Nilai Himpunan Klasik

13 Dec

Oleh SHAMRAN SARAHAN
shamss@hmetro.com.my

“PAKAIAN (terpakai) yang dijual di sini hebat, tapi harganya minta ampun (mahal sangat),” demikian kata ketua kumpulan muzik popular Indonesia, Dewa 19, Ahmad Dhani Abdul Manaf atau Dhani Ahmad Prasetyo ketika terserempak dengan penulis di Butik Buntil D Genuine Collection (Buntil), BB Plaza, Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

Sambil menyelak satu persatu deretan baju kumpulan rock vintaj (klasik), vokalis, pemain keyboard dan gitaris kumpulan rock popular itu sempat bertanya Pengurus Buntil, Adnan Khalid, 44: “Ada enggak (tak) baju kumpulan Queen?”

Adnan yang mengenali Ahmad Dhani sejak 2005 menggeleng kepala. “Buat masa sekarang, tidak ada,” katanya yang mengakui selebriti itu antara pengunjung tetap butiknya.

Itu antara pengalaman menarik penulis ketika berkunjung ke Buntil, dan jika bernasib baik anda juga boleh bertemu sebilangan artis terkenal dari negara jiran seperti Melly Goeslaw, Ari Lasso serta anggota Kumpulan Ada Band, Samsons dan Cokelat.

Mungkin menjadi tanda tanya, apa tarikan di Buntil sehingga ada selebriti terkenal dari Indonesia, serta artis tempatan seperti penyanyi rock terkenal, Amy Search dan rakannya, Din Search kerap datang ke situ untuk membeli barang lama terpakai, terutama baju dan kasut.

Sebabnya, kata Adnan, butiknya menjual aneka ‘barangan eksklusif’ yang lama atau vintaj dan tidak mungkin ditemui di mana-mana premis jualan dan kedai.

Antaranya aneka pakaian, kasut, beg dan aksesori terpakai berjenama seperti Nike, Adidas, Puma, Don Ed Hardy, Levi’s, Fred Perry, Ben Sherman, Evisu, Converse dan Benti 8, termasuk jenama sofistikated seperti Bally, Gucci, CD, DKNY, Paul Smith, Furla, Marcecko dan Ralph Lauren.

Ahmad Dhani berkata: “Saya minat membeli baju di sini, terutama baju rock band (kumpulan). Tidak sama seperti tempat lain, di sini (barang) bagus, tersendiri serta klasik,” katanya yang kerap datang ke Buntil setiap kali datang ke Malaysia.

Lebih lanjut mengenai Buntil, Adnan memberitahu, butiknya memiliki aneka koleksi vintaj dari era hippies, retro dan rock, bahkan turut menyimpan barangan era 1920-an hingga era Perang Dunia Kedua yang memang sukar ditemui ketika ini.

“Lagi lama usia barang itu, sudah tentu harganya melambung tinggi. Saya menjual jeans Levi’s rendem 501, Button No 6, buatan Amerika Syarikat (AS) pada harga RM2,222. Ia dikeluarkan pada 1920-an.

“Pernah saya menjual jeans Levi’s Big E, 501, 1930, kepada pelancong daripada Jepun berharga RM15,000. Itu harga paling mahal pernah saya peroleh. Namun, tidak semua barang vintaj di sini saya jual, sebaliknya sekadar disimpan sebagai koleksi butik,” katanya.

Sedikit mengenai koleksi ‘berharga’ di situ, kata Adnan, Buntil turut menyimpan koleksi pakaian tentera dari Itali dan Jerman serta kasut berjenama yang sudah tidak ada sekarang seperti Gola (buatan England) dan Quicks (buatan Jerman).

“Saya juga menyimpan koleksi kasut Bata dan Power buatan AS. Kasut ini saya tidak jual kerana ia sangat bernilai. Ia edisi pertama daripada kilang. Ada banyak lagi koleksi yang tidak dijual seperti beg tentera yang digunakan askar Nazi di Jerman.

“Saya turut menyimpan pelbagai jenis kasut getah jenama Bricksherman. Ia buatan Jerman dan tidak dijual di tempat lain. Di sana, ia digunakan oleh chef dan tukang masak saja,” katanya.

Menceritakan mengenai peminat fanatik pakaian lama dan vintaj ini, Adnan memberitahu, ketaksuban mereka (peminat vintaj) sukar digambarkan kerana masing-masing ada cita rasa dan minat berbeza.

“Ada yang sanggup berusaha mencari produk terbabit hingga ke serata tempat dan negara, sama ada pakaian, kasut atau aksesori.

“Mereka juga mengumpul pelbagai maklumat, termasuk tarikh pengeluaran dan sejarah mengenai barangan itu. Golongan (fanatik) seperti ini biasanya tidak kisah membayar pada harga tinggi kerana mereka hanya mengejar kepuasan diri,” katanya.

Sebagai contoh, Adnan memberitahu, Ahmad Dhani antara pengunjung tetap butiknya yang berbuat demikian.

“Dia (Ahmad Dhani) gemar mencari pakaian tentera lama dari pelbagai negara seperti AS, Itali, Perancis dan Jerman.

“Ada kala dia mencari pakaian yang saya sendiri tidak pernah ketahui, malah dia juga cerewet apabila saya perkenalkan apa-apa pakaian tentera yang ada di butik saya. Dia cukup tahu mengenainya,” katanya.

Adnan berkata, pernah juga dia didatangi warga Amerika yang terkejut melihat satu koleksi but jenama, Lacoste, yang didakwa tidak dikeluarkan lagi pengeluarnya.

“Saya diberitahu, warga Amerika itu bekerja di kilang Lacoste di negaranya. Dia terkejut kerana butik saya menjual kasut terbabit,” katanya.

Paling menarik, di butik berkenaan Adnan menyimpan sepasang kasut jenama, Aliph, yang pernah dipopularkan kumpulan rock tersohor tanah air, Search. Pada kasut berkenaan, ada tertera nama kumpulan terbabit, ia digunakan pada penghujung 1980-an.

“Ramai pengunjung menawarkan harga tinggi untuk membeli kasut berkenaan, tapi ia bukan untuk dijual. Jika Amy (Search) ingin membelinya sekalipun, saya tidak akan jual,” katanya.

Mengenai harga barang yang dijual di butiknya, Adnan mengakui ia dijual pada harga tinggi, misalnya bagi barangan berjenama seperti Paul Smith dijual antara RM400 hingga RM780 (kasut dan jeans), manakala bagi Ralph Lauren dijual antara RM89 hingga RM1,000 (baju, jeans, kasut dan beg).

“Bagi yang tidak mengetahui nilai barang itu, mereka mungkin menganggapnya terlalu mahal. Sebenarnya, harga itu jauh lebih murah daripada harga asal.

“Lagi pula, bukan semua orang mampu membeli barang itu di butik asal, sebagai alternatif mereka boleh dapatkannya di sini.

“Sebab itu bagi penggemar fanatik, mereka tidak peduli pada harga. Ada yang membeli barang bernilai lebih RM500 dibutik saya sehingga empat kali sebulan.

“Bayangkan, betapa gila mereka ini. Tidak keterlaluan jika saya kata mereka sama dengan kaki kereta yang sanggup berhabis duit demi mengejar kepuasan,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, ramai juga beranggapan membeli koleksi vintaj dan bundle tidak berbaloi, terutama jika harga ditawarkan terlalu tinggi berbanding membeli barang baru.

“Sebenarnya harga tinggi yang saya kenakan itu bersebab. Pertama, kepayahan kami mendapatkannya. Kami mencari barang berkenaan hingga ke luar negara.

“Ia bukan senang seperti disangka, bahkan ada yang mengambil masa bertahun-tahun untuk memperoleh satu barang.

“Kedua, kami sebenarnya tidak mahu menjual barang berkenaan. Sebab itu kami letak harga yang ‘melampau’. Itu juga menunjukkan prestij butik kami, lagi mahal barang yang ada di sini, bererti barang itu lagi vintaj dan boleh dikategorikan ‘rare’,” katanya.

Harian Metro

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: