Jaga Badan Untuk Lakonan

21 Jan

Oleh Nurulhisham Abdul Latiff
nurul@bharian.com.my


Adi Putra

Adi Putra bersyukur rezeki daripada lakonan tidak pernah putus

LIMA tahun mengorak langkah mencipta nama di persada seni lakon negara ini, Adi Putra dilihat sudah berjaya menempatkan dirinya antara pelakon dikenali. Walaupun sering diberikan peranan pembantu, namun lakonannya yang baik membolehkan Adi terus muncul dalam pelbagai judul.

Selain Akhirat dan Histeria yang menemui penonton tahun lalu, Adi juga menghiasi layar lebar filem Anak Halal dan 1957: Hati Malaya. Mungkinkah tahun 2009 akan menyaksikan tuahnya lebih menyerlah apabila jejaka dari Singapura ini ditawarkan watak utama sebuah filem terbitan KasehDia Pictures, berjudul Haq?

Dilancarkan 14 Januari lalu, filem berkenaan bakal diarahkan Fairuz Loy dan C L Hor, yang baru saja menyaksikan filem aksi seni bela dirinya, Kinta, menemui penonton di pawagam.

Bagi Adi, filem terbabit membawa banyak kelainan apabila ia menyentuh soal kekuasaan dan keajaiban. Ia antara lain mengisahkan dua adik-beradik angkat yang mempunyai kuasa luar biasa. Konflik bermula apabila mereka diuji keperitan hidup, godaan kemewahan, wanita dan ketidakpastian antara yang benar dan salah.

“Saya sendiri kini sering berulang-alik ke gimnasium untuk menurunkan berat badan bagi menyesuaikan diri dengan watak diberikan. Selain memberikan penampilan lebih meyakinkan dalam filem terbabit, saya juga berasa lebih cergas apabila bersenam,” kata jejaka peramah ini.

Bersama-samanya menjayakan filem bercorak aksi-thriller berkenaan ialah Zul Huzaimi, Raja Farah, Fatimah Abu Bakar dan Nanu Baharudin (merangkap penerbit bersama).

Filem yang dijangka memulakan penggambaran pada Februari ini diterbitkan KasehDia dengan kerjasama Black Box Pictures, serta dirancang bukan saja untuk pasaran tempatan, bahkan untuk tontonan peringkat antarabangsa.

Mensyukuri rezeki lakonan yang tidak pernah terhenti, Adi turut melahirkan kegembiraan apabila filem Histeria arahan James Lee mendapat sambutan amat membanggakan daripada penonton. Sehingga kini, ia dikatakan sudah pun menghampiri angka RM3 juta. Ketika artikel ini ditulis, beberapa panggung masih menayangkan filem terbitan Tayangan Unggul itu walaupun tempoh wajib tayang sudah pun selesai.

“Saya bukan memuji filem lakonan sendiri, tetapi saya menganggap Histeria antara judul yang wajib ditonton. Ia mampu memberi cita rasa berbeza buat penggemar filem Melayu. James mempunyai pandangan yang cukup berlainan sebagai seorang sutradara sehingga melahirkan perwatakan yang dilihat amat pelbagai.

“Watak saya sebagai Cikgu Helmi sendiri punya kejutannya. Ia sebuah gabungan cerita dan perwatakan yang hangat. Jalan ceritanya juga amat segar, umpama sebuah filem dari Amerika Syarikat,” ujar Adi.

Ketika sesi fotografi ini dilakukan, Adi masih berulang ke lokasi penggambaran drama bersiri berjudul Rozana untuk mengisi slot Samarinda.

Sebanyak 25 episod, drama terbitan Suhan Movies itu menyaksikan Adi berlakon di sisi hero Malaya, Rosyam Nor, Rita Rudaini, Eizlan Yusof, Watie selain seniman berpengalaman Datuk Rahim Razali.

“Bekerja dengan Rosyam begitu menyenangkan. Dia amat memahami tugas kami sebagai pelakon. Apatah lagi saya dan dia sama-sama turut bergelar penerbit. Rosyam sentiasa terbuka untuk perbincangan dan tidak membeza-bezakan mereka yang bekerja dengannya,” cerita Adi yang mengaku Rosyam banyak memberikannya ruang untuk muncul di layar kecil televisyen.

Sebelum Rozana yang ditayangkan Januari ini, Adi terlebih dulu menjalani penggambaran drama bersiri Issendra sebanyak 26 episod, untuk RTM. Drama terbitan bersama isterinya, Aida Yusof, menerusi syarikat Pro Pictures itu turut dilakonkan Fahrin Ahmad, Eira Syazira, Yatt, Jue Aziz dan Faizal Yusuf.

Muncul dengan album Kelahiran

DALAM kerancakan Adi melayari dunia lakonan, tiba-tiba dia muncul dengan sebuah album yang diberi judul Kelahiran. Memuatkan 10 lagu, album itu dihasilkan menerusi syarikatnya sendiri, Adi Entertainment, dengan kerjasama Pro Pictures. Manakala edaran pula dilakukan syarikat Music Valley.

Menurut Adi, bukan berniat untuk menyaingi penyanyi lelaki sedia ada, Kelahiran diterbitkan sebagai penghargaan buat peminat yang ingin melihatnya tampil dengan album sendiri.

“Saya lebih kepada penyanyi jalanan. Saya sedar, saya bukannya penyanyi yang terbaik, tetapi ada masanya penyanyi yang kurang baik juga mampu tampil lebih menghiburkan dengan corak persembahannya. Saya juga menganggap pengeluaran album ini sebagai pelengkap untuk bergelar seorang penghibur,” katanya.

Album yang mempunyai sentuhan irama 90-an itu diterbitkan Oney, Zulkefli Majid dan Wan K. Ia menyenaraikan lagu seperti Warna Dunia, Kelahiran, Pinta, Kasihku, Cinta Dunia Nyata, Andai, Berangta Cinta, Kasih Yang Pergi, Aku Dan Katil dan Kilas Mu Kembali.

Berita Harian

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: