Jawapan Erry

5 Jan

Oleh Ramlah Zainal
roses@hmetro.com.my

Rap

TIDAK dinafikan drama bersiri Manjalara memberi impak besar kepada kerjaya seni pelakon berbakat, Erry Putra. Ramai mula membuka mata dengan lakonannya yang berkesan sebagai Joffri yang juga watak jahat dalam cerita itu.

Namun, seperti artis lain, Erry atau nama sebenarnya, Eirey Syafiq @ Razlan Hamzah, 28, yang berasal dari Pengkalan Chepa, Kelantan nampaknya tidak terlepas menjadi sasaran gosip dan kontroversi, sejak berkecimpung sebagai anak seni.

Antara gosip yang dikaitkan dengannya ialah mengaku rumah orang lain sebagai kediamannya sendiri ketika sesi fotografi dan terbaru membuat perubahan pada wajahnya di bahagian hidung dan dagu untuk tampil lebih kacak dan bergaya.

Ketika sesi fotografi Rap bersama Erry, baru-baru ini, pelakon ini tidak keberatan menceritakan perkara sebenar untuk membetulkan gosip yang heboh diperkatakan peminat mengenai dirinya.

“Cerita itu bermula apabila ada wartawan yang berminat untuk buat cerita saya dalam ruangan artis dan rumah. Apabila saya beritahu rumah yang saya beli di Seri Petaling masih dalam proses pengubahsuaian, kawan baik yang sudah dianggap seperti kakak angkat pula menawarkan rumahnya untuk menjayakan fotografi itu.

“Dia juga tidak kisah saya menggunakan kediamannya itu kerana memang sifatnya suka menolong orang sebelum ini. Wartawan yang membuat liputan itu juga tahu mengenai perkara sebenar kerana kami sudah putuskan atas persetujuan saya dan kawan baik itu.

“Tapi saya tidak sangka pula akhirnya akan timbul gosip seperti itu. Bagi saya, ia cerita lama yang berlaku dua tahun lalu.

“Apapun, perkara itu sudah berlaku. Ia mungkin salah faham saja dan saya tidak ingin memperbesarkan cerita ini lagi. Saya akui serik untuk buat sesi fotografi di rumah orang lain selepas ini,” katanya.

Pada masa sama, Erry juga menafikan dia membuat pembedahan kosmetik atau suntikan botox untuk mengubah wajahnya.

Akui Erry, apa yang dilakukannya cuma membuat suntikan vitamin C dan pil untuk memutihkan kulitnya yang agak gelap.

“Kawan baik saya juga pakar kecantikan dan saya juga mengambil suntikan vitamin C dan pil pemutih kulit itu dari pusat rawatan kecantikannya.

“Sebenarnya, kulit saya pada asalnya memang putih tapi berubah gelap, sejak menyertai Royal Military College (RMC) selama empat tahun.

“Sebagai artis, apa salahnya, saya mementingkan penjagaan paras rupa dan kesihatan. Asalkan produk digunakan itu tidak memudaratkan tubuh badan. Saya percaya ramai artis lain buat perkara sama,” katanya.

Justeru, kata Erry, sejak insiden itu, dia lebih percaya kepada keluarga sendiri untuk menguruskan kerjaya seninya berbanding orang luar. Pada sesi fotografi itu, dia ditemani pengurus yang juga anak saudaranya, Akmal Ahmad.

“Apa-apa hal pun, biarlah saya bergantung pada keluarga sendiri daripada orang lain kerana baik buruk pun biarlah bersama keluarga kita sendiri dan tidak membabitkan orang lain.

“Saya juga tidak bercadang untuk bernaung di bawah mana-mana syarikat pengurusan artis kerana selesa bergerak sendiri ketika ini,” katanya.

Kini, Erry mengakui dia sudah jatuh cinta pada bidang lakonan. Katanya, dia masih ingat teguran Sheila Rusly yang bertanya apakah matlamatnya dalam bidang lakonan. Begitu juga dengan pelakon Rosyam Nor yang pernah bertanya mana satu yang ingin dia kejar, lakonan atau nyanyian ketika menawarkan Erry berlakon di bawah produksinya.

“Sebenarnya, saya ingin fokus pada kedua-dua cabang seni ini. Misi saya juga ingin dikenali sebagai pelakon berkarakter seperti idola saya, Sheila, Rosyam, Datuk Jalaluddin Hassan dan Nasir Bilal Khan. Saya mengagumi pelakon lama kerana pelakon baru berlagak diva apabila popular,” katanya.

Mengenai perkembangan terbarunya pula, kata Erry, dia terbabit dengan penggambaran telefilem Kasih Berbunga Lalang arahan Azmi Hatta untuk siaran RTM. Drama ini turut dibintangi Elly Mazlein, Nasir Bilal Khan, Didie Alias, Norlia Ghani dan Fadilah Mansor. Erry bawa watak Nordin yang terbabit dalam kisah cinta tiga segi.

Selain itu, dia juga bakal terbabit dalam penggambaran filem terbarunya, Bunian bermula 1 Februari nanti.

Drama lain lakonannya ialah siri 26 episod Saka, siri 26 episod Dendam, siri 60 episod Sutera Maya, siri 26 episod Rindu Berbisik dan Sepi Itu Jiwa.

Dalam pada itu, bekas anggota kumpulan Boyz ‘R’ Us ini juga mempertaruhkan dua singlenya yang juga lagu tema drama Sutera Maya, Cintamu (Zimi Sofaz/lirik Aiman 2 By 2) dan Izinkan Aku (Zul 2 By 2) dan lirik, Erry sendiri.

“Saya terima undangan persembahan apabila tidak terbabit dengan mana-mana penggambaran drama. Maklumlah, ketika berlakon Sutera Maya dulu, selama empat bulan juga saya berkampung di lokasi.

“Penyanyi Roslan Shah banyak membantu memperkenalkan saya dengan penganjur persembahan di serata tanah air termasuk Singapura. Selain berlakon, saya juga cari makan dengan menyanyi. Saya bukan saja menyanyi lagu sendiri, malah lagu penyanyi lain termasuk lagu dangdut.

“Selain itu, material untuk album solo juga sudah ada cuma saya tunggu masa untuk keluarkan album penuh. Saya memutuskan untuk bergerak solo kerana turut terbabit dalam bidang lakonan,” katanya.

Selepas menjayakan persembahan di gerai My TV3 di Jomheboh Melaka, Erry juga memeriahkan ‘booth’ Harian Metro sempena karnival Jomheboh di Stadium Utama, Kangar, Perlis pada 3 dan 4 Mei lalu. Dia juga menyampaikan beberapa lagu seperti Izinkan Aku, Cintaku, Lagu Cinta Lagu Jiwa dan Naluri Lelaki.

Mengenai teman istimewa, Erry yang pernah beberapa kali putus cinta mengakui, kini, dia berkawan rapat dengan seseorang.

“Sebenarnya, ibu bapa ingin saya mencari calon isteri di kalangan orang biasa saja dan bukan artis. Saya pula tidak kisah soal itu. Maaflah, saya tidak boleh dedahkan identiti teman saya itu buat masa ini. Tapi, saya akan berkahwin bila sudah berjumpa calon tepat,” katanya.

Profil

NAMA PENUH: Eirey Shafiq @ Razlan Hamzah

ASAL: Pengkalan Chepa, Kelantan

AKADEMIK: Royal Military College

KERJAYA: Penyanyi dan pelakon

STATUS: Bujang

ALBUM: Kasih Ku Abadi (Boyz ‘R’ Us)

SINGLE: Izinkan Aku dan Cintaku

DRAMA: Siri 26 episod Rindu Berbisik, Rinduku Semerbak Kayu Manis, Sepi Itu Jiwa, siri 26 episod Manjalara, siri 26 episod Saka, siri 26 episod Dendam; siri 60 episod, Sutera Maya, Sepi Itu Jiwa

FILEM: Bicara Hati arahan Rosnani Jamil, Selamat Pagi Cinta, eee….Hantu

Harian Metro

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: