Konsep Jawa Pilihan Mawi

30 Dec

Oleh Zaidi Mohamad
zaidim@bharian.com.my

Helikopter dan kereta mewah memeriahkan lagi persandingan di pihak pengantin lelaki

PENUH adat istiadat, majlis menyambut menantu di kampung halaman, Bintang Paling Popular Berita Harian tiga tahun berturut-turut, Mawi, 27, dengan isterinya, Ekin, 29, di Felda Taib Andak, Kulai, Johor, berjalan lancar dengan bertemakan sentuhan Jawa kontemporari.

Ia adalah permintaan dan impian Mawi sendiri yang ingin mengalami rasa bergelar raja sehari dengan persalinan Jawa.

Berkat keinginan jurusolek selebriti popular, Zulfazli Suhadi yang menawarkan khidmat sebagai perancang perkahwinan dan tajaan majlis persandingan kepada Mawi, semuanya sudah membuatkan Mawi tersenyum puas.

Gandingan kreatif Zulfazli dengan butik Dzuldeclassique, Arma Abdul Rahman dan Adli Bridal Johor Bahru menghasilkan apa yang diharapkan oleh Mawi. Melengkapkan lagi, tetamu yang datang turut disajikan dengan hidangan Jawa Sunda tajaan LC Catering seperti ayam penyek, sup soto dan ulam-ulaman.

Sehari sebelum majlis persandingan ini, timbul tanda tanya di kalangan pihak media apabila ada kain rentang yang menyebut bahawa majlis itu adalah anjuran Maestro dan penduduk kampung Felda Taik Andak, sama sekali tidak terbabit.

Ini kerana ada ura-ura mengatakan persembahan khas meraikan perkahwinannya dikatakan tidak disenangi penduduk kampung kelahiran Mawi.

Menyangkakan majlis persandingan ini akan tercemar dek peristiwa yang tidak diingini seperti yang pernah digembar-gemburkan pada 20 Disember lalu (sewaktu majlis pernikahan mereka), semuanya mengikut atur cara seperti yang dirancang pihak Maestro dan Astro.

Bagaimanapun, hujan lebat sekitar jam 4 petang yang kemudiannya bertukar menjadi renyai memberikan kesejukan kepada 300 orang tetamu yang agak kepanasan sewaktu berada di Dewan Serbaguna Felda Taib Andak.

Menariknya, Mawi mengaku agak pening sejurus tiba di sebuah dewan untuk sesi bersama media. Jurusolek, Tona turut mengurut kepala Mawi yang pening itu.

“Saya tak mengulas lanjut mengenai isu ini kerana hakikatnya pihak saya dan Maestro mendapat kerjasama yang baik daripada penduduk kampung dan hanya segelintir daripada mereka saja yang mungkin tidak mahu bekerjasama.

“Isu kain rentang itu hanyalah hal kecil yang tidak perlu diperbesarkan. Paling penting saya bersyukur majlis kali ini berjalan lancar dan perkara itu (kain rentang) sudah tidak timbul lagi. Penduduk kampung dan Ketua Kampung, Felda Taib Andak, Haji Hanafiah Haji Hussin sudah menjelaskan perkara ini dan mereka memberikan kerjasama yang jitu,” katanya.

Persandingan Mawi dan Ekin kali ini turut mencipta sejarah tersendiri di dalam kalendar dunia artis apabila mereka menaiki helikopter yang dipandu Kapten Halim Abdul Rahman dan dibantu Kapten Zuraidi Muhamad (selaku Pengurus Operasi Penerbangan Redland) pada sebelah tengah hari dari Hotel Sofitel, Senai, Johor.

Helikopter berkenaan mendarat di padang Sekolah Rendah Sinar Bahagia, Felda Taib Anda jam 1.30 tengah hari. Seterusnya mempelai diarak menaiki kereta Mercedes CLK 350 yang dipandu Ekin sendiri menuju ke Padang Awam Felda Taib Andak dan tiba kira-kira jam 2 petang.

Kereta mewah itu turut diiringi motosikal berkuasa tinggi dan kereta antik.

Mereka kemudiannya, bersanding di pelamin terbuka di atas pentas lokasi yang sama di depan lebih 20,000 orang tetamu sebagaimana jumlah yang dimaklumkan pihak Maestro. Hadiah menaiki helikopter dan menaiki kereta mewah itu adalah tajaan rakan baik Mawi sendiri iaitu Mohd Salleh Mohamed atau Pak Leh.

Itu adalah kali keempat Mawi menaiki helikopter, lalu kegusaran dan gementarnya sudah mula berkurangan. Manakala, Ekin pula baru dua kali menaiki helikopter, cuma kali ini ia sedikit berbeza apabila Ekin naik kenderaan udara itu dengan busana perkahwinan.

“Lainnya kali ini Ekin kena menaiki helikopter dengan busana pengantin hinggakan Mawi terpaksa memegang gaun Ekin yang labuh ini. Apa-apapun Ekin sangat teruja dan gembira apabila dapat bersanding dengan gaya lain yang tak pernah Ekin impikan.

“Kami sudah tidak sabar untuk berjumpa tetamu lagi pada majlis resepsi berkonsepkan Arab di Palace Of The Golden Horses 11 Januari depan. Insya-Allah selepas itu, kami besar kemungkinan akan berbulan madu di Korea menerusi tajaan Pelancongan Korea ,” kata Ekin.

Melihat kepada kehidupan Mawi atau nama sebenarnya, Asmawi Ani, ternyata dia sedang melalui fasa bahagia yang amat indah. Raut wajah Mawi kini sudah dapat membayangkan betapa bahagia dirinya setelah bergelar isteri kepada Ekin.

Biarpun sudah seminggu bernikah, seolah-olah ada perubahan dalam diri Mawi. Penyanyi itu sempat diusik mengenai perutnya yang kelihatan agak buncit. Sambil diperhatikan Ekin, Mawi menjawab dengan selamba dengan menyalahkan bajunya yang besar.

“Lega semuanya sudah berakhir dan harapnya tiada lagi fitnah yang mengaitkan saya dengan Ekin. Doakan rumah tangga kami akan berkekalan dan bahagia hingga ke akhir hayat. Semoga laluan kami lepas ini akan lebih indah dan sempurna hendaknya,” kata Mawi.

INFO: Persandingan Mawi dan Ekin

Majlis persandingan berkonsepkan Jawa kontemporari atau moden yang diuruskan jurusolek artis tersohor, Zulfazli Suhadi menerusi syarikatnya Dewa Dewi Beauty House. Membabitkan 20 orang yang dipecahkan kepada tiga kumpulan. Zulfazli juga menyolek Ekin, manakala Mawi disolek Tona.

Kostum Jawa termasuk aksesori untuk mempelai mencecah RM50,000. Bagi pelamin dan dekorasi pula dianggarkan sekitar RM200,000.

Konsep pelamin adalah inspirasi istana lama Jawa yang mana perabot di Dewan Serbaguna ditaja Grandteak Puchong, Selangor.

Kos bunga yang digunakan hamper RM 10,000.

Hiasan dalaman dan dekorasi dewan, pelamin di rumah Mawi (Teratak Bonda), kamar pengantin dan pelamin Padang Awam ditaja Adli Bridal Johor Bahru.

Untuk dewan persandingan utama, lebih 30 meja ditempatkan untuk tetamu.

Dijangka lebih 15,000 orang membanjiri Padang Awam Felda Taib Andak untuk acara persandingan terbuka, namun pada hari persandingan itu 20,000 tetamu yang hadir untuk menyaksikan Mawi dan Ekin secara dekat. Mereka turut bersalaman dengan pasangan mempelai ini.

Menurut Zulfazli, dia yang menawarkan diri kepada Mawi untuk membuat persiapan pelamin dan busana kahwin kerana selalu berjumpa Mawi di pertunjukan Gempak Selebriti Astro. Katanya, Mawi sendiri yang mengimpikan konsep Jawa sedari awal lagi.

Pemilihan Bob KU2 dan Yasin sebagai pengacara majlis persandingan di Dewan Serbaguna juga dilihat tidak bersesuaian dengan upacara majlis itu yang dianggap berprestij. Mungkin jika dipilih pengacara yang lebih serius dan bijak mengawal keadaan, majlis Mawi tempoh hari mungkin lebih sempurna.

Hak penyiaran perkahwinan Mawi dan Ekin adalah hak sepenuhnya bagi Astro, tetapi pada masa yang sama Astro turut bersifat terbuka untuk bekerjasama dengan Radio Televisyen Malaysia (RTM). Stesen itu memberi peluang kepada bukan pelanggan Astro untuk sama-sama meraikan kemeriahan majlis perkahwinan Mawi dan Ekin.

Malah, Astro memberi kelonggaran kepada TV3 menerusi program Nona dan Buletin Utama untuk membuat liputan majlis yang sama namun pada durasi yang terhad.

Pengarah Pemasaran Jakel, Azlan Abu Bakar turut hadir biarpun syarikat fabrik terkenal ini tidak menaja majlis persandingan Mawi dan Ekin di Felda Taib Andak. Jakel hanya menaja kain persalinan mereka sewaktu bernikah dan resepsi 11 Januari nanti bekerjasama dengan Rizalman termasuk pelamin.

Berita Harian

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: