Oleh Zaidi Mohamad
zaidim@bharian.com.my
Kehadiran anak sulung menguatkan kebahagiaan Eizlan Yusof dan Vie Shanti
KEHIDUPAN rumah tangga pelakon, penerbit eksekutif dan ahli perniagaan, Eizlan Yusof, 37, dan isteri, Vie Shanti Haroon Khan, 22, cukup membahagiakan dengan kehadiran anak sulung mereka, Vie Zaraa.
Pada Sabtu ini, usia Zaraa genap lapan bulan. Kecomelan Zaraa yang diwarisi ibu bapanya, menambat minat ramai pihak yang ingin mengabadikan gambar dengannya.
Zaraa ibarat hadiah yang cukup bermakna dalam hidup mereka, biarpun akui Eizlan dia tidak menyangka dengan faktor usianya yang agak lanjut, dia mampu mendapatkan anak sulung ini dengan cepat. Berkahwin dengan isteri yang muda juga tidak menjadi masalah kepadanya, tambahan pula, isterinya cepat matang daripada usia sebenar.
Mengenai anak kedua, mereka ada merancang dan tidak pernah putus berusaha biarpun isterinya pernah mengalami saat getir apabila mengalami keguguran beberapa bulan lalu. Untuk tatapan peminat setia Eizlan, Hip paparkan gambar percutian bersama keluarga di Genting Highlands, baru-baru ini.
“Jangan tak tahu, Zaraa pun diminati ramai orang dan rezekinya luas. Kalau kami bawa dia berjalan-jalan, pasti dia akan menjadi tumpuan ramai terutamanya pelancong luar yang akan mengambil kesempatan bergambar dengannya. Kami masih merancang untuk mendapatkan adik buat Zaraa, ada rezeki, insya-Allah.
“Saya bersyukur mendapat isteri yang sangat memahami dan dia bijak menyesuaikan diri dengan situasi. Biarpun dia dilihat muda, saya tak pernah rasakan dia bersifat kebudak-budakan. Sekarang dia memberikan tumpuan sepenuhnya sebagai suri rumah dan sesekali dia masih melakukan peragaan. Saya kena sporting dengan bidang yang diminatinya, selagi dia pandai menjaga diri dan memelihara maruah keluarga,” katanya yang dihubungi Hip baru-baru ini.
Baru saja selesai penggambaran filem Pisau Cukur arahan Bernard Chauly, Eizlan memegang watak sebagai Datuk Hisham di samping pelakon Maya Karin, Fazura dan Aaron Aziz.
Pada Ramadan lalu, Hip ternampak kelibat Eizlan dengan imej beruban di samping keluarganya berbuka puasa di sebuah premis makanan di KLCC. Rupa-rupanya, selain semula jadi berambut putih, Eizlan juga mengekalkannya atas permintaan Bernard demi tuntutan watak.
Sibuk kembangkan dunia perniagaan
GAMBAR kenangan sewaktu majlis pernikahan mereka di Kota Kinabalu, Sabah, pada Julai 2007.
Selain bergelar pelakon sejak 25 Oktober 1994, umum sedar bahawa Eizlan juga seorang penerbit eksekutif secara bebas dan baru saja menyiapkan sebuah skrip untuk sebuah telefilem di RTM berjudul Kalif. Pada masa sama, Eizlan bersama rakan kongsinya, Abdul Munaf Sultan yang juga anak kepada pengasas syarikat Agate menjalankan perniagaan arang batu.
“Mungkin orang ingat saya bekerja tetap sebagai penerbit kreatif di Pena Creatives Sdn Bhd sebelum ini hakikatnya saya tidak terikat dengan mana-mana syarikat dan bebas menerima tawaran. Selepas Pena Creatives, saya kerja di Fame Attraction, Gama Taktik dan bekerjasama dengan Ahmad Idham di bawah syarikat Excellent Pictures.
“Perniagaan itu dijalankan sejak hampir setahun di Jakarta dan Kalimantan Selatan di bawah syarikat Black Stone Dagangan. Kalau tidak terikat dengan penggambaran, saya akan ulang-alik ke sana untuk menguruskannya.
“Insya-Allah, kami akan mengembangkan perniagaan itu bersempena 2009 yang bakal menjelma tidak lama lagi,” katanya yang bakal bergandingan dengan Abby Abadi dalam telefilem berjudul Air Mata Buaya.
Menurut Eizlan lagi, resolusi 2009 bagi dirinya ialah untuk sifar hutang dalam setiap apa yang dilakukan.
Masih tegar berjuang sebagai pelakon, Eizlan sedar dan menyambut baik kemunculan bakat baru yang bakal mewarnai persada seni.
Katanya, istilah ‘double standard’ atau pilih kasih sering berlaku, namun, semua di luar bidang kuasanya. Tambahnya lagi, penerbit drama atau filem pun akan mencari muka baru dan segar demi keuntungan atau mencari angin baru.
Apa terjadi kelibat pelakon senior yang berpengalaman masih diperlukan di dalam industri dan menurut Eizlan, Rosyam Nor adalah contoh terbaik yang masih diterima dan diberi peluang memegang watak hero.
“Saya melihat apa yang terjadi ini dari sudut pandangan positif, ia sebagai proses peralihan yang pasti berlaku seiring dengan peningkatan umur. Bagaimanapun, kelebihan yang ada kepada pelakon lama dalam aspek pengalaman dan kemahiran berbanding pelakon baru yang baru saja menapak. Macam Rosyam, dia masih unggul sebab prestasi lakonannya dianggap luar biasa.
“Kalau dilihat senario di luar negara, makin lama pelakon itu berada di dalam industri, maka semakin hebat dan unggul namanya. Ia berbeza dengan negara kita tapi sebagai penggiat seni, saya sentiasa mengalu-alukan kedatangan bakat baru yang bakal menyemarakkan lagi generasi terdahulu,” katanya yang berkahwin dengan Vie Shanti pada 7 Julai 2007.
PROFIL: Eizlan Yusof
Tarikh Lahir: 14 Jun 1971
Asal: Kampung Baru, Kuala Lumpur
Tinggi: 180 sentimeter
Berat: 78 kilogram
Adik Beradik: Anak kedua daripada lima beradik
Status: Berkahwin
Isteri: Vie Shantie Haroon Khan
Tarikh Lahir: 27 Julai 1986
Kerjaya: Penerbit Eksekutif, pelakon dan model
Drama: Pembunuh Upahan, Sebesar Zarah, Senafas Takbir terakhir, Cik Mala Janda Berhias, Cikgu Rozie, Jaguh-Jaguh
Filem: Lurah Dendam, Panas, Perempuan Melayu Terakhir, Black Maria,Panas, Cahaya Cinta, Cinta, Impak Maksima, Pisau Cukur.
Berita Harian
Leave a Reply