Angelina Jolie Vs Jennifer Aniston – Dua Wanita, Satu Cinta

27 Nov


“SELAMAT tinggal Jen, aku kini sedang bahagia dengan Angel,” mungkin ini yang dikatakan oleh Brad Pitt kepada jandanya, Jennifer Aniston.

ANGELINA JOLIE pernah memberitahu bahawa dia mudah jatuh cinta dengan aktor yang digandingkan bersamanya dalam filem.

Buktinya, Angelina berkahwin dengan Jonny Lee Miller pada tahun 1996 ketika bertemu dalam filem Hackers (1995). Mereka kemudian bercerai pada tahun 1999.

Aktres seksi ini kemudiannya berkahwin dengan aktor Billy Bob Thornton yang ditemuinya pada set penggambaran filem Pushing Tin (1999). Pasangan ini berkahwin pada 5 Mei 2000 dan bercerai pada 27 Mei 2003.

Selain dua suami ini, Angelina juga pernah mengejutkan dunia pada tahun 2003 apabila memberitahu dia adalah biseksual dan pernah jatuh cinta dengan aktres Jenny Shimizu. Mereka berdua bertemu ketika berkerjasama dalam filem Foxfire (1996).

Maka, apabila dia dikaitkan dengan Brad Pitt ketika mereka berdua berlakon dalam filem Mr. & Mrs. Smith (2005), ramai yang tidak terkejut. Dia ketika itu dilemparkan kritikan pedas sebagai orang ketiga yang menyebabkan rumah tangga Brad dan Jennifer Aniston musnah.

Dia bagaimanapun berkali-kali menafikan menjadi punca penceraian Brad. Dalam satu temu bual pada tahun 2005, dia menjelaskan, “Bukan senang untuk intim dengan seorang lelaki yang sudah berkahwin. Semasa ayah saya menipu ibu saya, ia bukan sesuatu yang boleh dimaafkan.

“Saya tidak dapat bayangkan diri saya melakukan sebegini. Saya tidak akan tertarik dengan lelaki yang menipu isterinya.”

Apabila Angelina dan Brad tidak memberi komen secara umum mengenai status hubungan mereka, spekulasi terus menular sepanjang tahun 2005.

Rakaman intim pertama pasangan ini diterbitkan pada April 2005, sebulan selepas Jennifer memfailkan penceraian. Gambar itu menunjukkan Brad, Angelina dan anak angkatnya, Maddox sedang bermain pantai di Kenya.

Mereka kemudian sering kali dilihat bersama dan dilabelkan sebagai pasangan oleh media hiburan seluruh dunia. Hanya pada 11 Januari 2006, Angelina mengesahkan kepada majalah People bahawa dia sedang mengandungkan anak Brad. Ini sekali gus mengesahkan hubungan mereka secara umum buat kali pertama.

Dilabelkan sebagai aktres paling berpengaruh dunia oleh Guinness World Records edisi 2009, Angelina akhirnya membuat pengakuan pada Oktober lalu bahawa dia adalah punca kepada penceraian Brad dan Jennifer.

Angelina, 33, mengaku bahawa dia dan Brad, 44, telah jatuh cinta semasa berganding dalam filem Mr. and Mrs. Smith ketika aktor ini masih suami kepada Jennifer, 39.

Apa yang memeranjatkan ramai adalah Angelina sebelum ini menegaskan bahawa mereka jatuh cinta selepas perpisahan Brad dengan Jennifer.

Tidak pasti secara sengaja atau tidak, Angelina membuat pengakuan tersebut semasa memberitahu dia gembira ketika anak-anaknya melihat ibu bapa mereka dalam filem Mr. and Mrs. Smith apabila ditemu bual oleh sebuah akhbar.

“Tidak ramai yang akan berpeluang menyaksikan filem yang memaparkan bagaimana ibu bapa mereka jatuh cinta,” katanya.


SETELAH perkahwinan mereka gagal, Jennifer masih mencari cinta sejati daripada seorang lelaki.

Pengakuan berani dia itu telah dibalas dengan kenyataan daripada Jennifer. Seolah-olah masih berdendam, Jennifer telah mengeluarkan kata-kata pedas terhadap Angelina ketika ditemu bual oleh majalah Vogue.

“Apa yang dilakukan oleh Angelina itu tidak ‘indah’,” kata Jennifer.

Komen itu adalah yang pertama dibuat Jennifer mengenai hubungan Angelina dan Brad selepas Angelina membuat pengakuan itu. Kritikan berani Jennifer telah membuktikan Jennifer sudah berani dan melupakan peristiwa hitam dalam hidupnya.

“Saya tidak lagi menanggung perasaan kesal terhadap Brad dan Angelina. Wartawan Vogue itu bertanya soalan kepada saya dan saya hanya menjawab secara jujur.”

Pada Februari lalu, Jennifer dilaporkan sangat kecewa dan berang apabila mengetahui Angelina mengandung lagi hasil hubungan dengan Brad.

Jennifer yang bercerai dengan Pitt pada Oktober 2005 selepas lima tahun berkahwin dikatakan sedih dengan berita Angelina dilaporkan hamil anak kembar.

“Jennifer mungkin kelihatan seperti tidak mempunyai sebarang reaksi dengan berita itu tetapi sebenarnya sangat sedih. Dia amat terperanjat melihat kehidupan Brad yang berkembang dan memiliki anak berbanding dirinya yang bujang.

“Dia seolah-olah terkilan kerana tidak berjaya melahirkan anak buat Brad. Jennifer asyik terfikir apa yang akan terjadi jika dia melahirkan anak untuk Brad. Mungkin perkahwinan mereka dapat diselamatkan,” kata satu sumber kepada majalah Star.

Mungkin ramai yang sudah menerima hubungan pasangan Angelina dan Brad tetapi tidak kurang yang sedang memerhati dan menanti bila mereka akan berpisah. Dan kontroversi mula merebak terutamanya selepas Angelina melahirkan anak kembarnya, Knox Léon dan Vivienne Marcheline pada 12 Julai 2008.

Sejak itu Angelina jarang muncul di khalayak umum dan Brad pula sentiasa keseorangan apabila menghadiri acara karpet merah. Ini yang membuat orang ramai beranggapan hubungan mereka telah berakhir dan Angelina didakwa sedang gila meroyan.

“Saya mencintai Pitt dan hidup saya tidak lengkap tanpanya,” kata Angelina ketika mempromosikan filem terbarunya, The Chageling arahan Clint Eastwood baru-baru ini.

Kenyataan itu membuktikan bahawa hubungan antara Angelina dan Brad masih berada dalam keadaan baik. Malah berita terbaru, Angelina juga mahu meninggalkan dunia lakonan untuk meluangkan masa bersama keluarganya.

“Saya tidak bercadang untuk berlakon untuk jangkamasa yang panjang. Selepas ini mungkin hanya sebuah filem setahun. Kemudian sebuah filem setiap tiga tahun dan sebuah filem setiap enam tahun. Kemudian saya akan menghilang dan menunggu untuk menjadi nenek suatu hari nanti. Itu adalah perancangan saya.”

Angelina dan Brad kini mempunyai tiga orang anak angkat, Maddox, 7, Pax, 5 dan Zahara, 3 dan tiga orang anak kandung, Shiloh, 2, serta kembar Knox dan Vivienne, empat bulan. Dan Angelina memberitahu bahawa dia menyimpan hasrat untuk mengambil anak angkat baru selepas keenam-enam orang anak mereka selesa bersama.

Kosmo

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: