Paparan Eksklusif Aidilfitri

30 Sep

Oleh Zul Husni Abdul Hamid
zhusni@bharian.com.my

Nona terbitan TV3 mengimbau nostalgia Ziela Jalil terhadap arwah suaminya, Tan Sri Megat Junid Megat Ayob

BINGKISAN istimewa daripada Nona sempena sambutan Aidilfitri akan menyorot pelbagai episod suka, duka, gembira dan iltizam menjadi sajian yang tidak harus dilupakan penonton setia program terkenal siaran TV3 itu.

Mendekati nama terkenal dalam industri hiburan, Nona merakamkan pelbagai paparan eksklusif untuk dikongsi bersama penonton sempena Syawal nanti di samping mengimbau nostalgia yang mengusik perasaan pada hari mulia itu.

Bakal bersiaran pada 5 Syawal, jam 2 petang, Nona istimewa Aidilfitri antara lain mengungkap kehidupan terkini Ziela Jalil bersama dua cahaya matanya selepas suami tercinta, Tan Sri Megat Junid Megat Ayob menyahut panggilan Ilahi.

Penerbit Nona, Syarida Sharif mengakui, penerbitan sempena hari raya memberikan sedikit cabaran apatah lagi terpaksa bersaing dengan program istimewa Syawal yang lain.

Bagaimanapun, katanya, membezakan Nona dan program hiburan paparan yang dipersembahkan dalam bentuk majalah digarap bersama skrip melodramatik untuk memberikan kesan kepada penonton.

“Menemui penonton selepas lima hari raya, kami berdepan dengan cabaran untuk mendapatkan rating yang baik. Harus diakui ketika itu, jumlah tonton agak mendatar kerana penonton masih sibuk dengan aktiviti menziarah dan riadah lain.

“Jadi dengan menerapkan kisah menarik selebriti, secara tidak langsung membantu memberi elemen tarikan kepada Nona,” katanya ketika ditemui pada sesi rakaman Rumah Terbuka Nona dan Wanita Hari Ini di Restoran Seri Melayu, Jalan Conlay, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Tidak mahu penonton diheret dengan kesyahduan pada hari kemenangan umat Islam selepas sebulan berpuasa, Nona turut menjejak perjalanan hidup Norayu Damit atau Ayu selepas menjuarai program realiti, One In A Million musim kedua.

Selepas memenangi wang RM1 juta yang ditawarkan pertandingan itu, Ayu merasai kelainan menyambut 1 Syawal dengan limpahan rezeki yang dinikmati sebagai anak seni.

“Nona mengupas perubahan yang dialami Ayu malah turut membawa penonton untuk berkongsi bagaimana gadis itu memanfaatkan wang yang dimenanginya.

“Kejayaan yang dilakar Ayu mampu menjadi contoh betapa dengan usaha serta kesungguhan segala halangan mampu diruntuhkan dan hari ini, Ayu semakin dikenali kerana bakat besar yang dimilikinya,” kata Syarida.

Akui Syarida, selepas 25 tahun bersiaran Nona juga melalui evolusi dan pendekatan terbaru program utama TV3 itu kini lebih realistik di samping mengupas pelbagai isu berkaitan wanita.

Topik yang pernah dibincangkan diberi nafas baru dengan kupasan yang kontemporari dan bersesuaian cita rasa penonton semasa, malah krew Nona juga sentiasa kreatif memberikan idea untuk menambahkan warna berbeza kepada program popular itu.

“Tidak dinafikan suatu ketika dulu populariti Nona bergantung kepada pengacaranya terutama ketika dikendalikan Puan Sri Normala Samsudin.

“Bagaimanapun, perlahan-lahan kecenderungan penonton sudah berubah dan apa yang dapat saya katakan, mereka kini lebih menilai kepada pengisian topik serta isu yang digarap.

“Menampilkan Fizza sebagai perantara turut memberikan ruang kepada Nona untuk berkembang dan terus diminati. Ini terbukti dengan peningkatan rating Nona malah kami yakin Fiza mampu menjadi pelapis yang bakal menyerikan dunia pengacaraan,” katanya.

Mempunyai jumlah penonton sekitar 1.3 juta setiap kali bersiaran, Syarida berkata, dia kagum dengan keupayaan Fizza yang berbakat besar dan sentiasa memberikan kerjasama yang terbaik ketika penggambaran.

“Mudah bekerjasama dengan Fizza kerana dia cepat belajar dan pantas memahami apa yang dikehendaki,” katanya.

Juga dipaparkan pada episod istimewa itu kesibukan legenda rock negara, Amy Search yang menyambut Aidilfitri di restoran yang diusahakannya di samping menyempurnakan persiapan pernikahan anak gadisnya, Nabila Huda.

Istimewa Nona apabila membawa penonton mengimbas nostalgia silam bersama bintang veteran ketika menyambut Aidilfitri di Jalan Ampas, Singapura.

Segmen yang dijayakan seniwati 50-an seperti Zaiton, Mariani, Neng Yatimah dan Hashimah Yon disatukan di Pulau Pinang untuk berkongsi imbauan sambutan raya ketika era kegemilangan dunia perfileman Melayu.

Rakaman Rumah Terbuka Nona dan Wanita Hari Ini turut menyaksikan persembahan daripada Aizat, Suki, Erry Putra, Shahila dan Dafi diserikan dengan kehadiran Mila, Adam, Fizz Fairuz, Adi Putra serta artis veteran antaranya Datin Aspalela Abdullah dan Datin Orkid Abdullah.

Rumah Terbuka Nona dan Wanita Hari Ini dikendalikan Ruhil Syafinaz, Azzura, Azizah Ariffin, Ifa Raziah, Nadia Shahrul dan Fizza turut menyerahkan duit raya daripada Tabung Bersamamu serta hamper kepada Rumah Amal Limpahan Kasih, Kampung Aman, Puchong, Selangor.

Turut diraikan keluarga pelakon drama, Allahyarham Yazid Sobrani serta pelakon lagak aksi Jangan Pandang Belakang, Allahyarham Nazari Omar.

Berita Harian

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: