Sepatutnya Jadi Penyanyi

14 Nov

Oleh FAIZAL SAHARUNI
mfaizal@kosmo.com.my


“FATEEN sememangnya gemar memakai gaun cantik dalam kehidupan sehariannya.”

NIAT di hati pendatang baru dalam bidang seni ini ingin menjadi seorang penyanyi, namun impian yang dicita berputar ligat menjadi sebaliknya.

Gara-gara menghadapi beberapa masalah yang tidak dapat dielakkan untuk melantun vokalnya kepada khalayak, Puteri Fateen Nasuha Shamsuddin atau Puteri Fateen akhirnya tekad mengambil keputusan bagi menjadi seorang pelakon.

Justeru kerana itu, dirinya berada di sini, dalam lapangan seni lakon bagi mengasah bakat lakonan yang dimiliki untuk dikongsi bersama peminat di kaca TV dan layar lebar.

“Sekarang saya merupakan pelakon sepenuh masa, namun tidak dinafikan minat nyanyian memang melebihi daripada segala-galanya.

“Sepatutnya saya pada awal-awal dulu menjadi seorang penyanyi, namun ada beberapa perkara terhalang, lantas membuatkan saya teruskan untuk bergelar pelakon.

“Sebelum ini saya pernah ditawarkan memasuki sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dalam kursus perfileman.

“Agak mendukacitakan apabila waktu itu saya baru sahaja menerima kontrak dan tugasan dengan sebuah produksi.

“Ditambah dengan beberapa komitmen lain yang tidak dapat dielakkan, maka saya menolak tawaran sambung belajar itu,” tutur Puteri Fateen enggan mengulas lanjut tentang masalah yang dialaminya hingga mematahkan seketika impian bergelar penyanyi.

Tuah manusia sukar terlihat pada dasarnya. Walaupun masih belum berjaya menjadi seorang penyanyi, namun remaja berusia 18 tahun ini kini semakin laris dalam pasaran lakonan.

Selepas menerima peranan utama dalam siri Raksasa sebelum ini, kini Puteri Fateen diamanahkan satu lagi watak penting dalam drama bersiri, Puteri Salju.

Bukan calang-calang karakter yang dipegang remaja comel ini, sebaliknya Puteri Fateen menerajui karakter Puteri Nor Puteh, yang persis watak utama dalam karya dongeng terkenal, Snow White.

Siapa sahaja yang tidak memikirkan ataupun mengingini watak kisah dongengan kanak-kanak terkenal itu, yang diibaratkan sebagai puteri jelita yang dicemburui ramai pihak.

Menurut bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Kosas, Ampang ini, ibu tercinta iaitu Martini Gimin, 50, beria-ria mahukan dia menjalani uji bakat yang untuk drama bersiri itu.

“Alhamdulillah, saya tersenarai menyertai produksi Orangetree Communications Sdn. Bhd. ini sekali gus berhasil pegang watak utama,” jawabnya ringkas yang masih malu-malu berbicara dengan orang sekeliling terutama pihak media.

Tidak lekang menguntum senyuman manis, Puteri Fateen menjelaskan relevan drama Puteri Salju ini yang berkaitan dengan empunya diri.

“Saya tahu tidak cukup tinggi untuk menerima watak Snow White, namun saya diberitahu bahawa produksi menyukai cara pemakaian saya.

“Tidak dinafikan, saya adalah individu yang gemar memakai gaun yang bersesuaian dalam kehidupan seharian.

“Bukan itu saja, saya gemarkan pakaian yang cantik-cantik sejak kecil lagi. Jadi saya rasa ciri-ciri Snow White melekat sedikit dalam diri saya,” jelasnya tertawa kecil.


“FATEEN dan Fizo, pasangan bercinta terbaru di layar perak.”

Mungkin nama Puteri Fateen masih belum dikenali di lantai lakonan tempatan, malah wajah manis anak gadis ini masih belum sebati dengan khalayak di kaca TV dan layar lebar.

Menganggukkan kepala tanda setuju, Puteri Fateen mengakui dia diumpama sebagai individu yang baru hendak bertapak di dalam lapangan seni.

“Karier lakonan saya bermula sebagai pelakon tambahan sejak berusia 13 tahun. Kini setelah tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), saya nekad untuk meneruskan komitmen sebagai pelakon.

“Sebelum ini saya pernah berlakon filem I Know What You Did Last Raya serta beberapa buah drama seperti Seputih Qaseh Ramadan dan Dendam.

“Selepas habis belajar, saya memang enggan menoleh ke belakang, pantas menggiatkan diri dalam bidang ini yang sememangnya begitu saya minati.

“Saya tidak kisah andai diberi karakter tambahan, asalkan saya dapat memperbaiki mutu lakonan dan menambah pengalaman yang ada, saya akan terima dengan hati cukup gembira,” luah anak kedua daripada empat beradik ini.

Pada usia cukup mentah, ditambah rupa keanak-anakkan, barangkali menyukarkan Puteri Fateen untuk melunaskan babak bercinta.

Bukan sembarangan, adegan percintaan biasanya perlu melafaz bait-bait puitis dengan pasangan lelaki yang digandingkan.

Perkara itu bagaimanapun mengundang sedikit keresahan serta masalah kepada Puteri Fateen yang turut ‘disatukan’ dengan pelakon lelaki baru, Fizo Omar.

“Memang susah untuk bawa babak bercinta. Bukan sukar secara keseluruhan, sebaliknya ada beberapa waktunya saya sedikit janggal dan tidak terbiasa.

“Sebelum ini watak saya dalam Raksasa memang mencabar, namun untuk menyempurnakan adegan romantik dengan Fizo, adakala saya kelihatan malu dan nampak tidak semula jadi.

“Syukur sangat kerana dengan bantuan pelbagai pihak terutama rakan pelakon lain dan pengarah berjaya akhirnya membuang segala rasa yang ditakuti dalam diri,” jelasnya.

Dalam pada itu, pengarah Puteri Salju, Hitler Zami mengakui drama ini memang dicedok sedikit daripada naskhah Inggeris terkenal, Show White yang pernah menemui audiens seluruh negara sebelum ini.

“Saya bukannya meniru bulat-bulat daripada karya asal Snow White, sebaliknya saya mengadunkan gaya penceritaan menerusi budaya ketimuran.

“Boleh dikatakan ada persamaan serba-sedikit, tetapi olahan cerita memang laksanakan dalam skop yang berbeza.

“Menariknya, saya menampilkan karakter tujuh orang wanita kerdil daripada Kelab Orang-Orang Kerdil Malaysia dengan memakai tudung. Itu pembaharuan paling jelas serta ketara.

“Selain itu, watak Snow White yang diubah menjadi Puteri Nor Puteh juga menampilkan kelainan agar penonton tidak terlalu dibayangi karakter Inggeris terkenal itu,” jelas Hitler.

Ditanya kesukaran ataupun cabaran yang dihadapi selama mengarahkan drama 20 siri ini dalam tempoh 42 hari penggambaran, beritahu Hitler, mengendalikan tujuh pelakon istimewa ini boleh adakalanya sukar, namun menyeronokkan.

“Biasalah mereka bukannya pelakon sebenar walaupun pernah membintangi filem Senario: Pemburu Emas Yamashita sebelum ini, tanpa ada dialog.

“Memang ada pelbagai ragam dan telatah. Ada ketika apabila saya kurang berpuas hati dengan dialog yang mereka ucapkan, mereka akan datang kepada saya sambil berjenaka.

“Daripada hendak menegur mutu lakonan mereka, terus saya bertukar okey setelah ditenangkan oleh ketujuh-tujuh mereka.

“Mereka juga datang dari negeri berlainan, maka dialek pun jadi campur-campur. Bagi mengelakkan sebarang masalah, saya berikan kebebasan mereka untuk lafazkan dialog dalam mengikut kemahuan mereka sendiri.

“Begitupun, pengalaman bekerjasama dengan tujuh wanita istimewa ini ditambah dengan komitmen yang diletakkan oleh barisan para pelakon lain, saya memang berpuas hati dengan Puteri Salju,” jawab Hitler tersenyum.

Penggambaran drama ini dibuat berlatar sekitar Kuala Lumpur dan Langat.

Snow White versi moden ini mengisahkan Puteri Nur Puteh seorang gadis yang jelita lahir di dalam keluarga kaya-raya.

Kejelitaannya bagaimanapun dicemburui ibu tirinya, Zarina. Angkara Zarina, Puteri diculik dan diracun, namun hayatnya masih panjang setelah diselamatkan tujuh wanita kerdil.

Selain Puteri Fateen, Fizo Omar dan penampilan istimewa tujuh wanita kerdil tersebut, Puteri Salju membariskan pelakon seperti Sabrina Ali, Sharifah Shahira, Heryanto Hassan, Abby Nadzri dan Jehan Miskin.

Bagi menyaksikan ceritera fantasi yang diadunkan melalui fizikal ketimuran, jangan lupa untuk menyaksikan drama bersiri, Puteri Salju yang telahpun ditayangkan di TV3 bermula 17 November lalu, pada setiap hari Isnin hingga Khamis, pukul 4.30 petang.

Kosmo

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: