Bertuah Dengan Si Dia

24 Nov

Oleh Zaidi Mohamad
zaidim@bharian.com.my

Diana Rafar sentiasa mengharap hubungannya bersama Zamarul Hisyam berakhir dengan kebahagiaan berkekalan

KISAH cinta antara Diana Rafar dengan Zamarul Hisyam bukanlah perkara rahsia lagi. Cerita itu juga bukanlah baru, tetapi sudah berputik sejak enam tahun lalu.

Pada tahun 2006, hubungan Diana, 26 dan Zamarul bergoncang seketika apabila dia dikaitkan dengan Bintang Paling Popular, Mawi.

Gosip antara Diana dan Mawi pada waktu itu memang memberi kesan dan hampir menggugat hubungannya dengan Zamarul.

Zamarul ketika menerima trofi Pelakon Drama Terbaik di Anugerah Skrin 2008 sempat mengucapkan terima kasih kepada ‘si dia’ yang kemudian menimbulkan tanda tanya kepada banyak pihak.

Ketika majlis meraikan tetamu selepas selesainya Anugerah Skrin 2008, Zamarul ditanya Hip, siapakah ‘si dia’ yang dimaksudkannya. Sambil tersenyum, dia berpaling ke arah Diana sebagai tanda ‘jawapan’ siapakah si dia itu. Hakikatnya, di majlis itu, Zamarul datang tidak keseorangan. ‘Si dia’ inilah yang menemaninya selain Linda Rafar dan suaminya, Syed Aiman.

Dalam pertemuan dengan Hip, Diana mengakui, dia dan Zamarul memang pernah merancang untuk berkahwin pada penghujung tahun 2006, namun gosip liar yang menghambat dirinya pada tahun yang sama sudah membantutkan niat mereka.

Justeru, pada saat ini baik Diana mahupun Zamarul, mereka hanya berserah dan berharap impian untuk hidup bahagia sebagai pasangan suami isteri menjadi kenyataan.

Menurut Diana, sejak mengenai Zamarul pada tahun 2002, dia sudah lali diajukan pertanyaan mengenai perkahwinannya dengan pelakon itu.

Bahkan, ada juga yang mengandaikan hubungan mereka sudah terputus di tengah jalan sedangkan hakikatnya cinta mereka masih lancar.


Diana dan Zamarul.

Buktinya, Zamarul sendiri sendiri muncul sewaktu sesi fotografi ini dijalankan.

“Semuanya saya serahkan kepada soal jodoh dan takdir. Insya-Allah, kalau sampai jodoh kami berdua, kami pasti kahwin. Bukan apa takut pula kalau merancang, bimbang tak menjadi pula. Kami sudah melalui fasa bercinta dalam tempoh yang agak lama dan ada kalanya kesibukan masing-masing membuatkan kami tidak berjumpa.

“Tengoklah sendiri tadi, kalau kami berjumpa depan mata sekalipun, tidak sempat berborak.

“Tapi selalunya masa terluang kami termasuk ahli keluarga saya yang lain banyak dihabiskan di sini (Shah Alam). Tapi saya bertuah kerana dia (Zamarul) seorang yang sangat mengambil berat,” kata Diana yang terbabit mengikat kontrak hingga tahun depan sebagai model iklan produk syampu bersama Fouziah Gous.

Kata Diana, kalau Zamarul ada masa terluang, dia memang akan singgah ke premis pusat kecantikan D’Lugano miliknya di Seksyen 13, Shah Alam

Menariknya, bukan Diana saja menjalankan perniagaannya di situ, anak saudaranya membuka butik The Closet, manakala kakaknya, Linda berniaga di Jom Lepak Cafe menjadikan hampir sederet rumah kedai ini seperti ‘ditakluki’ keluarga Rafar.

Dan, bagi Diana sendiri, rezeki datang tanpa diduga apabila dia kini mengikat kontrak untuk menjadi duta produk kesihatan Al Jabbar bersama Zamarul.

Menunggu tawaran berlakon filem

Mula berlakon sejak di usia lima tahun, Diana juga pernah mencatat profil seninya sebagai penyanyi dengan menubuhkan kumpulan GIM (Girls In Music) pada 1999 dan kemudiannya melahirkan album duet bersama Linda.

Ketika itu Linda dan Diana meledak dengan lagu Hak Milik Kekal. Aktif berlakon drama tetapi Susuk adalah filem pertama yang dibintanginya sepanjang pembabitannya dalam bidang lakonan.

Kemunculan Diana Rafar sebagai antara pelakon utama dalam filem Susuk yang ditayangkan pada 7 Ogos lalu, mendapat pujian ramai.

Malahan selepas filem itu, dia disebut-sebut sebagai antara pelakon yang mempunyai potensi besar untuk melebarkan bakatnya di layar perak. Bahkan, Diana juga mengaku beraksi untuk filem memberi kepuasan tidak terkira berbanding dengan aksinya dalam drama.

“Sejak berlakon filem, baru saya faham erti sebenar dunia lakonan. Melalui filem itu, saya mendapat pendedahan yang sangat besar mengenai pelbagai aspek seni. Bayangkan untuk berlakon filem, sesi latihannya mengambil masa yang berbulan-bulan. Untuk watak saya saja, saya turut diajar cara pergerakan berjalan.

“Saya ada menerima tawaran berlakon filem sebelum Aidilfitri lalu, tapi disebabkan sibuk membuat persiapan raya dan pihak yang terbabit itu diam, akhirnya tawaran itu hilang begitu saja. Saya harap andai ada rezeki untuk berlakon filem lagi pada masa mendatang, biarlah filem itu lebih baik daripada Susuk dan bukan hanya ala kadar saja,” kata Diana yang baru saja selesai penggambaran telefilem berjudul Kasihnya Yang Kian Pudar bersama produksi Grand Brilliance Sdn Bhd.

Tidak lagi mengharap 100 peratus kepada bidang lakonan, Diana kini sudah bergelar usahawan berjaya menguruskan spa D’Lugano yang sudah beroperasi sejak 10 bulan lalu. Impiannya kini untuk membuka cawangan D’Lugano dan ingin terus komited meneruskan perniagaan yang diminatinya ini.

Paling istimewa, segala susunan dan hiasan dalaman di premisnya ini diilhamkan sendiri oleh Zamarul.

Menurut Diana, sebelum Zamarul berlakon, dia pernah menjadi pereka hiasan dalaman dan bakat yang ada dimanfaatkan sebaik mungkin untuk mencantikkan spa Diana. Seperkara yang membanggakan Diana kerana dia mempunyai rangkaian produk sendiri seperti minyak lulur, minyak aroma terapi dan jamu Mak Dara yang mendapat sambutan di kalangan selebriti.

“Alhamdulillah maklum balas yang diterima sangat menggalakkan. Tambahan pula, di sebelah spa saya terdapat sebuah kedai yang menjual peralatan sukan golf dan secara tidak langsung, pelanggan yang ke situ akan singgah ke spa saya, termasuklah mereka daripada kalangan VIP. Pembabitan saya ini antara satu jaminan pada masa depan yang tidak boleh bergantung sangat kepada industri seni yang tidak menentu, turun naiknya.

“Lihat saja contoh terdekat, ada di antara pelakon veteran di negara kita yang tidak dihargai di saat usia mereka semakin lanjut. Bagaimanapun, saya tetap bersyukur masih ada tuah dan tidak pernah dipinggirkan di dalam industri. Namun, sebagai persediaan tumpuan saya kini juga beralih kepada perniagaan ini dan berharap supaya rezeki itu akan terus berpanjangan,” katanya.

Sepintas Diana Rafar

Spa: Ramai rakan artis yang datang ke spanya seperti Dynas, Raja Azura, Fazura, Mila, Ziana Zain, Fouziah Gous dan ramai lagi. Menurut Diana, dia sangat menghargai sokongan mereka.

Zamarul: Seorang lelaki yang terlalu mengambil berat mengenai dirinya hingga kadang-kadang boleh merimaskan dirinya. Menurut Diana, Zamarul selalu menasihati dirinya berkaitan soal kehidupan, suka dan duka. Dia pandai mengambil hati dan selalu memberikan hadiah kepada Diana. Tambah Diana lagi, ada kalanya orang mula salah sangka dan syok sendiri dengan sikap peramah Zamarul.

Minyak aromaterapi: Dijual dengan harga RM16.90 dan mempunyai dua bauan. Yang pertama, bauan untuk menenangkan suasana dan bauan kedua bagi mengatasi masalah kekeluargaan dan hubungan intim.

Gosip: Ia secara tidak langsung akan mempopularkan seorang artis itu dan ada kalanya mampu menjatuhkan nama artis itu. Terpulang kepada bagaimana pendekatan gosip itu diterima.

Dunia lakonan: Ibarat jiwa dan cintanya tapi kini lakonan sangat mematangkan dirinya.

Nyanyian: Bidang yang menarik dan senang dapat duit dalam waktu yang singkat membuat persembahan dan tidak panjang durasi masanya seperti berlakon.

Profil

NAMA PENUH: Adiana Abd Rafar

NAMA KOMERSIAL: Diana Rafar

TARIKH LAHIR: 9 Mei 1982

ASAL: Kampung Pandan, Kuala Lumpur

BINTANG: Taurus

HOBI: Mendengar muzik, memerap dalam bilik dan melakukan perawatan spa

DRAMA: Mencari Ibu (waktu itu usianya baru mencecah 5 tahun), Diari, Mimpi, Sempadan Kasih, Ezora

FILEM: Susuk

INFO

Pusat kecantikan D’Lugano

Idea menamakan perniagaan spanya sebagai D’Lugano terbit ketika mendapat cadangan daripada seorang pakar motivasi. Ia diambil bersempena dengan nama sebuah tasik di Switzerland yang sangat cantik dan tenang. Sebagai simbolik kepada hal itu, Diana menjelmakan ia kepada perniagaan yang diusahakannya kini.

Solekan: E’Sham (012-2869864)

Tajaan Busana: The Closet, No 76, Jalan Renang 13/26, Seksyen 13, 40100 Shah Alam (016-2269404) atau (03-55199989)

Berita Harian

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: