Emran, Erra Dan Orang Ketiga

28 Sep

Oleh WANDA IDRIS
Foto FATAH SULAIMAN

MENGENALI Erra Fazira yang aktif, tidak hairanlah andai suaminya, Engku Emran selalu bimbang dengan keadaan dirinya. Malah hampir setiap masa, Ketua Pegawai Operasi Suria FM itu akan selalu mengingatkan isterinya agar berhati-hati menjaga diri dan kandungan.

Sementelah sebelum ini isterinya pernah mengalami keguguran dan pasti sahaja, pengalaman itu menjadikan Emran begitu prihatin menjaga isteri kesayangannya.

Sedangkan Erra pula tidak boleh duduk diam dan cepat bosan seandainya tidak melakukan apa-apa kerja.

Apalagi sejak berbadan dua ini, dia tidak boleh lagi meneruskan aktiviti lasak seperti menunggang motosikal berkuasa besar mahupun menyelam skuba yang menjadi minatnya.

Jadi untuk menghabiskan masa-masa terluang seandainya tidak mempunyai jadual penggambaran (Erra kini berlakon drama bersiri Mertua Vs Menantu terbitan Metrowealth International Group (MIG) untuk Astro, Erra sibuk dengan perniagaan hamper rayanya.

“Saya jenis tak boleh duduk diam. Dapat buat hamper pun, jadilah,” katanya sambil ketawa.

“Memang saya tak ada morning sickness malah lagi aktif masa mengandung. Kalau ada masa terluang saja, mulalah berfikir nak buat apa.

“Tak boleh duduk diam langsung. Kalau penat pun, saya tidur barang sepicing dan bangun semula,” kata Erra yang kini mengandung 14 minggu.

Bersama beberapa rakannya, kata Erra, dia banyak menerima tempahan hamper raya namun hanya mengehadkan menerima sebanyak 100 tempahan sahaja.

“Selalunya saya ralit buat hamper sampai pukul dua tiga pagi barulah nak masuk tidur,” tambahnya bercerita. Dia yang pakar membuat biskut raya terutama cornflakes juga berhajat untuk menyediakan biskut raya sendiri biarpun tidak banyak seperti tahun-tahun sebelumnya. Malah merancang untuk menyediakan kek coklat seperti tahun-tahun lalu.

Selain aktif, Erra memberitahu bahawa dia juga kuat makan dan berat badannya kini telah bertambah empat kilogram sejak mengandung.

“Selalunya wanita mengandung pada tiga bulan pertama badannya tak naik. Saya pula lain. Nasib baik bulan puasa, tak adalah mulut ini nak mengunyah sahaja,” ujar Erra yang masih kelihatan langsing.

Biarpun begitu, dalam sibuk menyelesaikan tempahan hamper rayanya, Erra juga sebenarnya teruja dengan sambutan Syawal kali ini.

Masakan tidak, buat pertama kalinya, dia akan pulang berhari raya ke kampung ibu mertuanya di Pulau Pinang.

Akan bercuti selama empat hari di sana, Erra memberitahu, ini julung kalinya dia bakal mengharungi suasana balik beraya di kampung.

“Selalunya bukan tak balik kampung tapi kampung saya di Sungai Choh, Rawang itu perjalanannya hanya 45 minit dari Kuala Lumpur.

“Jadi tak terasa sakan nak balik kampung. Tapi kali ini, saya tak boleh fikir nak berkemas pakaian macam mana,” katanya sambil tersenyum.

Memberitahu sudah menyediakan beberapa helai pakaian untuk sambutan Lebaran ini, Erra memberitahu kali ini dia lebih gemar mengenakan baju kurung kerana selesa dipakai waktu mengandung.

Selain pulang ke kampung, Erra juga akan ke Singapura menjayakan satu program kebajikan di sana pada pertengahan bulan ini.

Dijangka melahirkan bayi sulungnya pada Mac depan, Erra juga memberitahu, selesai bercuti raya, dia akan kembali aktif menjalani penggambaran.

Masih ada satu telefilem dan drama bersiri yang harus dilunaskannya sebelum kontraknya sebagai artis residen Astro tamat pada April depan.

Malah jika tiada aral melintang, kata Erra, dia berkemungkinan akan menjalani proses pembikinan album terbarunya. Bagaimanapun semua itu semua bergantung kepada tahap kesihatan dirinya.

Merancang untuk bersalin di pusat perubatan berdekatan kediamannya di Damansara namun kata Erra, Emran pula mahukan dia bersalin di sebuah hospital swasta pilihannya.

“Dia ada doktor yang dia suka dan saya tak kisah di mana-mana pun. Lagipun masih terlalu awal untuk dibincangkan.

“Apa yang pasti, niat saya nak kejutkan dia dengan berita kehamilan ini tak menjadi kerana terjumpa kit ujian kehamilan di rumah ketika saya bercuti bersama staf di Tioman,” kata Erra yang disahkan mengandung pada Julai lalu.

Utusan Malaysia

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: