‘Bukan Komedi Dibuat-Buat’

19 Nov

Oleh Wan Asrudi Wan Hasan
wanasr@hmetro.com.my

Rap
PENGARAH dan pelakon versatil, Afdlin Shauki memang gemar mencuba sesuatu yang baru dalam setiap karyanya. Beberapa filem yang dihasilkannya seperti Baik Punya Cilok, Buli, Buli Balik dan Sumolah ternyata mendapat maklum balas positif.

Terbaru, Afdlin mempertaruhkan filem komedi penyiasatan, Los dan Faun yang dibintangi pelakon terkenal tanah air seperti Erra Fazira, Adlin Aman Ramlie, Hans Isaac, Ida Nerina, AC Mizal, Khir Rahman dan Stephen Rahman Huges.

Dek kesibukan berlakon dan mengarah menyebabkan filem berkenaan yang sudah hampir dua tahun tamat penggambaran baru dapat ditayangkan bulan depan.

Filem terbitan syarikatnya, Vision Works Sdn Bhd dan edaran Metrowealth International Group (MIG) itu bakal ditayangkan di 53 pawagam seluruh negara bermula 4 Disember.

Ketika ditemui pada majlis prebiu tayangan filem itu di Cathay Cineleisure, Mutiara Damansara, baru-baru ini, Afdlin berkata, walaupun tempoh penggambaran filem berkenaan berjaya disiapkan seperti dijadualkan namun masalah ketika proses post produksi disebabkan beberapa faktor sehingga filem berkenaan melalui tempoh yang panjang sebelum ditayangkan.

“Ada beberapa faktor yang tidak dapat dielakkan ketika proses penyuntingan. Jika diikutkan penggambaran selama sebulan itu tamat mengikut jadual. Pada masa yang sama pula saya menyiapkan filem Sumolah. Jadi saya menumpukan satu projek terlebih dulu sebelum beralih ke projek lain.

“Idea menghasilkan filem ini pula terhasil apabila memikirkan untuk menghasilkan sesuatu yang lain daripada filem saya sebelum ini. Jadi dengan karakter yang pelbagai dan mempunyai kekuatan masing-masing saya mahu menghasilkan satu filem yang menarik.

“Walaupun ada karakter yang hanya terbabit dalam beberapa babak namun saya tidak mahu penonton menganggap pelakon itu watak tempelan saja. Pada saya setiap karakter mempunyai tarikan dan kekuatan masing-masing. Unsur komedi dalam filem ini pula membabitkan komedi situasi supaya ia kelihatan semula jadi dan tanpa dibuat-buat.

“Ini adalah langkah pertama saya mendedahkan filem dengan genre penyiasatan berbentuk komedi seperti siri popular di luar negara, Monk. Secara tidak langsung saya mahu membuktikan kepada karyawan seni filem Melayu juga mempunyai pelbagai genre hiburan,” katanya.

Afdlin menjayakan watak Tuan Soffaruddin memaklumkan projek berkenaan yang dijalankan selepas mendapat pinjaman daripada Bank SME berjaya dilaksanakan dengan kerjasama banyak pihak.

“Kalau diikutkan hampir semua pelakon dalam filem ini pernah berkerja sama dengan saya. Di sebalik menumpukan aspek pengarah saya juga memikirkan peranan kecil untuk menjayakan filem ini. Disebabkan itu saya tampil dengan watak Tuan Soffaruddin.

“Begitu juga penampilan khas, Stephen (Rahman Huges) sebagai Dick Johnson. Sebelum ini, saya memang mengagumi bakatnya ketika menjayakan pementasan Puteri Gunung Ledang lalu. Penampilan Stephen dalam layar perak adalah untuk memperkenalkannya kepada penonton tempatan dari sudut yang berbeza,” katanya.

Biarpun belum pasti penilaian penonton terhadap filem itu, Afdlin memaklumkan akan menghasilkan sekuel filem berkenan bergantung pada sambutan apabila ditayangkan kelak. Malah siri televisyen dijangka disiarkan pada pertengahan tahun depan di TV3.

Teraju utama filem itu, Adlin Aman Ramlie, berkata kombinasi bersama Hans Isaac dalam filem itu memainkan peranan yang tersendiri.

“Sebelum ini, saya memang tidak mempunyai pengalaman bekerja dengan Hans. Namun, saya percaya dengan penilaian dan arahan pengarah (Afdlin). Gandingan kami ternyata mempunyai kekuatan tersendiri.

“Melakonkan aksi komedi pada saya tidak perlu terlalu memaksa atau dibuat-buat. Saya percaya kepada skrip yang filem berkenaan yang cukup kuat dan mudah untuk difahami,” katanya.

Bagi pengarah terkenal, Aziz M Osman pula, filem berkenaan memainkan pendekatan yang berbeza. Walaupun menampilkan konsep yang seakan-akan siri filem Eropah namun ia ternyata mengekalkan identiti ketimuran masyarakat kita.

Filem ini mengisahkan dua budak kampung yang berasal dari Melaka yang mencari pekerjaan di ibu kota, Carlos Rodrigo Gunting atau Los (Hans) dan Ahmad Faun atau Faun (Adlin). Pelbagai kerja cuba dilakukan dua sahabat karib berkenaan namun kejujuran Faun selalunya membuatkan mereka dipecat.

Semuanya berubah apabila Faun membantu tuan kedai yang baru memecat mereka apabila dia kehilangan dompet. Kemahiran luar biasa Faun membolehkan mereka membuka suatu perniagaan baru iaitu agensi mencari barang hilang.

Perniagaan mereka bertambah maju. Sehingga pada suatu hari mereka didatangi seorang Datin yang mahu menjejaki jam tangan bernilai RM40 juta milik suaminya, Tuan Soffaruddin yang hilang selepas meninggal dunia. Dalam misi Los dan Faun menyelesaikan kes itu pelbagai persoalan timbul membabitkan penyelewengan dan konspirasi kehilangan jam berkenaan.

Harian Metro

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: