“Tragedi Cinta Bukan Kisah Kami”

12 Dec

Oleh Zaidi Mohamad
zaidim@bharian.com.my


ACHIK dan Nana kembali berduet dalam Tragedi Cinta.

Achik, Nana berduet atas permintaan peminat

MASING-masing kini sudah berkeluarga dan mempunyai fokus di dalam hidup biarpun umum sedia maklum Siti Nordiana (Nana), 24, dan Achik, 26, pernah menjalinkan hubungan cinta. Yang jelas, kisah percintaan mereka pernah dibukukan beberapa tahun lalu, namun jodoh kini memisahkan mereka dengan pilihan masing-masing.

Biarpun pernah mengalami fasa kehilangan besar anak pertama, Allahyarham Putri Rania, Achik kini semakin bahagia bersama isterinya HM Rosezaitul Suriani (Tasha) dengan kehadiran anak kedua mereka bernama Putri Nursafiyya berusia 10 bulan. Demikian juga Nana dan suami, Faizal Yusof yang dikurniakan cahaya mata lelaki, Muhammad Rayyan Nakhaie berumur tujuh bulan.

Mengakui zaman kegemilangan mereka tidak lagi semeriah seperti dulu, sebelum membuat keputusan berumah tangga, Achik dan Nana pernah dianggap antara pasangan duet yang menjadi kegilaan ramai. Lagu Paling Comel menjadi penanda aras betapa hebat dan sukses penerimaan peminat terhadap mereka. Lagu itu dipetik daripada album Istimewa Untukmu pada 2003. Kemudian pada 2005, mereka berduet sekali lagi dalam album tradisional, Benang Emas.

Atas permintaan yang masih ada, tiada masalah untuk duo kelahiran Negeri Sembilan ini bekerjasama dalam album duet seterusnya. Terbaru mereka kembali berduet mendendangkan lagu bonus berjudul Tragedi Cinta yang dimuatkan dalam album Terbaik Eddie Hamid, Rindu…Nya sejak Oktober lalu.

Menganggap strategi duet mereka masih lagi relevan, syarikat rakaman FMC Music tidak mahu ketinggalan untuk terus mengangkat nama Achik dan Nana buat ke sekian kalinya. Menurut Nana yang sudah sembilan tahun berada di persada seni, dia dan Achik masih mempunyai peminat yang tersendiri. Bagi Nana, dia tidak mempunyai masalah untuk bekerjasama dengan Achik kerana ia berbalik kepada soal profesionalisme.

“Lagu Tragedi Cinta itu sememangnya tiada kaitan dengan kisah kami dulu. Setahu Nana, lagu itu berkait rapat dengan komposer Eddie Hamid sendiri. Selepas lagu single ini, kami sedang merancang untuk menghasilkan album duet penuh pula. Nana yakin kolaborasi kami masih relevan kerana kelompok peminat kami masih ada terutamanya di kawasan luar bandar termasuk di Sabah, Sarawak dan juga Singapura.

“Soal kahwin atau tidak, ia bersifat subjektif. Kalau dulu mungkin kami berpeluang berada di kulit depan majalah tapi kini wajah baru yang menjadi pilihan. Ia berlaku seperti putaran yang menjadi lumrah alam. Nana pun masih muda dan jauh lagi perjalanan ini. Kalau boleh, Nana nak bertahan lama di dalam industri kerana banyak perkara yang Nana ingin kecapi dan capai.

“Sejak dulu memang Nana dan Achik berkawan baik. Biarpun masing-masing sudah berkahwin, kami tetap kepala gila-gila dan Nana boleh serasi dengannya,” kata Nana yang sudah habis kontrak dengan FMC dan soal untuk menyambungnya atau tidak, masih dalam perbincangan.

Bersyukur mendapat suami yang memahami, Nana mengakui kehadiran Rayyan menjadi penyeri kehidupan rumah tangganya. Ditanya tidakkah dirinya berminat untuk kembali berlakon seperti dulu, Nana mempunyai alasan yang tersendiri.

“Alhamdulillah kehidupan kami sangat membahagiakan. Jika Faizal tidak ada penggambaran di Kuala Lumpur, dia akan balik ke Seremban. Sejak setahun lalu, Nana sudah tinggal di Seremban dengan keluarga, tambahan pula sejak melahirkan Rayyan, Nana memerlukan bantuan emak untuk menjaga anak. Insya-Allah, kalau tiada aral melintang, Nana akan membeli rumah di Kuala Lumpur.

“Setakat ini biarlah Nana memberi tumpuan kepada bidang nyanyian. Faizal pun tidak izinkan Nana berlakon sebab dia selalu pesan, kalau nak berlakon biarlah mempunyai asas yang kukuh dulu dalam hal itu,” kata Nana yang boleh dihubungi melalui e-mel sitinordianalias@yahoo.com.

Achik semakin ligat berniaga

BERSETUJU dengan pendapat Nana, Achik juga melihat duet mereka masih mendapat maklum balas positif. Ia diperoleh Achik menerusi e-mel dan laman web Friendster yang dilawati peminatnya yang masih berkehendakkan mereka untuk terus berduet. Seperti Nana, kehidupan peribadi Achik juga begitu indah dan kini Achik sudah menetap di Seremban.

“Sejak Mei lalu saya sudah habis kontrak dengan FMC bagaimanapun syarikat ini masih berhutang empat buah album dengan saya. Tak sangka juga kami masih ada peminat yang teringin untuk melihat kami terus berduet. Sekarang ini pun, kami tengah merancang untuk menghasilkan album duet dan Insya-Allah tahun depan, mungkin diikuti album penuh solo saya pula.

“Selain menyanyi, saya juga kini sudah membabitkan diri dengan perniagaan dan ia sebagai jaminan serta sandaran hidup pada masa mendatang. Saya kini mengendalikan dua syarikat iaitu Spirespin Industries Sdn Bhd (di Johor Bahru) dan Nak Enterprise (Seremban). Alhamdulillah perniagaan saya ini mendapat sambutan yang baik dan berkat menjadi artis, ia menjadi batu loncatan untuk saya mudah mendapat peluang mendapat kenalan bisnes dan pelanggan,” kata Achik serius.

Bercakap lanjut mengenai perniagaannya, Achik juga menanam hasrat untuk membantu orang dari segi perubatan dan kesihatan. Achik kini sedang mencari mana-mana pakar atau individu yang mampu merealisasikan hasratnya dengan menggunakan formula yang diusahakannya.

Melalui syarikatnya juga, Achik berniaga ubat darah tinggi, kencing manis dan kanser diberi nama Burak. Begitu juga di bawah label yang sama turut terdapat kopi dan teh pemberi tenaga.

“Saya juga menjual air RO (Reverse Osmosis atau Osmosis Songsang) yang diberi nama air Warisan Tradisional di Johor Bahru, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur. Pada masa yang sama, saya juga mengendalikan kerja pembinaan secara kecil-kecilan seperti membuat projek jalan dan longkang.

“Formula ubat herba ini dijamin 100 peratus dengan jaminan pulangan kewangan. Tidak semua ramuan ini boleh didapati di Malaysia, ada juga yang saya dapatkan di Hong Kong. Produk ini saya mahu realisasikan demi membantu secara percuma kepada mana-mana orang yang mempunyai masalah kesihatan,” katanya.

Mengenai kumpulan Spin yang pernah meledakkan namanya, Achik memberitahu kumpulan ini bakal membuat come back dengan mengekalkan anggota yang lama.

“Insya-Allah, selepas album duet selesai, saya akan mula memikirkan niat untuk memastikan kumpulan Spin kembali memeriahkan persada seni,” katanya yang pernah membikin empat album bersama Spin.

INFO: Nana dan Achik

Kedua-duanya berasal dari tempat yang sama, Felda Sendayan Negeri Sembilan.

Nana bergelar artis rakaman sejak berusia 15 tahun.

Achik menyerlah bersama kumpulan Spin mulai 1999 bersama album Roda Roda Rindu.

Nama sebenar Achik ialah Abdillah Murad Md Shari dan nama sebenar Nana ialah Siti Nordiana Mohd Alias,

Kisah percintaan dan suka duka mereka diabadikan dalam autobiografi Pelangi Jiwa yang pernah diterbitkan beberapa tahun lalu.

Lagu Paling Comel menaikkan nama dua penyanyi remaja ini.

Achik adalah Pelakon Harapan Lelaki di Festival Filem Malaysia Ke-17 menerusi Diari Romeo.

Nana pernah berlakon drama Helah, 3 Dara Pingitan dan Wad 04.

Berita Harian

8 Responses to ““Tragedi Cinta Bukan Kisah Kami””

  1. Azuan October 11, 2010 at 5:15 PM #

    Tragedi cinta. . .ermm. . .sedap lagu mereka. .kta suka dngr lagu yang lama2


    Sent on a phone using T9space.com

  2. bryandi November 6, 2010 at 10:43 AM #

    korang sepadan sangat tapi apakan daya maybe bukan jodoh korang…

  3. andi November 6, 2010 at 1:07 PM #

    lagu pulang kasih pulanglah sayang menarik ,tapi lagu tu lagi best kalau nana dan achik spin yang nyanyi…sorry janga ambil hati.

  4. Azuan November 8, 2010 at 7:32 PM #

    Lau arwah achik ada lagi. .azuan nk mintk no tepon abng achik and kak nana. . .umr azuan bru 12 thun. .azuan ada kawn. .nama dia ikmal,udin dan abe. .azuan and diorng sume tringin nk buat kumpulan. . . Lpst2 nyanyi lagu jiwang2 pnya. . .


    Sent on a phone using T9space.com

  5. Azuan November 8, 2010 at 7:40 PM #

    Telah ku cuba meminta kasihmu. Biar menjadi ikatan abadi. Namun apa daya telerai janji kita. Mungkin takdir meminta. . Namun apa daya telerai janji kita. Mungkin takdir meminta. Hehehe. .


    Sent on a phone using T9space.com

  6. Azuan November 8, 2010 at 9:53 PM #

    Kta bru je kenal siapa achik spin ni. .and siapa kak nana. .


    Sent on a phone using T9space.com

  7. Azuan November 8, 2010 at 11:22 PM #

    Azuan rasa arwah abng achik lg bgus duet dngan kak nana. . .


    Sent on a phone using T9space.com

  8. mimie July 16, 2011 at 11:25 AM #

    saya amat meminati kak nana dan arwah abg achik,dulu saya arap sangat diorang kawin,tapi mungkin tiada jodoh antara mereka whatever buat kak nana tabahkan hidu akak n al fatihah buat arwah..al fatihah..

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: