Saling Memuji, Tidak Janggal

21 Nov

Oleh TENGKU SUZANA RAJA HAMAT
suzana.rajahamat@kosmo.com.my

PADAHAL mereka tidak sebaya tetapi masuk ke dunia lakonan, drama TV khususnya, si jelitawan Siti Shahrizah Saifuddin dan jejaka tampan bergaya, Fahrin Ahmad ini sering digandingkan bersama.

Ternyata usia tidak menghalang dua nama yang sedang indah di bibir ramai untuk mencapai penghayatan maksimum ketika di lokasi penggambaran.

Siti Shahrizah yang akrab disapa Eja ini sudah menginjak usia 36 tahun manakala, Fahrin pula jejaka 29 tahun yang semakin menjadi rebutan, walaupun pernah dihangatkan dengan kontroversi ‘putus kasih’ bersama pengacara dan penyampai radio popular, Linda Onn.

“Sering juga saya ditawarkan untuk bergandingan dengan pelakon-pelakon baru, tapi entahlah, saya sedikit canggung tapi bukan kerana usia.

“Puas pihak penerbit pujuk, kata saya tak nampak tua atau tak jauh berbeza daripada segi fizikal dengan pelakon-pelakon baru itu. Tapi saya tolak juga sebab secara natural, rasanya saya tak mampu nak tenggelam dalam emosi lakonan jika digandingkan pelakon baru.”

“Dengan Fahrin lain, walaupun dia lebih muda daripada saya tapi kami boleh bergandingan,” kata Eja sambil memuji Encik Johan (watak lakonan Fahrin dalam Seputeh Kasih Ramadan) yang tersengih di sisinya.

Tambah Eja sedikit berseloroh: “Sepatutnya dia (Fahrin) hero saya dalam drama terbaru, Tasbih Cinta arahan Erma Fatima, tapi dia sibuk sangat, jadi terpaksa penerbit ambil pelakon lain.”

Memperihalkan topik yang sama, cepat-cepat pengacara program realiti Sehati Berdansa ini mengangguk mengiakan pendapat wanita yang dibahasakan sebagai Kak Eja ini secara spontan.


PADA usia 36 tahun, Eja masih sesuai membawakan watak perempuan muda.

“Bukan sebab pelakon baru tak boleh berlakon tapi rasa janggal tetap timbul. Macam saya yang selalu dipasangkan dengan pelakon-pelakon generasi terdahulu sikit, Umie Aida dan Eja contohnya, soal janggal tak wujud lagi.

“Jadi, bila digandingkan dengan pelakon generasi baru, bukan tak boleh buat. Boleh, cuma rasanya lain sikit. Tapi bila tengok mereka berlakon sesama mereka, nampak macam tak ada masalah pula,” jelas Fahrin yang kini popular dengan drama Fara di TV3.

Sebenarnya, persoalan usia dan siapa pasangan serasi bagi Eja dah Fahrin ini bukanlah tujuan asal fotografi bertempat di hotel Crowne Plaza Mutiara Kuala Lumpur ini diadakan.

Ini semua gara-gara idea kreatif daripada Bill Bora, pengatur acara yang sering terlibat dengan majlis-majlis glamor di sekitar KL. Lantaran Eja dan Fahrin ini menjadi pasangan pilihan ramai penerbit drama dan disukai ramai peminat, mereka digandingkan sekali lagi.

Jadi duta kek coklat

Kali ini, bukan menerusi drama, filem atau program TV tetapi menjadi duta kek coklat mewakili hotel Crowne Plaza Mutiara menjayakan Selebrity Cake Sales bagi mengutip dana untuk disumbangkan kepada projek kebajikan untuk kanak-kanak kurang bernasib baik anjuran Great Eastern.

Selain Fahrin dan Eja, seramai 28 selebriti lain seperti Erra Fazira dan suaminya, Engku Emran, sertai ramai lagi yang mewakili 14 buah hotel bertaraf lima bintang akan berkumpul di Great Eastern Mall, Jalan Ampang bagi menjayakan jualan amal berkenaan. Acara ini akan berlangsung dari pukul 3 hingga 5 petang esok.

Nampak seperti manipulasi pihak korporat untuk menggunakan populariti para artis, tapi bagi Eja ini satu penghargaan buatnya.

“Mungkin ramai yang tak perasan, sebenarnya tak ramai masyarakat KL yang menonton dan pandai menilai kerja kami, kerja produksi drama Melayu. Apabila kami diundang sebegini, ini satu petanda bahawa hasil kerja kami selama ini memberi impak walaupun ia berlaku secara tidak langsung.


ASYIK bergurau, tak ada yang marah ke Fahrin dan Eja?

“Saya juga anggap penglibatan sebegini bukan semata-mata atas dasar publisiti tetapi sumbangan kami sendiri terhadap insan yang kurang bernasib baik.

“Walaupun bukan secara material tapi sebagai artis, inilah sumbangan yang mampu kami lakukan,” katanya yang pernah sama-sama menjayakan kutipan dana RM1 juta untuk membantu anak-anak yatim Sabah menerusi Mount Kinabalu Charity Club 2008, Mei lalu.

Menyeru para peminat agar datang memeriahkan acara jualan kek coklat berkenaan, Fahrin pula tidak sabar untuk menjual sebanyak mungkin kek coklat yang diberi nama Innovation of Chocolates dari hotel yang diwakilinya.

“Saya fikir ini satu aktiviti positif, apabila kami dipanggil sebagai duta untuk mempromosikan apa juga acara, contohnya kebajikan seperti ini menunjukkan kami bukan setakat selebriti atau pelakon semata-mata. Kami juga ada tanggungjawab sosial,”kata Fahrin.

Penggambaran di Mekah

Seronok bersembang sambil menikmati keenakan kek coklat yang dihidangkan. Bicara kami terarah menyelinap kerja seni yang sedang dijalani Eja dan Fahrin.

Kata Eja, dia baru sahaja kembali dari Mekah, Madinah dan Taif kerana terlibat dengan drama bersiri Tasbih Cinta yang menjalani penggambaran selama 3 minggu di sana.

Disebabkan Fahrin tidak berpeluang beraksi bersamanya untuk drama berkenaan, Eja yang melakonkan watak Fatin menerusi Tasbih Cinta dipasangkan bersama pelakon yang tidak kurang hebatnya, Shahronizam Noor.

Selama penggambaran, bukan komitmen terhadap lakonan sahaja yang berjaya dilunaskan Eja, dia bahkan berpeluang menunaikan ibadah umrah yang menjadi sebahagian daripada agenda wajib umat Islam yang menjejakkan kaki di Bumi Ambiya.


FAHRIN, Eja dan Chef Raimi Ahmad (tengah) mewakili Hotel Crown Plaza Mutiara untuk menjayakan Selebrity Cake For Sale membantu si kecil yang bernasib malang.

“Itu kelebihan drama berkenaan, selaku pengarah dan penerbit Erma Fatima tidak pernah menyekat malah memberi kelonggaran kepada kami untuk mengerjakan ibadat umrah dan solat lima kali sehari. Saya sendiri sempat menunaikan umrah sebanyak tiga kali.

“Cuma saya kurang selesa dengan cuaca panas yang melebihi 40 darjah celcius. Selain itu makanan di sana juga agak kurang sesuai dengan selera Eja, tak tahan dengan makanan, berat badan turun 2 kilogram,” cerita Eja tentang pengalamannya.

Selain drama arahan Erma berkenaan, Eja kini terbabit dengan drama bersiri Spa Q yang kini masuk musim kedua.

Tanpa Eja dan Tasbih Cinta, rezeki Fahrin untuk berlakon di Tanah Suci tidak terhakis begitu sahaja. Sebaliknya, hero TV ini menerima lamaran pengarah yang sama untuk membintangi dan terlibat dengan penggambaran empat telemovie serentak juga di Tanah Suci, awal bulan lalu.

Telemovie berkenaan termasuklah Tetamu Allah yang menggandingkan Fahrin dengan Ziana Zain, Nur Kasih Di Jabar Rahmah (juga dengan Ziana Zain), Qasidah Buat Laila (Fifi) dan Kau Mencipta Lalu (Norish Karman).


KERJA sosial begini beri kepuasan buat Fahrin sebagai sumbangan buat masyarakat.

“Sebagai pelakon saya anggap jadual penggambaran sebegitu sebagai cabaran. Hampir tiga minggu juga saya ke sana kemudian bergegas kembali ke KL kerana komitmen lain.

“Bayangkan, 11 jam dalam penerbangan, tiba di lapangan terbang terus bergegas ke Astro untuk program Sehati Berdansa, penatnya buka main, tapi dah jadualnya begitu,” ucap Fahrin yang kini hangat digosipkan bercinta dengan pendatang baru, Scha.

Kosmo

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: