Aida Jadi Keluarga TV9

19 Jan

Oleh Rozdan Mazalan
rozdan@bharian.com.my


Aksi Aida melakonkan sketsa
anak melupakan keluarganya.

Juara program Gadis Melayu mengaku amanah yang digalasnya sangat berat

JANJINYA untuk memegang amanah yang diberikan sebagai Ikon Gadis Melayu bukan sesuatu yang mudah untuk dilaksanakan, namun Aida atau nama sebenarnya Khairul Noormaidah Zali, 23 yang dinobatkan sebagai Gadis Melayu pertama program terbitan TV9 ini berusaha menggalas tanggungjawab yang diberikan.

“Amanah yang diberikan itu amat berat bagi saya, namun saya akan berusaha untuk membawa gelaran Gadis Melayu ini sebaik mungkin.

“Saya akan melaksanakan amanah ini dengan sebaik-baik mungkin kerana saya tidak mahu menjadi seorang yang munafik apabila dipertanggungjawab amanah sebegini besar kepada saya,” kata gadis yang berasal dari Kuantan, Pahang.

Aida yang baru saja menamatkan pengajian di Universiti Utara Malaysia (UUM) di dalam bidang komunikasi turut bersyukur kerana bukan saja gelaran yang diterima sebaik menjuarai program itu tetapi sesuatu yang istimewa diumumkan pada malam itu.

Program Gadis Melayu yang berlangsung selama lapan minggu adalah antara program realiti terbaru terbitan TV9.


Bersama ibu dan bapa yang banyak memberi sokongan.

“Alhamdulillah rezeki yang saya terima ini bukan saja menerima kejuaraan bagi program ini tetapi turut ditawar untuk menjadi sebahagian daripada keluarga TV9. Sememangnya ini adalah impian yang saya tunggu selama ini untuk terbabit di dalam bidang penyiaran.

“Saya sangat meminati bidang pengacaraan ini sejak dulu lagi dan sekiranya diberikan pilihan saya lebih berminat untuk mengendalikan program yang berunsur keagamaan.

“Ia sebenarnya bukan saya dapat memberi maklumat kepada penonton malah saya turut sama mendapat manfaat daripada program itu, sedikit sebanyak ia dapat menambah ilmu pengetahuan dan menjadi bekalan saya di akhirat,” katanya.

Sebaik diisytiharkan sebagai Ikon Gadis Melayu, Pengurus Penjenamaan & Komunikasi TV9, Noor Amy Ismail mengumumkan pada sidang media bahawa Aida turut ditawar untuk menjadi sebahagian daripada keluarga TV9.

“Setelah perbincangan dibuat, kami bersetuju untuk menawar tawaran ini kepada Aida untuk menjadi sebahagian daripada keluarga TV9.

“Bagaimanapun, Aida akan diletakkan di bahagian latihan untuk menjalani latihan seperti mana yang dilalui oleh pekerja kita yang lain.

“Buat masa permulaan ini, Aida akan menjalani latihan praktikal di bahagian wartawan penyiaran,” katanya pada sidang media sebaik saja majlis itu tamat.

Semua finalis termasuk Aida mengakui, sepanjang mengikuti program Gadis Melayu sejak Oktober tahun lalu banyak perubahan diri dapat dirasainya.

“Saya akui sehingga kini banyak perubahan positif yang dapat saya rasai, antaranya keyakinan saya semakin bertambah, walaupun sesekali darah gemuruh apabila berhadapan dengan orang ramai namun semuanya dapat diatasi dengan tenang sekali.

“Impaknya sangat besar bagi saya, ini adalah objektif yang cuba ditonjolkan oleh TV9 dan saya merasakan objektifnya tercapai,” katanya.

Selain Aida empat gadis Melayu yang bertanding seperti Noor Afzan Mohd Afzul Khan atau Afzan (Kota Kinabalu, Sabah), Siti Nurashikin Mohd Noor atau Shikin (Sungai Petani, Kedah), Nurul Khusna Uma atau Khusna (Kuantan, Pahang) dan Nur Aishah Zainal atau Aishah (Melaka).

Semua peserta diadili juri profesional dalam bidang masing-masing yang terdiri daripada Toh Puan Noor Aini Datuk Abdullah, Profesor Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah Karim Datuk Siti Nor Bahyah Mahmood, Dr Fazley Yaacob dan Stephen Rahman Hughes.

Setiap peserta diwajibkan untuk menunjukkan bakat masing-masing menerusi kebolehan yang dipelajari sepanjang mengikuti program ini.

Kesemua finalis berusaha untuk mengaplikasikan segala pengalaman dan tunjuk ajar dalam menghadapi cabaran terbesar pada malam kemuncak ini dengan membuat persembahan.

Persembahan dimulai Afzan yang mendeklamasi sajak serta diselangi dengan tarian tradisional Sabah, Daling-Daling. Afzan juga turut dibantu pelakon profesional Razali Husin dalam sketsa pendek.

Persembahan seterusnya dilakukan oleh Aishah yang dimulai dengan lakonan Puteri Hang Li Po, tarian dan nyanyian berjudul Tarian Tualang Tiga.

Khusna memulakan persembahan dengan paluan bonang daripada salah satu alatan muzik gamelan. Khusna turut mendapat bantuan daripada Mohram mengiringi gurindam, puisi dan silat dalam persembahan yang sangat sempurna.

Diteruskan dengan juara Gadis Melayu, Aida membuka persembahan dengan lakonan yang sangat berkesan sehingga mampu menitiskan air mata. Aida yang melakonkan watak anak derhaka disudahi dengan nyanyian puisi gandingan bersama Akbar.

Persembahan terakhir diambil alih oleh Shikin yang mengambil topik paling hangat diperkatakan dunia sekarang mengenai kekejaman Zionis. Topik dan persembahan yang dimulai dengan lakonan yang dibantu oleh Cicik dan sajak turut mendapat pujian daripada juri termasuk dua pengacara iaitu Afdlin Shauki dan Adlin Aman Ramlee.

Cabaran terakhir buat lima peserta ini akan dinilai oleh lima juri profesional yang terdiri daripada Toh Puan Noor Aini Datuk Abdullah, Profesor Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah Karim Datuk Siti Nor Bahyah Mahmood, Dr Fazley Yaacob dan Stephen Rahman Hughes mengemukakan satu soalan dan harus dijawab peserta dengan lancar dan yakin.

Di sinilah keyakinan diri memainkan peranan penting untuk tampil lebih yakin dan petah berbicara secara spontan utuk menambat hati juri dan pengundi.

Sebelum pengacara mengumumkan keputusan, Gadis Melayu yang disiarkan secara langsung menerusi TV9 dari Auditorium Majlis Perbandaran Shah Alam, Hazami menyampaikan sebuah lagu berjudul dan Katakanlah dan disudahi dengan persembahan kemuncak daripada Jamal Abdillah menerusi Gadis Melayu.

Aida menerima wang tunai RM10,000, trofi serta barang iringan disampaikan Sultanah Kedah, Tuanku Hamimah Hamidun. Sementara empat peserta lain menerima saguhati RM1,000 dan barangan iringan.

Hadir sama Pengerusi Media Prima, Datuk Abdul Mutalib Mohamed Razak dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Datuk Seri Farid Ridzuan. Turut hadir, Ketua Pegawai Operasi TV9, Bukhari Che Muda.

Berita Harian

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: