Aqasha Mengaku Solo

4 Dec

Oleh JESSABELL SOO
jessabell@kosmo.com.my


AQASHA sudah bersedia untuk berkahwin jika mempunyai jodoh.

MEMULAKAN perjalanan seninya pada usia muda, Aqasha yang kini berumur 27 tahun sering dikaitkan dengan wanita yang lebih matang berbanding dirinya.

Matang yang dimaksudkan mungkin bukan sahaja pemikiran tetapi juga dari segi usia.

Namun, selepas dia dilanda beberapa kontroversi berkaitan wanita dalam hidupnya, Aqasha kini kembali solo.

Sungguhpun masih bujang, pelakon yang popular menerusi drama bersiri Bicara Cinta ini sering memikirkan mengenai perkahwinan.

Cuma buat masa ini Aqasha belum lagi mempunyai calon yang sesuai. Katanya dia mahukan wanita yang serasi dengannya. Wanita yang dimaksudkan sebaik-baiknya adalah yang mementingkan keluarga, bersikap rasional serta boleh bertolak ansur.

“Saya tidak mencari kerana sibuk dengan kerjaya saya. Jadi saya berharap ada orang yang datang mencari saya. Namun, ini bukan bermaksud saya terdesak. Saya masih muda lagi,” kata Aqasha pada majlis sidang media mempromosikan drama Mertua VS Menantu baru-baru ini.

Namun jika jodohnya sudah sampai, Aqasha tidak kisah untuk berkahwin tahun depan. Dia juga tidak meletakkan syarat sama ada untuk memilih wanita daripada golongan artis atau golongan orang biasa.

“Bagi saya, cinta itu adalah buta. Jadi saya tidak kisah wanita itu artis atau tidak. Cuma tanggapan orang sudah serik untuk berkahwin dengan artis adalah tidak betul. Pada saya, perasaan itu penting dan saya seorang yang pemilih.”

Tidak kisah jika bekas teman wanitanya inginkan dia kembali, Aqasha memberitahu apa yang paling penting adalah wanita itu mampu mencipta semula perasaan cinta. Dan dia tidak kisah dengan faktor usia.

“Sempadan usia bukan satu masalah. Jika itu adalah jodoh saya, saya akan terima. Memang sebelum ini saya sering dikaitkan dengan wanita yang lebih matang. Ketika itu saya masih muda. Jadi wanita yang lebih muda daripada saya semuanya tidak matang.

“Kini pada usia 27 tahun, wanita yang muda daripada saya juga sudah matang. Jadi, skop pemilihan teman wanita sudah lebih luas sekarang,” tambahnya.

Pilih drama berbanding filem

Memang diakui penglibatan dalam drama memerlukan lebih perhatian berbanding filem terutamanya drama bersiri yang panjang.

Penjagaan kesinambungan termasuk dari segi pakaian dan emosi adalah penting supaya tidak timbul perasaan janggal di kalangan penonton.

“Ada kalanya produksi penggambaran akan berehat seketika sebelum menghabiskan keseluruhan drama. Maka saya perlu mengingati watak dan perasaan peranan yang dipegang.

“Jika tidak, bimbang penonton nanti dapat melihat perbezaannya. Tetapi saya menghayati prosesnya,” jelas Aqasha.


AQASHA pertama kali digandingkan bersama Erra.

Memberitahu dia tidak menerima sebarang tawaran berlakon filem buat masa ini, Aqasha menyifatkan drama memberikan dia kebebasan berbanding filem. Dan dia yang murah rezeki telah mengisi jadual lakonannya penuh sehingga Februari depan.

“Filem selalunya kena mengorbankan sesetengah genre mengikut permintaan penonton. Mereka hanya mahu menonton filem komedi dan romantik. Tetapi drama pula membolehkan saya memikul kepelbagaian watak,” luah Aqasha yang baru menghabiskan pengajiannya di Kolej Muzik Antarabangsa di Setapak pada Mei lalu.

Walaupun masih meminati muzik, Aqasha sudah lama jatuh cinta dengan lakonan. Beritahunya, lakonan membolehkan dia meneroka dan meningkatkan sisi kemanusiaan dalam dirinya.

“Semenjak terlibat dengan lakonan, saya sudah mula jatuh cinta dengannya. Memegang watak berlainan membolehkan saya mengenali manusia daripada pelbagai latar belakang berbeza.

“Berlakon mengajar saya sahsiah diri. Semakin lama saya berlakon, saya mengambil impak positif dan meninggalkan kelemahan untuk memperbaiki diri. Itu antara sebab mengapa saya suka berlakon,” bicaranya lagi.

Watak komedi pertama

Memegang watak Rosyam dalam Mertua VS Menantu, dia merupakan seorang anak yang sentiasa mendengar kata-kata ibunya, Datin Faridah (lakonan Rozie Othman).

Bapanya telah meninggal dunia 10 tahun lalu dan ini menyebabkan Rosyam rapat dengan ibunya. Tetapi ibunya bukan sahaja mahu Rosyam mendengar kata-katanya, malah telah mengawal kehidupannya.

Ibunya bukan sahaja mengawalnya dari segi makan dan minumnya tetapi juga dari segi memilih isteri untuknya.

Namun, pada usia 28 tahun, Rosyam sedar dia tidak mahu dikawal lagi. Jadi untuk bebas daripada kawalan itu, dia perlu berkahwin dengan wanita yang dibenci ibunya.

“Saya kemudian berjumpa dengan Nurul Ain (Erra Fazira) semasa kereta saya rosak. Ia adalah cinta pandang pertama. Ini kerana saya berpendapat Ain adalah wanita berbeza daripada golongan wanita yang pernah saya temui.

“Disebabkan terlalu terdesak dan perasaan cinta, kami terus berkahwin,” jelas Aqasha yang lakonannya pernah dikatakan seiras Awie.

Itu semua adalah permulaan cerita kerana konflik drama sebanyak 26 episod ini akan bermula selepas Rosyam dan Ain berkahwin.


MERTUA VS MENANTU mengupas kisah rumah tangga Rosyam dan Ain yang sentiasa dikawal oleh ibu Rosyam, Datin Faridah.

Masalahnya tidak berat cuma apa yang menambahkan huru-hara adalah ibunya yang mencari wanita lain, Liza (Raja Farah) untuk menggoda anaknya.

“Cerita mentua dan menantu sudah sering kali dimasukkan dalam drama. Namun, kami tidak mahu drama ini terlalu serius, maka disuntik elemen komedi.

“Watak Rosyam juga bersifat komedi seperti kartun. Dia tidak tahu apa yang perlu dilakukan pada sesetengah masa kerana sudah biasa dikawal oleh ibunya,” tambah Aqasha mengenai drama yang turut dibintangi oleh Jehan Miskin itu.

Pertama kali digandingkan dengan Erra, Aqasha memberitahu dirinya tidak mempunyai masalah untuk bekerjasama dengan Erra walaupun Erra kini sedang sarat mengandung.

“Erra tidak mempunyai sebarang kerenah dan amat profesional. Dia pandai mengawal emosi dan semuanya berjalan lancar seperti yang dirancang,” ulas Aqasha.

Saksikan Mertua VS Menantu pada setiap Rabu, 10 malam di saluran Astro Prima (Astro 105).

Kosmo

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: