Gigih Mengejar Wawasan

30 Dec

Oleh Zaidi Mohamad
zaidim@bharian.com.my


Sazzy Falak (kiri) dan Aishah Sinclair.

Sazzy Falak, Aishah dan Ashraf Sinclair tidak lepaskan peluang ketika usia masih muda

USAHA dan wawasan Sinclair Falak Sdn Bhd yang dimiliki tiga selebriti Sazzy Falak dan dua pasangan adik beradik, Aishah dan Ashraf Sinclair sejak setahun lalu wajar dipuji. Dalam rancangan jangka panjang, lima tahun lagi syarikat mereka sedang merencana pelan besar-besaran dan terus memperluaskan cabang lain seperti pengurusan artis dan bakat.

Memang cita-cita mereka itu bukan calang-calang dan tidak juga hanya angan-angan kosong, sebaliknya ia satu arah tujuan yang pasti ingin digapai.

Selama setahun ini, sudah lima bengkel yang dipanggil Acting Saved My Life diadakan mereka membabitkan golongan dewasa, remaja dan kanak-kanak. Mereka pernah mengendalikan bengkel untuk Miss India Global pada Julai lalu. Ini adalah sumbangan mereka demi terus menjana dunia seni supaya terus berkembang dengan kehadiran generasi pelapis.

Dari sudut lain pula, Sazzy, Ashraf dan Aishah cuba membuktikan bahawa kerjaya lakonan mampu memberi pulangan yang setimpal jika ada perancangan bijak. Idea melaksanakan bengkel ini tercetus daripada seorang pelatih perniagaan bernama Jeevan Sahadevan.

Atas galakannya, mereka mula memikirkan secara serius untuk memberi kembali apa juga pengalaman yang ditimba kepada arena seni demi manfaat bersama. Menerusi pengetahuan, pengalaman yang ada termasuk melayari internet sebagai rujukan mencari modul dan kaedah pengajaran yang terbaik, lalu terhasillah bengkel ini.


NAZRIL berkongsi tips untuk terbabit dalam iklan komersial.

Hip berkesempatan melihat bengkel ini yang pertama kali dibuat untuk golongan remaja di sebuah hotel berhampiran pusat membeli belah terkenal di ibu negara. Hanya Aishah dan Sazzy saja yang mengendalikan program ini, manakala Ashraf masih dalam mood berbulan madu dengan isterinya, Bunga Citra Lestari (BCL) di Indonesia. Dilakukan dengan pembabitan kelompok kecil di kalangan remaja, ia turut disertai selebriti seperti Cheryl Samad, Nazril Idrus dan Douglas Lim berkongsi kepakaran masing-masing.

Menurut Sazzy, Ashraf juga kini sedang membangunkan syarikat mereka di Indonesia dengan kerjasama pengurusan BCL. Apa yang cuba dilakukan mereka selama ini dengan satu niat untuk menaikkan dan membangunkan piawaian dunia seni ke satu tahap yang boleh dibanggakan. Mengenakan yuran ratusan ringgit untuk menyertai bengkel ini, Sazzy melihat modal yang dibayar itu sebagai pelaburan masa depan.

“Bukan soal harga yang perlu dibangkitkan, tapi ia sebagai satu pertaruhan untuk mendapatkan sesuatu yang berfaedah. Ia bukan sekadar elemen lakonan saja yang ingin disampaikan, kerana bergelar pelakon seperti manusia biasa juga memerlukan pelbagai aspek seperti disiplin, kesungguhan, persediaan menyeluruh dan macam-macam lagi. Sebagai pelajar, bukan soal akademi saja yang penting, ia perlu diseimbangkan dengan sisi kreatif yang ada.

“Sambutan yang kami terima sangat menggalakkan. Kami gabungkan pengalaman dan ilmu yang ada untuk memberi serba sedikit pendidikan dan bimbingan kepada peserta. Selepas ini kami mungkin mengendalikan bukan saja menjadikan lakonan, sebaliknya pengacaraan dan apa juga yang relevan untuk mana-mana syarikat yang ingin mendapatkan khidmat kami,” kata Sazzy yang bakal muncul dengan filem Notti pada 2009.


GAYA dua isteri yang aktif menganjurkan bengkel.

Bukan saja cuba mendidik bakat baru di bawah landasan sewajarnya, Sinclair Falak juga cuba mengembangkan muka baru yang berpotensi untuk syarikat produksi seperti Red Communications dan Popiah Pictures. Tidak mustahil satu masa nanti, usaha mereka boleh dikelaskan sebagai tanggungjawab sosial, menunjuk jalan kepada mereka yang berminat membabitkan diri dalam dunia seni.

“Ini langkah pertama kami memberi ruang kepada mereka yang mungkin jarang mendapat peluang dan pendedahan. Kami pun masih dalam peringkat belajar dan belum cukup sempurna, sambil mengajar (untuk bengkel) kami juga boleh mengingatkan diri untuk sentiasa belajar.

“Ia umpama satu proses kehidupan, setiap hari adalah hari untuk belajar menjadi lebih baik daripada semalam. Mungkin satu hari nanti, kami boleh anjurkan bengkel ini secara subsidiari dengan bantuan penajaan,” kata Aishah yang mengacarakan program web TV, Double Exposure yang boleh ditonton dengan melayari http://www.amc.com

Belum ada rezeki menerima zuriat

Selain bergelar selebriti dan mengadakan bengkel ini, Aishah dan Sazzy juga bahagian mengecapi bahtera perkahwinan walaupun belum dikurniakan cahaya mata.

Jika perkahwinan Aishah dan suaminya, Shaikh Shahnaz Karim seorang ahli perniagaan sudah mencecah tiga tahun, alam rumah tangga Sazzy dan suaminya, Nazril Idrus pula sudah masuk lebih dua tahun.

Mereka tidak pernah merancang untuk mendapatkan zuriat, sebaliknya mengambil peluang ini untuk terus mengumpul harta dan rezeki. Bersemangat mengambil dan mengejar peluang yang ada di depan mata, mereka ingin terus memperkukuhkan syarikat itu.

“Soal anak itu biarlah ia menjadi kejutan buat diri kami dan orang lain. Jangan risau kalau kami sudah mengandung, berita itu pastinya akan dikhabarkan kepada rakan wartawan.

“Dengan adanya staf syarikat kami nanti, tidaklah kami risau untuk melepas tangan kepada mereka mengendalikan tugas yang kami lakukan kini,” kata Sazzy sambil memerhati Aishah yang hanya tersenyum.

INFO: Sinclair Falak

Henry Golding (hos 8tv Quickie) juga antara pengacara yang pernah mengikuti bengkel anjuran syarikat ini.

Blog: actingsavedmylife.blogspot.com

Laman web yang masih dalam pembinaan: http://www.sinclairfalak.com dan http://www.ilovesinclairfalak.com

Facebook: Taip saja Sinclair Falak

PROFIL: Sazzy Falak

Nama sebenar: Sazlini Falak

Tarikh lahir: 10 Mac 1980

Asal: Kuala Lumpur

Keluarga: Anak sulung daripada tiga beradik

Status: Berkahwin

Suami: Nazril Idrus

Kerjaya: Pengacara dan pelakon

Program: Beat TV dan Ria Sentral

Pembabitan seni: Sejak 1999

PROFIL: Aishah Sinclair

Nama Sebenar: Aishah Jennifer Mohamed Sinclair

Tarikh Lahir: 27 Oktober 1980

Tempat Lahir: London

Pendidikan: Ijazah Sarjana Muda Komunikasi (Perhubungan Awam) Universiti Teknologi Mara, Shah Alam

Kerjaya: Model, pengacara dan pelakon

Status: Berkahwin

Suami: Shanaz

Iklan: Pepsi, Fair and Lovely, Twisties, Padini Authentic, Cadbury dan Dutch Lady

Drama/Filem: Bujang Senang, Gol & Gincu dan Realiti Pengalaman

Hos: Pilates (Astro), Life Traits (RTM), Voice Your Choice (8TV), The 8TV Quickie (8TV), Rock Unite Concert (ntv7), So You Think You Can Dance (SYTYCD) musim kedua

Pembabitan seni: Sejak 1998

Berita Harian

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: