Hadiah Hari Jadi Mempelai

5 Jan

Oleh Norhadiani Baharom
yanie@hmetro.com.my

Rap
BIAR terpisah beribu batu, kalau sudah namanya jodoh takkan ke mana. Begitulah perkahwinan penyampai Suria FM, Zafrina Abdul Rahman (Zaff), 27 dan pasangannya, Suffian Harris Mustapa (Opie), 30, diandaikan.

Berkenalan pada 2004, pasangan ini terputus hubungan sebaik Zaff tamat menjalani tempoh praktikal di stesen televisyen popular, ntv7. Sejak itu, mereka tidak pernah bertemu sehingga kembali bertentang mata pada Konsert 3 Diva (yang menampilkan tiga penyanyi popular Indonesia, Kris Dayanti, Ruth Sahanaya dan TitI DJ) di Stadium Bukit Jalil pada 25 Mac 2007.

Bercerita lanjut, kisah itu, Zaff berkata, pertemuan itu hanya sekilas dan mereka tidak sempat berbual ketika pertemuan itu. Bagaimanapun, katanya, keesokan harinya, Suffian bertanya dalam My Space, ‘I macam nampak you semalam di 3 Diva’.

“Saya pun katakan perkara yang sama padanya. Perbualan kami kemudian terhenti setakat itu saja. Bagaimanapun, kawan-kawanlah yang bertanggungjawab mempertemukan kami kerana ada yang tahu saya memang minat melihat cara Opie sejak praktikal di ntv7 lagi.

“Cuma waktu itu tidak ada apa-apa perasaan memandangkan saya sudah ada teman lelaki. Jadi apabila mereka (kawan) tahu saya kembali solo (putus cinta), ramailah merancang untuk pertemukan kami.

“Saya bersyukur sebenarnya. Sewaktu memperkenalkan Opie kepada keluarga dan tatkala bapa meluahkan hasratnya untuk melihat saya mendirikan rumah tangga tahun ini, Opie memperlihatkan reaksi positif.

“Tidak pula dia merungut belum bersedia atau memberi pelbagai alasan. Malah saya sangat bersyukur kerana tidak ada sebarang masalah seperti kewangan sepanjang merancang majlis ini,” katanya.

Berkongsi bintang yang sama iaitu Capricorn, Zaff dan Suffian menganggap hari perkahwinan mereka adalah hadiah hari jadi paling bermakna buat mereka.

Zaff dilahirkan 22 Disember 1981 sementara Opie pula 12 Januari 1977 dan mereka bertunang September lalu. Sebelum pasangan pasangan ini diijabkabulkan di Masjid Al-Ikhwaniah, Taman Cheras Utama, pada 29 Disember, jam 3 petang.

Manakala 1 Januari 2009 dipilih sebagai tarikh untuk melangsungkan majlis persandingan mereka yang diadakan di Dewan Komuniti Taman Tun Dr Ismail, Jalan Anthinappan, Kuala Lumpur.

Mengenai keistimewaan Zaff pada mata Suffian, jejaka tampan itu mengakui sukakan keperibadian isterinya yang baik selain Zaff seorang wanita yang unik kerana tidak pandai memasak.

“Selalunya orang akan cakap soal persamaan tapi saya sukakan Zaff kerana dia tidak pandai memasak. Saya pula jenis lelaki yang tidak kisah sebab itulah saya boleh menerima kekurangannya. Lagipun Zaff jujur mengakui kelemahannya.

“Kriteria lain tentu sekali kerana dia cantik, cukup sifat. Malah seperkara yang membuatkan saya sangat tertarik dia bukan jenis perempuan yang suka bersosial di luar. Sewaktu bekerja di ntv7 dulu bahkan sekarang ini setiap kali cukup waktu pulang kerja dia akan terus pulang ke rumah,” katanya.

Sementara Zaff yang mengendalikan segmen ‘Suria Drive-In’ setiap Isnin hingga Jumaat dari jam 4 petang hingga 8 malam, tertarik pada Suffian kerana dia memiliki ciri-ciri lelaki idamannya.

“Opie seorang yang penyabar sementara saya agak baran sikit. Biasanya dia akan tenangkan saya setiap kali naik darah. Orangnya juga lucu malah menepati ciri-ciri lelaki idaman saya iaitu berkulit gelap, kurus dan tinggi.

“Selain itu, saya sukakan lelaki yang aktif dan Opie mempunyai pelbagai aktiviti misalnya terbabit dalam sukan paintball dan bola lisut.

“Satu lagi kriteria yang memang saya cari pada seorang suami ialah lelaki yang tidak merokok dan Alhamdulillah Opie bukan perokok,” katanya.

Mengenai destinasi bulan madu, Zaff dan suami akan ke Pulau Langkawi pada 6 Januari ini kemudian ke United Kingdom pertengahan 2009.

Selain menikmati bulan madu di sana, Zaff juga mengambil kesempatan menemui adiknya yang melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan di negara itu.

“Rasa tidak lengkap dan sedih sebenarnya apabila adik tidak dapat turut serta pada majlis persandingan hari ini tapi apakan daya, tiket terlalu mahal kerana musim salji sekarang. Justeru saya dan suami merancang untuk menemuinya nanti pertengahan tahun ini,” katanya.

Mata yang terikat dek kejelitaan dan ketampanan pasangan mempelai, juga tidak mampu menolak untuk melihat keanggunan primadona filem Melayu, Erra Fazira yang turut hadir bersama suaminya Engku Emran.

Erra yang kini mengandung tujuh bulan mengakui mengenali Zaff sejak penyampai Suria Fm itu masih bersekolah dan lebih 10 tahun bersahabat. Banyak perkara yang dikongsikan Zaff bersamanya termasuk hubungan cintanya yang lalu.

“Tahniah kepada mempelai. Inilah perkahwinan yang diharapkan Zaff dan Alhamdulillah sekarang impiannya sudah termakbul.

“Sebagai kawan, kami memberi galakan siapa pun pilihan Zaff dan saya lihat Opie seorang lelaki baik dan bersungguh. Diharapkan perkahwinan mereka berkekalan hingga ke akhir hayat,” katanya.

Sementara itu suami Erra yang juga Ketua Pegawai Operasi Suria FM, Engku Emran Engku Zainal Abidin mengharapkan Zaff sentiasa bahagia.

“Zaff seorang pekerja yang berdedikasi tinggi dan komited dengan kerjanya. Opie lelaki bertuah kerana beristerikan Zaff,” katanya.

Majlis itu, turut diserikan lagi dengan kehadiran selebriti terkenal seperti penyanyi Farawahida, pelakon Linda Hashim. Izwan Pilus, Herman Tino dan isteri, Noraini Ibnu serta penyampai Suria FM.

Harian Metro

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: