Semakin Ghairah Terbit Drama

16 Dec

Oleh Zaidi Mohamad
zaidim@bharian.com.my

Laila Majnun terbitan Pena Creative temui penonton pada 22 Disember

LALUAN seninya bermula sebagai pelakon, namun sejak tahun 1991 hinggalah sekarang aktres yang kini bergelar penerbit drama bersama syarikatnya, Pena Creative Sdn Bhd, Ziela Jalil sedang berusaha memantapkan profil produk keluaran syarikatnya.

Kejayaan demi kejayaan yang diiktiraf dan diterima membakar semangat ibu kepada dua anak – Puteri Julia Nabilah, 16, dan Megat Jufri Nasrullah, 14.

Menurut isteri kepada Allahyarham Tan Sri Megat Junid Megat Ayob, sepanjang tempoh pembabitan di dalam bidang penerbitan, selama tiga tahun, sekitar 1998 hingga 2001, syarikat miliknya tidak menerbitkan drama ketika zaman kegawatan ekonomi.

Kejayaan drama Lebih Bisa Dari Jelatang menerusi Anugerah Skrin (ASK) 2006 dan Suara Solehah (ASK 2008), membuktikan drama terbitannya bukan saja berkesan pada mata juri sebaliknya mampu memikat penonton.

Satu majlis kesyukuran meraikan kemenangan drama Suara Solehah sekali gus melancarkan drama Laila Majnun terbitan produksi yang sama diadakan pada 12 Disember lalu di Restoran Seri Melayu. Turut sama berkongsi kesenangan dan keberkatan ialah anak yatim daripada Persatuan Ehsan Wanita Dan Anak-Anak Wilayah Persekutuan (Perwanida).


ZIELA, Fauziah Ahmad Daud dan Megat Jufri Nasrullah bersalaman dengan anak yatim daripada Persatuan ehsan Wanita Dan Anak-Anak Wilayah Persekutuan.

Drama Laila Majnun arahan sutradara Emi Suffian yang mengisi slot Lagenda TV3 & TV9 mulai 22 Disember ini menjadi penerbitan kedua Pena Creative selepas drama Akukah Tanggang yang pernah disiarkan sebelum ini menerusi slot yang sama.

Masih mengenakan pendekatan cerita yang memberi iktibar, Laila Majnun mengetengahkan mesej darah daging sendiri tergadai gara-gara hutang. Olahan skrip dilaksanakan oleh Jumal Yunus dan menampilkan gandingan sulung Nabila Huda dan Zizan Nin.

“Penggambaran drama ini sejak Oktober lalu, dua minggu selepas musim Aidilfitri. Baki penggambaran drama 20 episod ini masih dijalankan di sekitar Kuala Lumpur dan Hulu Langat. Laila Majnun juga menampilkan budaya pelbagai kaum di antara masyarakat Melayu, Cina dan India. Pemilihan Nabila dan Zizan sebagai pelakon utama adalah sebagai pilihan pertama.

“Saya dan pengarah drama Suara Solehah (Murali Abdullah) memang sudah lama berhasrat untuk mengadakan majlis doa selamat untuk anak yatim apabila kemenangan berpihak kepada kami. Terlanjur ada majlis pelancaran drama Laila Majnun, kita buat majlis ini. Lagipun, Murali dan saya masing-masing sibuk dengan komitmen lain,” kata Ziela yang kini sedang merangka drama Puteri Gunung Ledang dan Puteri Mayang Murai untuk mengisi slot Lagenda.


BARISAN pelakon yang terbabit memeriahkan drama Laila Majnun.

Januari depan juga, Ziela akan menerbitkan drama telenovela berjudul Matahari bagi mengisi slot Akasia TV3 bermula Mac nanti (sejurus selepas tamat Spa Q 2). Mengambil ilham sebuah drama Thailand yang pernah disiarkan di Astro ia mengisahkan seorang wanita bernama E Pring yang berkahwin ramai suami. Jika tiada aral melintang drama ini akan menjalani penggambaran di Terengganu.

Tidak sesekali pernah meninggalkan dunia lakonan, Ziela kini sedang menjalani penggambaran filem arahan Prof A Razak Mohaideen berjudul Dua Hati Satu Jiwa. Kali terakhir, Ziela berlakon filem ialah menerusi Kayangan yang ditayangkan 2007 lalu.

Dua Hati Satu Jiwa menjadikan subjek kembar Siam lakonan Fouziah Gous dan Yasmin Hani sebagai fokus utama dan Ziela menjadi ibu kepada mereka. Fahrin dipertanggungjawabkan sebagai hero dan turut menampilkan Mustapha Kamal memegang watak suami kepada Ziela.

Peluang berlakon buat julung kalinya di bawah arahan Razak Mohaideen, menjadi landasan terbaik untuk Ziela mengutip pengalaman yang boleh dijadikan amalan sebelum berjinak-jinak ke arah penerbitan filem. Ziela memuji corak kerja syarikat Line Clear milik Razak Mohaideen ini hingga membuatkan hatinya tersentuh. Filem ini adalah filem ke-16 lakonannya.

“Inilah pertama kali saya bekerja dengan produksi yang sebelum memulakan penggambaran dimulakan dengan bacaan doa dan Al- Fatihah. Begitu juga sesudah tamat penggambaran diakhiri dengan bacaan Alhamdulillah. Ia satu contoh yang baik, membawa berkat dan dapat mengutip pahala.

“Seronok juga dapat berlakon kembali dan pelakon lain sudah menjadi macam ahli keluarga apatah lagi saya tidak mempunyai adik beradik kandung. Cuma apabila kembali berlakon dengan produksi lain, soal masa memang amat mencemburui ruang waktu saya dengan anak-anak. Kadang-kadang saya tidak dapat menghantar anak ke sekolah disebabkan terikat dengan jadual penggambaran.

“Hakikatnya, saya memang selektif memilih untuk berlakon terutama hal yang membabitkan skrip. Jika berlakon dengan produksi sendiri, agak mudah bagi saya mengatur jadual di samping menunaikan ibadat yang wajib. Sekarang ini pun, saya sedang dalam proses perbincangan dengan seorang usahawan untuk bekerjasama menghasilkan filem,” ungkap Ziela yang sudah bertudung sejak hujung 2006 lalu.

Ditanya mengenai anak-anaknya andai mereka berminat untuk mengikuti jejaknya sebagai anak seni, Ziela mempunyai alasannya yang tersendiri.

“Saya memang tidak galak anak membabitkan diri dalam dunia lakonan. Biarlah mereka belajar sampai habis dulu dan kejar cita-cita. Kalau dapat segulung ijazah dan ingin menjadikan lakonan sebagai kerjaya sampingan, mungkin juga saya akan pertimbangkan ketika itu. Saya takut mereka akan lalai apabila sudah seronok berlakon,” katanya ringkas.

INFO: Laila Majnun

Disiarkan setiap hari Isnin hingga Khamis jam 4.30 petang di TV3 mulai 22 Disember ini.

Gandingan Nabila Huda dan Zizan Nin adalah yang pertama dilakukan.

Turut berlakon ialah Fauzi Nawawi, Balkish Semundur Khan, Maisarra, Kenchana Dewi, Aida Radzwill, Wan Hanafi Su dan Wan Maimunah.

Berita Harian

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: