Kontroversi Bintang 2008

31 Dec

Oleh HARYATI KARIM,
FAIZAL SAHARUNI,
FERIDE HIKMET ATAK,
JESSABELL SOO dan
TENGKU SUZANA RAJA HAMAT

MENYINGKAP perjalanan arus dunia hiburan tahun 2008, cerita-cerita panas tidak pernah lekang di mana-mana dada akhbar.

Sehinggakan kontroversi yang dibangkitkan itu kadang-kala boleh merimaskan sesiapa sahaja yang menulis mahupun yang membacanya.

Ada saja perilaku artis-artis tempatan yang boleh membuatkan umum jelik dengan cara mereka. Tidak pula menuduh kebanyakan artis ini sengaja mencari publisiti murahan.

Namun tanpa disedari, kerana perilaku merekalah membuatkan nama mereka sedikit sebanyak tercalar dan ia mampu menjejaskan kredibiliti mereka sebagai seorang selebriti jika tidak pandai membawa diri.

Benar, untuk apa hebohkan cerita-cerita panas ini kepada umum jika tahu ia mampu merosakkan periuk nasi seseorang?

Percaya atau tidak, dengan pendedahan yang terpampang ini jugalah, ia memberi pengajaran besar buat semua, bukan sahaja selebriti yang mencetuskan kontroversi itu, bahkan selebriti-selebriti lain menjadikan isu berbangkit itu sebagai iktibar.

Antara isu berbangkit bermulalah dengan kontroversi Faizal Tahir membuka baju ketika mengadakan persembahan, kemudian pelakon popular, Beego pula bercerai dengan Intan, diikuti pula dengan penceraian aktres comel, Nora Danish, drama ‘teman tapi mesra’ antara Fahrin Ahmad dan Linda Onn dan baru-baru ini terbongkar pula tentang hubungan suami isteri yang sudah 10 bulan terjalin antara pelakon, Rita Rudaini dengan pemain bola sepak negara, Aidil Zafuan.

Hari ini, sebelum tutupnya tirai 2008, ingin Kosmo! memaparkan azam baru bagi tiga artis terpilih yang pernah mengejutkan khalayak dengan kontroversi yang ‘dihasilkan’ mereka.

Penuh dengan harapan dan sinar baru, tahun 2008 akan dijadikan sebagai pengajaran hidup untuk mereka terus bernafas dan bertahan dalam arena dunia hiburan pada 2009.

Norman Hakim ditangkap khalwat dengan Memey

BERCERITA mengenai kisah pelakon ini, sejak awal tahun lagi sudah ada isu Norman mempunyai hubungan istimewa dengan Memey. Masing-masing menafikan perhubungan itu, termasuklah Abby yang juga menafikan tentang hubungan cinta tersebut.

Namun, pada 30 Oktober iaitu dua hari selepas berita Norman dan Memey membuat kenyataan yang sebenarnya mereka kurang mengenali sesama sendiri, Norman dicekup oleh pegawai daripada Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) kerana disyaki berkhalwat dengan Memey di pejabatnya di Ukay Perdana.

Kontroversi ini juga dikatakan antara isu yang paling panas sepanjang tahun ini.

Menerima segala pendapat sekeliling, Norman tidak mahu perkara itu diingati kembali. Baginya, 2008 adalah tahun yang paling mencabar dalam hidupnya.

“Berkenaan tentang kes saya dan Memey, benda dah jadi, saya tak mahu berpaling semula. Kalau cerita kami dikatakan antara isu paling panas pada tahun ini, saya tidak mampu untuk berkata apa. Saya kena laluinya dan berhadapan dengan apa yang berlaku pada diri ini.

“Pada suku akhir tahun ini, memang saya rasa banyak dugaan yang terpaksa saya hadapi. Kalau kelemahan itu datang dari saya, saya anggap ia lumrah kehidupan dan pengajaran untuk saya.

“Jika bercerita tentang azam 2009, ia agak klise. Biasalah, semua orang mahu yang terbaik untuk diri masing-masing. Macam saya, hari-hari saya memasang azam dan impian. Cuma ada kalanya, apa yang kita lalui tidak seperti yang kita rancangkan.

“Pada masa akan datang, saya mahu hidup saya lebih gemilang dan kalau nak ikutkan sekarang ini saya berada di fasa kedua iaitu berkaitan dengan kehidupan dan perniagaan. Cuma apa yang diinginkan, saya mahu hari tersebut lebih baik daripada hari-hari yang saya lalui,” katanya.

Rosnah Mat Aris kahwin senyap

RASANYA, boleh dikatakan cerita ini menggemparkan seluruh Malaysia apabila pelakon sensasi, Rosnah Mat Aris, 53, bernikah dengan seorang jejaka muda, Tajul Efendie Isa, 27, pada 13 November lalu.

Bagaimanapun Rosnah tidak mengaku dia bernikah lagi. Sebaliknya, dia mengatakan majlis akad nikah yang diadakan di Masjid Seri Gombak itu adalah majlis nikah anaknya.

Cekal dengan tohmahan masyarakat, Rosnah tampil menjelaskan isu yang sebenar walaupun masih ramai lagi mengata perbuatan pelakon ini.

“Kebanyakan orang selalu salah faham dengan saya. Berkenaan dengan hal pernikahan saya, bukannya saya buat maksiat, tapi orang kecoh bercerita tentang saya.

“Masa itu saya mempunyai hal peribadi yang perlu diselesaikan. Saya rasa ketika itu belum lagi masa yang sesuai untuk mengumumkan tentang pernikahan saya.

“Saya sedih, kerana apa saja yang dilakukan, ada saja yang tidak kena di mata umum. Tapi nak buat macam mana, saya terima,” tuturnya pinta difahami.

Tambahnya, 2009 nanti, banyak perancangan yang akan dilakukan olehnya bersama suami tercinta. Mereka akan bergabung tenaga untuk membuka perniagaan berkaitan produk kecantikan.

Fasha Sandha diboikot

PERTENGAHAN Julai lalu, kecoh seketika apabila pelakon ini diboikot oleh semua akhbar tempatan kerana memaki hamun wartawan serta editor hiburan gara-gara melenting dengan gosip cintanya.

Bukan itu sahaja, dia juga dikatakan cuba merosakkan hubungan percintaan orang lain, mengganggu rumah tangga rakan artis, suka bertukar-tukar pasangan serta mengajar wartawan cara-cara menulis berita.

Tidak mahu lagi memandang ke belakang, Fasha menganggap, apa yang berlaku pada dirinya merupakan kesilapannya sebagai seorang manusia biasa.

Azam 2009, wanita ini mahukan kehidupan yang lebih baik berbanding yang sebelumnya. Segala kesilapan yang pernah dilakukan, Fasha jadikan ia sebagai pengajaran besar buatnya.

“Dalam hal kejadian itu (diboikot), siapa salah, tak penting. Saya anggap kesalahan itu datang daripada diri saya sendiri. Biasalah, manusia ini tidak sempurna.

“Azam baru saya kali ini, saya mahu memperbaiki segala kelemahan tidak kira dari segi kehidupan ataupun karier saya.

“Kalau nak tahu, jika boleh saya mahu tamatkan zaman bujang dalam tahun 2009 juga walaupun masih lagi belum ada calon,” ucapnya kepada Kosmo! yang baru saja menamatkan penggambaran drama bersiri Santau baru-baru ini.

Dapatkan artikel Imbasan 2008 sepenuhnya di Kosmo! hari ini.

Kosmo

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: