gemar memakainya dalam kehidupan seharian.

“Saya boleh dikatakan bukan gadis yang material, hingga ada melebihi 10 pasang kasut tumit tinggi.

“Sebaliknya saya begitu selesa memakai kasut sukan, kasut yang tidak bertumit atau selipar jika hendak ke mana-mana.

“Kasut tumit tinggi tidak saya lupakan, cuma saya enggan memakainya kalau hendak keluar membeli-belah dan bersantai,” jelas Jue yang kini berusia 19 tahun.

Jue bagaimanapun menjelaskan, kasut tumit tinggi menjadi perkara wajib yang perlu ada kepada setiap golongan wanita.

“Saya baru saja bermula memakai kasut tumit tinggi. Pada pendapat saya, si pemakai kasut tumit tinggi biasanya akan berasa lebih berkeyakinan dengan diri yang memiliki fizikal rendah.

“Selepas menjadi artis, saya harus beli lebih banyak kasut tumit tinggi untuk menghadiri sebarang acara penting atau pergi ke sesi fotografi dengan media cetak.

“Tidaklah berbelanja dengan banyak, sebaliknya saya hanya beli mengikut kemampuan dan memastikan ia kelihatan menarik pada pandangan,” dedah Jue yang menggemari rekaan kasut tumit tinggi jenama Aldo, Nine West dan Vincci.

Tidak terkecuali, Jue sempat mengekspresikan relevan kasut tumit tinggi. Terang Jue lagi, kasut jenis itu punya teori dan metafor tersendiri yang sukar dipertikaikan.

“Memilih kasut diumpamakan macam kita memilih teman atau pasangan hidup. Kita harus mencari kasut yang bersesuaian, berkualiti dan selesa dengan kaki sendiri.

“Kalau sudah memiliki kasut yang diidamkan dan betul-betul bermutu, kita akan terus memakainya setiap masa dan situasi.

“Selepas bosan dengan kasut itu, kita menukar pula dengan yang baru. Kasut lama mula dilupakan, malah ada yang terus membuangnya.

“Sama halnya juga dengan manusia. Saya melihat dua aspek ini berkait rapat di antara satu sama lain,” hurai Jue sambil berfalsafah.

Bukan sombong, tetapi pemalu

Melihat raut wajahnya yang sentiasa serius dan tidak mesra dengan orang sekeliling, pasti ramai yang beranggapan Jue merupakan seorang gadis sombong dan memilih kawan.


“SEMAKIN membina nama yang sempurna dalam dunia lakonan.”

Hakikat itu ditepis sama sekali oleh Jue yang mengatakan bahawa empunya diri seorang yang pemalu, malah lambat mesra dengan orang lain.

“Saya pemalu,” jawabnya ringkas sambil tersenyum manis menolak tanggapan yang tidak berasas mengaitkan dirinya penyombong tidak bertempat.

Sambung Jue lagi, kalau dia bertemu dengan individu yang baru dikenali, pastinya dia hanya terdiam tanpa banyak berbicara.

“Saya seboleh-bolehnya akan memulakan perbualan dengan orang yang baru dikenali walaupun cuma sedikit.

“Boleh dikatakan saya mudah malu dengan orang lebih-lebih lagi kalau baru kali pertama berjumpa.

“Kalau dua pihak sekadar berdiam diri, saya cuba untuk menegur dan berbual dengan orang yang baru dikenali.

“Paling penting, saya akan memastikan kedua-dua pihak berasa selesa di antara satu sama lain tanpa ada sebarang jurang,” jelas Jue dalam getar suara perlahan.

Dua tahun menyulam cinta

Anak kacukan Melayu di sebelah ibu dan Inggeris di sebelah bapa tidak pernah berselindung tatkala diajak berbual perihal cinta yang menghampiri diri.

Gadis jelita ibarat Jue mana mungkin tidak memiliki cinta. Dengan bergelar status sebagai selebriti, pasti ramai lelaki berpusu-pusu mahu menagih cinta darinya.

“Macam tidak menarik kalau dalam usia sekarang saya tidak memiliki teman lelaki,” sebaris ayat yang terkeluar dari bibir tipis Jue sambil diri tertawa berdekah-dekah.

Jue mengakui dia sebenarnya sudah mempunyai kekasih hati yang sudah dikenalinya sejak dua tahun lalu.

Pemuda bertuah yang berjaya mendampingi hati Jue ialah seorang ahli perniagaan, tiga tahun lebih tua daripada Jue.

“Usia percintaan kami sudah pun memasuki usia dua tahun, malah kami gembira bersama lagi. Namun, saya tidak mahu tergesa-gesa mengubah status hubungan kami.

“Saya masih muda. Kini menjadi masa terbaik untuk kami mengenal hati budi masing-masing,” akui Jue yang enggan mendedahkan nama si teman lelakinya kerana ingin privasi.

Kosmo

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: