Lisda Kaki Motor

13 Jan

Oleh YUSMAN AWANG
yusman.awang@kosmo.com.my

Segala onak dan duri kehidupan yang dialami sepanjang 30 tahun lalu sentiasa berbekas dalam diri Lisdawati Nazaruddin.


KESUKARAN dalam kehidupan bakal menjerumuskan manusia kepada dua perkara, sama ada kejahatan atau kebaikan. Bagi individu yang tewas, jalan singkat dipilih dengan merealisasikan perkara-perkara negatif.

Namun bagi yang tabah, mereka akan berusaha keras untuk mengubah nasib ke arah yang lebih baik. Realitinya, ia tidak semudah sebaris ayat tersebut.

Biarpun kejayaan sudah dalam genggaman, ada juga individu yang lupa dengan segala ranjau sepanjang jalan yang dilaluinya sebelum menggapai kejayaan.

Berhati-hati dan berjimat. Dua perkara ini sentiasa menjadi pembakar semangat buat pelakon Lisdawati Nazaruddin atau nama ringkasnya Lisda dalam menempuh hari-hari yang mendatang.


LISDA terlebih dahulu mencipta nama sebagai model iklan.

Ternyata kesusahan hidup masa silam yang dilaluinya masih berbekas.

“Saya tidak pernah dan tidak akan melupakan segala kesukaran hidup yang saya alami sebelum menjadi siapa saya hari ini,” ujarnya.

“Namun, saya tidak pula kata saya sudah benar-benar berjaya sekarang. Cuma saya bersyukur dengan apa yang ada setakat ini, memiliki rumah tempat berteduh, suami yang boleh berkongsi segalanya, dan anak yang menceriakan lagi kehidupan kami suami isteri,” ucapnya tulus.

Mengunjungi Lisda di kediamannya tempoh hari, ternyata pelakon jelita ini seorang yang cukup sederhana.

“Saya cukup berhati-hati dalam menjalani kehidupan ini supaya tidak mudah ditipu. Itu yang saya belajar setakat ini daripada kesukaran hidup yang saya alami pada masa lalu.

“Sebab itu saya sentiasa berjimat cermat kerana saya sedar sedikit kesenangan yang saya peroleh hari ini asalnya daripada kesukaran yang saya lalui dulu,” bicara Lisda, 30, sambil menunjukkan foto-foto dirinya ketika remaja.

Sebenarnya bukan senang mendapatkan individu terkenal untuk kembali menjejaki zaman remaja mereka. Lisda sendiri, sebagai contohnya, terpaksa menyelongkar di setiap ceruk rumahnya untuk mencari kembali foto-foto yang melakar kronologi sejarah dirinya.


LISDA sememangnya seorang kaki motor ketika zaman remajanya. Bergambar kenangan ketika berusia 20 tahun dengan motosikal Aprillia.

Menyaksikan Lisda hari ini sebagai pelakon drama dan filem serta terbaru bakatnya sebagai penari yang cukup terserlah selepas berjaya menjuarai program Sehati Berdansa musim kedua bersama suami tercinta, aktor Fauzi Nawawi, 36, pasti ada yang menyangka bakat seninya itu tercetus sejak kecil lagi. Salah sangkaan itu.

“Kalau nak kata bakat seni saya terserlah sejak kecil lagi, tidak juga. Saya memang seorang yang takut naik ke pentas. Pernah ketika di tingkatan dua, saya dan seorang rakan mendapat giliran untuk membaca puisi ketika perhimpunan sekolah.

“Rakan saya itu lancar sahaja bacaan puisinya, tetapi bila tiba giliran saya kena sambung puisi yang dibacakannya, tubuh saya jadi menggeletar sampai tak terkeluar suara. Masa itulah air mata saya mulai mengalir dan dengan perasaan penuh malu saya terus melarikan diri turun dari pentas,” ungkap Lisda.

Ahli sukan

Menetap bersama keluarganya di Sentul, Kuala Lumpur, Lisda menimba ilmu di Sekolah Rendah Bandar Baru Sentul sebelum melanjutkan pelajaran ke Sekolah Menengah Bandar Baru Sentul. Di sekolah dia memiliki bakat sebagai ahli sukan.

“Saya pernah menjadi wakil sekolah dan kemudian Kuala Lumpur untuk Sukan Malaysia (Sukma) menerusi sukan lompat jauh dan lompat kijang. Kalau nak tahu jurulatih saya ialah Sharifah Mazlina Syed Abdul Kadir (kini Datin Paduka dan dikenali sebagai penakluk Artik dan Antartika).

“Beliau bukanlah guru di sekolah saya tetapi diambil khas untuk melatih sukan yang diceburi saya. Pada masa itu saya di tingkatan dua.

“Namun, selepas hampir dua tahun di bawah latihannya, beliau kemudian menyambung pelajaran ke Kanada. Jadi, saya tidak lagi mempunyai mentor menyebabkan semangat dan minat saya dalam sukan pun lebur. Pendek kata dalam istilah sukan, saya ‘gantung spike’,” kenang Lisda.


KIRI: BERSAMA adik tersayang ketika Lisda berumur 10 tahun. KANAN: LISDA (kiri) bersama adik-beradik selalu berkunjung ke Zoo Negara.

Itu bukanlah pengorbanan yang dilakukannya untuk mencapai kejayaan. Sebaliknya, Lisda harus melakukan pengorbanan sejurus persekolahannya tamat menjelang 1996.

“Ketika itu saya hanya fikir mahu bekerja dan cari duit memandangkan keluarga saya bukannya daripada golongan kaya. Saya fikir kalau saya sambung belajar pun, nanti tak cukup wang, lagipun abang saya, Adi, ketika itu bakal masuk UiTM, jadi saya dulukan abang,” beritahunya.

Sambung Lisda, “Syukur saya kemudian mendapat kerja sebagai kerani di sebuah syarikat insurans di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur.

“Saya ingat ketika zaman gawat sekitar 1997, saya masih bekerja di situ, mujur pekerja di syarikat itu termasuk saya tidak dibuang kerja tetapi kami tidak boleh buat tuntutan lebih masa.”

Tunggang motosikal TZM

Namun, kenangan yang cukup berbekas ketika itu adalah pengalaman pergi kerja dengan motosikal Yamaha TZM yang dibeli hasil daripada gaji pertamanya.

“Kalau dah naik motosikal, agak kurang sesuai pakai baju kurung. Jadi, saya pakai stail penunggang motosikal lengkap dengan jaket dan seluar kulit, kira rugged ketika itu. Tapi sebelum masuk pejabat saya tukar pakai baju kurung,” beritahunya sambil tergelak kecil.

“Kenangan yang tidak dapat dilupakan ialah setiap pagi sebelum sampai pejabat, saya akan melalui sebuah hotel yang terletak berhampiran pejabat saya. Saya memakai topi keledar yang ada penutup muka, dan pakaian pula rugged. Biarpun orang tahu yang bawa motosikal itu perempuan, saya tetap mahu berlagak macho.

“Di hotel itu, ada seorang lelaki penjaga pintu yang sama setiap pagi bertugas di situ. Jadi, setiap pagi ketika saya lalu dengan motosikal, saya akan mengangkat tangan kepadanya dan dia pun membalas dengan mengangkat tangannya kepada saya. Boleh dikatakan itulah rutin harian.

“Suatu hari saya yang berpakaian baju kurung keluar dari pejabat dan ada hal serta perlu melalui pintu hotel tersebut. Dengan spontan saya mengangkat tangan kepada lelaki penjaga pintu hotel tersebut yang kemudian terperanjat melihat kelakuan saya. Kemudian barulah saya sedar saya ketika itu bukan menungang motosikal, kira pecahlah rahsia saya,” kata Lisda sambil meledakkan ketawa.


KIRI: FESYEN rambut stail Fauziah Latiff ketika di tingkatan dua. KANAN: LISDA mewarisi kecantikan ibunya, Risda.

Apa yang penting, menurut Lisda dia masih menyimpan motosikal TZM miliknya sejak dia berumur 18 tahun. Usia motosikal itu sudah 11 tahun.

Mungkin tuah dirinya disebabkan minat terhadap motosikal suatu hari Lisda ditawarkan menjadi penghias muka depan sebuah majalah berjudul Motorsikal pada 1999.

“Sebelum ini hanya artis yang dijadikan penghias muka depan majalah itu, kira saya pecah tradisi kerana saya hanya orang biasa ketika itu,” tuturnya.

Terpaksa korbankan tahi lalat

Bermula episod baru, Lisda mulai menyedari kelebihan yang ada pada dirinya – seraut wajah. “Saya mencuba nasib dengan pergi ke uji bakat iklan. Pada 1998, saya dapat tawaran menjadi model iklan satu jenama syampu rambut, bayarannya ketika itu memang buat mata saya terbeliaklah, RM15,000!” beritahunya.


KEHIDUPAN Lisda bertambah lengkap dengan kehadiran permata hati,Nur Aini Farhana.

Ketika itulah Lisda terpaksa membuat satu lagi pengorbanan. Sambungnya, “Tawaran itu bagaimanapun bersyarat. Saya dikehendaki membuang tahi lalat yang ada pada pipi saya.

“Pihak yang menguji bakat iklan tersebut kesemuanya kaum Cina, dan dalam industri pengiklanan, tahi lalat adalah sesuatu yang tidak dikehendaki pada model iklan ketika itu. Saya pula sangat sayangkan tahi lalat saya itu, jadi saya tolak tawaran tersebut.

“Namun, apabila saya dapat satu lagi tawaran iklan syampu jenama lain, ketika itu umur saya 20 tahun, dan kali ini tawarannya lebih lumayan saya tidak dapat tolak lagi tawaran tersebut. Jadi, saya terpaksalah dengan berat hati membuang tahi lalat kesayangan itu,” akuinya.

Bermula detik itu, karier Lisda sebagai model iklan semakin cerah apabila dia seterusnya meraih kontrak iklan pelbagai bahan penjagaan kecantikan wanita.

Semuanya tuah seraut wajahnya yang dikatakan sesuai dengan pasaran Asia, sebab itulah wajahnya sebagai model iklan pernah terpapar sehingga ke Thailand.

Menjelang tahun 2000 yang menjadi pemula era milenium, Lisda turut menjananya dengan menjadi model untuk iklan seluar jean Levi’s. Bersama beberapa model lain, dia perlu tampil dengan gaya remaja urban era milenium untuk iklan tersebut.

Masalah produksi drama

Justeru, bilakah detik pemula Lisda bergelar pelakon? Langkahnya ke bidang lakonan sebenarnya sudah bermula pada tahun 1999.

“Ketika itu saya mendapat tawaran berlakon drama berjudul Hikayat 1001 Malam, yang mana saya perlu melakonkan pelbagai watak menerusi pelbagai episod berlainan. Drama ini diarahkan oleh empat pengarah.

“Sebelum menjayakan drama tersebut saya dan barisan pelakon termasuk pelakon utama lelaki, Eizlan Yusuf dikehendaki menjalani latihan lakonan,” jelas Lisda.

Namun, mungkin rezeki sebagai pelakon belum menjadi miliknya, menurut Lisda, dia terpaksa menarik diri daripada produksi tersebut selepas menjalani latihan lakonan selama tiga bulan.

“Bukanlah saya sengaja mencetuskan masalah, tetapi disebabkan ada suara-suara dalam produksi itu yang tidak menyenangi penglibatan saya, sebelum menjadi lebih parah saya lebih rela mengalah dan menarik diri.

“Produksi itu sepatutnya menjadi naskhah pertama lakonan saya tetapi saya terpaksa melakukan pengorbanan. Saya percaya setiap yang berlaku ada hikmah di sebaliknya,” ujar Lisda.

Kalau sudah nasibnya tertulis untuk bergelar anak wayang, Lisda tetap meraih peluang. Sebelum itu, pada 2001, dia berpeluang menimba pengalaman dari segi penampilan di layar kaca. Lisda menjadi hos program Ekplorasi M, sebuah program baru terbitan Astro.

Ternyata rezeki lakonannya juga dengan Astro apabila syarikat pembikinan filem yang bernaung di bawah stesen TV swasta gergasi itu iaitu Tayangan Unggul Sdn. Bhd. ingin menerbitkan filem berjudul KL Menjerit pada 2002.

“Ketika itu saya memfokus kepada kerjaya model iklan dan pengacara, namun saya menghadiri uji bakat KL Menjerit. Saya masih ingat lagi saya memakai pakaian yang saya jahit sendiri pada uji bakat yang turut dihadiri beberapa artis, antara saya ingat ialah dua anggota kumpulan Elite iaitu Abby Abadi dan Azza.

“Malah, ketika itu ada akhbar yang melaporkan Nasha Aziz yang akan menjadi heroin KL Menjerit, tetapi pengarah filem itu, Bade (Badaruddin Azmi) dan Astro mahu menampilkan muka baru, jadi syukur, rezeki berpihak kepada saya dan KL Menjerit menjadi naskhah pertama saya dalam dunia lakonan,” ujar Lisda.

Sebelum mengakhiri bicaranya, Lisda melontarkan luahan, “Sebelum saya menjadi saya pada hari ini, ibulah mentor dan idola utama saya, pembakar semangat dan memberi kekuatan dalam diri saya sejak mula lagi.”

Kosmo

One Response to “Lisda Kaki Motor”

  1. Mohd Tajuddin April 26, 2009 at 7:04 AM #

    UNIVERSITI UTARA MALAYSIA

    program dijalankan di Universiti Utara Malaysia Kampus Kuala Lumpur.

    Program Diploma Eksekutif telah direka bentuk dengan kerjasama Pusat Pembangunan Eksekutif Universiti Utara Malaysia khusus bagi pekerja yang berminat untuk mempertingkatkan pengetahuan dan meningkatkan peluang kerjaya dan kenaikan pangkat,dengan melatih para peserta supaya layak untuk memegang jawatan yang lebih tinggi dalam sesebuah organisasi.

    PROGRAM DIPLOMA EKSEKUTIF / PENGAMBILAN SETIAP BULAN

    Diploma Eksekutif dalam Pengurusan Perniagaan (Executive Diploma in Business Management)
    Diploma Eksekutif Dalam Perhubungan Awam (Executive Diploma in Public Relation)

    Syarat Kemasukkan

    SPM dengan 2 tahun pengalaman bekerja / SRP 7 tahun pengalaman
    Kelayakan akademik lain yang diiktiraf oleh UUM

    Jangkamasa

    9 bulan sahaja (2 hari sahaja Sabtu dan Ahad setiap bulan)
    KAEDAH PEMBAYARAN ( Yuran RM 7,000 + RM150.00 Pendaftaran atas nama Bendahari Universiti Utara Malaysia)
    Pengeluaran KWSP – DIGALAKKAN
    Ansuran Bulanan
    Pinjaman Bank – DIGALAKKAN
    Bayaran Tunai
    Tuntutan HDRF

    ****PENGANUGERAHAN Diploma dianugerah oleh Universiti Utara Malaysia***

    Dokumen-dokumen yang perlu disertakan semasa pendaftaran :
    1 salinan Sijil SPM atau SRP
    1 salinan Kad Pengenalan.
    4 keping gambar berukuran passport.
    Surat Pengesahan daripada majikan (kecuali yang bekerja sendiri)
    Penyata KWSP yang terkini (bagi kaedah pembayaran melalui pengeluaran KWSP sahaja).

    Untuk makluman : Kelas terhad 30 orang sahaja.

    Untuk sebarang pertanyaan dan Borang Kemasukkan hubungi saya

    En Mohd Tajudin 019-2119119

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: