Bisa Raja Bollywood

4 Jan

PELUANG berlakon di samping aktor berkarisma, Shah Rukh Khan mampu menjadikan karier seorang pelakon baru bergemerlapan di Bollywood.

Tumpuan terhadap aktres itu sama seperti ketika filem baru James Bond diumum. Masyarakat pasti akan tertanya-tanya siapa gadis baru Bond. Senario sama turut berlaku apabila heroin muda diumum bergandingan dengan Shah Rukh.

Perbualan tertumpu terhadap isu sama ada gadis baru ini sangat cantik atau memiliki bakat besar untuk menyaingi karisma Shah Rukh dan akhirnya sama ada beliau mampu atau tidak menjadi bintang di Bollywood.

Model yang beralih ke dunia lakonan, Anushka Sharma, 21, adalah aktres muda yang meniti jalan untuk bergelar bintang Bollywood selepas muncul di samping Shah Rukh dalam filem yang dinantikan, Rab Ne Bana Di Jodi.

Karier Anushka akan ditentukan penerimaan masyarakat terhadap filem itu, selain tanggapan masyarakat terhadap mutu lakonannya. Apapun, beliau dianggap bernasib baik berpeluang berlakon di samping Shah Rukh.

Berikut adalah penilaian terhadap pelakon yang memulakan karier mereka berlakon di samping aktor pujaan Bollywood itu.

Shilpa Shetty

Gadis tinggi lampai yang memiliki tubuh seksi ini berlakon sebagai pelakon pembantu di samping Shah Rukh dalam filem Baazigar.

Filem itu diminati ramai dan Shilpa berpeluang berlakon dalam beberapa filem box office lain.

Shilpa melakukan pembedahan hidung dan mengekalkan kecantikannya yang menyebabkan beliau menjadi perbualan masyarakat, sekali gus membantunya ditawar berlakon dalam beberapa filem popular.

Namun tanpa disangka, beliau menjadi bintang antarabangsa dalam sekelip mata apabila muncul juara rancangan realiti, Celebrity Big Brother yang disiar rangkaian televisyen Britain.

Tahun lalu, mutu lakonannya dalam Life in a… Metro mendapat pujian dan kemudian berlakon di samping Shah Rukh dalam filem Om Shanti Om.

Khabar angin hangat mendakwa Shilpa akan berkahwin dengan ahli perniagaan, Raja Mundra dan berhenti berlakon, tapi apapun karier lakonannya sudahpun menarik.

Suchitra Krishnamurthy

Kabhi Haan Kabhi Naa yang menggandingkan Suchitra dengan Shah Rukh dianggap yang terbaik buat aktor itu daripada segi komersial mahupun kritik.

Bagaimanapun, beliau kemudian beralih angin ke bidang nyanyian dan mengahwini Shekar Kapur, pengarah filem yang dicalon untuk anugerah Oscar, Elizabeth.

Baru-baru ini, Suchitra berpisah dengan Shekar dan kembali berlakon di samping Anil Kapoor dalam filem My Wife’s Murder.

Selepas namanya dijulang, Suchitra tidak ambil peluang untuk mengorak langkah lebih jauh di Bollywood.

Mandira Bedi

Mandira berlakon sebagai pelakon pembantu dalam filem box office, Dilwale Dulhania Le Jaayenge. Meskipun tumpuan diberi kepada Shah Rukh dan Kajol, wajah Mandira yang comel dan lakonannya yang mantap memikat hati ramai peminat.

Namun, permulaan memberangsangkan itu tidak menjadi titik tolak karier yang lebih mantap, sebaliknya namanya semakin terkenal apabila menjadi pengacara sebuah rancangan ketika Piala Dunia Kriket 1999.

Seluruh negara terpikat dengan kecantikan dan ketrampilannya yang menawan. Meskipun namanya dalam dunia lakonan tetap sama, selepas itu beliau menjadi tumpuan umum.

Mahima Chaudhary

Nama Mahima dijulang hasil lakonan mantap dalam filem Pardes. Ramai percaya beliau memiliki potensi untuk menggantikan Madhuri Dixit sebagai ratu baru Bollywood.

Namun, dengan bakat, kecantikan dan filem besar, Mahima melakukan kesilapan apabila menjalin hubungan dengan pemain tenis, Leander Paes dan terlepas peluang berlakon dalam beberapa filem besar.

Selepas berpisah, Mahima cuba kembali tapi gagal. Beliau kemudian berkahwin dan menjadi ibu sepenuh masa. Kariernya bermula dengan cerah, tapi kesilapan dalam hidup peribadinya melenyapkan peluang di Bollywood.

Preity Zinta

Preity berlakon sebagai pelakon pembantu dalam filem Dil Se di samping Shah Rukh. Meskipun filem itu gagal, mutu lakonan dan ketrampilan segar Preity berjaya memikat penonton.

Beliau kemudian berlakon dalam beberapa filem box office dan menerima pelbagai anugerah hasil lakonan mantapnya.

Jalinan lakonan antara Preity dan Shah Rukh antara yang terbaik di kalangan pelakon baru yang pernah berlakon di samping aktor itu.

Kal Ho Na Ho, Veer-Zara dan Kabhi Alvida Naa Kehna antara filem box office Preity dan dia aktres paling berjaya dalam senarai yang pernah berlakon disisi Shah Rukh.

Gayathri Joshi

Gayathri memulakan kariernya sebagai model iklan televisyen. Namanya menjadi sebutan hasil lakonan mantap dalam filem Swades arahan Ashutosh Gowariker.

Meskipun masih baru, lakonan mantap Gayathri dalam filem itu mengagumkan ramai peminat.

Umum menjangkakan beliau mampu pergi jauh dalam industri, tapi Gayathri sebaliknya memutuskan untuk meninggalkan dunia perfileman dan berkahwin.

Deepika Padukone

Filem debut, Om Shanti Om menjulang nama Deepika. Gadis tinggi lampai yang tegap ini berjaya membawa dua watak dalam filem ini dengan berkesan dan mencipta sejarah apabila kutipan tiket Om Shanti Om diumum yang tertinggi dalam sejarah Bollywood.

Tidak mengejutkan jika Deepika meraih semua anugerah Pelakon Baru Terbaik dalam semua majlis anugerah di India tahun ini.

Filem kedua, Bachna Ae Haseeno bersama teman lelakinya, Ranbir Kapoor turut mendapat sambutan dan beliau kini menjalani penggambaran di samping aktor Akshay Kumar dalam filem Chandni Chowk To China.

Deepika turut akan membintangi filem Biloo Barber di samping Shah Rukh dan beberapa projek mega lain. Hakikatnya, nama Deepika bakal lama di Bollywood.

Anushka Sharma

Seperti Deepika, Anushka adalah model yang bertugas di Bangalore. Tahun lalu, kemunculannya di Minggu Fesyen India Lakme membuatkan dirinya menjadi buah mulut umum.

Beliau terpilih membintangi Rab Ne Bana Di Jodi di samping Shah Rukh kerana penerbit percaya Anushka memiliki wajah cantik yang ringkas dan kualiti diperlukan untuk menjiwai watak itu.

“Saya kagum dengan keyakinan Anushka. Persembahannya menyebabkan saya bekerja lebih keras lagi,” kata Shah Rukh, memuji Anushka yang bakal menjadi titik tolak buat karier aktres muda itu.

Tidak mustahil beliau mampu mencuri tumpuan ramai terhadap Shah Rukh, tapi tidak dapat dipastikan lagi apakah keajaiban Shah Rukh akan kekal dan dapat melonjakkan nama pelakon muda yang jelita ini.

Harian Metro

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: