Cara Dafi, Adi & Aizat Sambut Raya

28 Sep

Oleh NIEZAM ABDULLAH
Foto FATAH SULAIMAN

KALAU artis-artis remaja berkumpul kerjanya mesti gelak ketawa dan saling usik mengusik di antara satu sama lain. Begitulah riuh rendah jadinya apabila Dafi, Aizat dan penyanyi utama 6ixth Sense iaitu Adi bertemu dalam sesi fotografi dengan Pancaindera kali ini.

Apabila Dafi bergambar, mulalah Aizat mengusik gaya penyanyi itu memberikan pose. Begitulah sebaliknya ketika Aizat berada di hadapan kamera.

Cuma Adi agak pendiam mungkin kerana dia jarang bertemu dengan dua bintang Akademi Fantasia itu. Walaupun begitu apabila bercerita mengenai sambutan Ramadan yang sudah 28 hari berlalu dan Syawal yang beberapa hari saja bakal menjelma, ketiga-tiga mereka mempunyai cerita menarik.

Kata Dafi (Gadaffi Ismail Sabri), tahun ini cukup meriah kerana rezekinya juga terbuka luas. Dan yang paling penting hajatnya untuk membayar zakat menggunakan wang sendiri tercapai.

Begitu juga Aizat (Muhammad Aizat Amdan) yang memang berpuas hati apabila single Hanya Kau Yang Mampu terus meletup di pasaran.

“Saya akan buat rumah terbuka menggunakan wang saya,” kata Aizat.

Tetapi yang sedihnya Adi (Adi Priyo Sambodo). Ketika orang lain bercerita mengenai berita yang indah-indah, dia menyampuk dan memberitahu kesedihannya beraya di perantauan.

“Tahun ni saya tak dapat balik Indonesia. Cuma tumpang beraya di rumah pemain drum kumpulan saya iatu Wan di Perak,” katanya.

Mari kita baca bagaimana mereka menyambut Aidilfitri pada tahun ini.

– Adi teringat kampung halaman
Sudah tiga tahun berada di Malaysia, pada tahun ini kali pertama Adi,24, menyambut Syawal dan berpuasa di tempat orang. Kalau sebelum ini dia sempat pulang beraya dan berpuasa di kampung halamannya di Jember, Jawa Timur, Indonesia tetapi tahun ini nampaknya dia terpaksa menumang kasih di rumah orang.

Kata Adi dia akan pulang ke rumah pemain drum kumpulannya iaitu Wan di Bota Kanan, Perak selama seminggu. Sebenarnya Adi dan Wan berkawan baik malah keluarga Wan sudah menganggap Adi macam anak mereka sendiri.

Bila takbir bergema, tak mustahil dia akan teringatkan keluarganya di kampung tetapi apa nak buat, Adi tak dapat balik kerana terikat dengan komitmennya di Kuala Lumpur.

“Hari Raya ni saya ada banyak show jadi tak boleh nak balik. Memang rindu juga suasana di Indonesia kerana lepas saja sembahyang, saya dan kawan-kawan akan berkumpul sebelum bergerak ke rumah jiran,” katanya.

Tapi Adi berasa bangga kerana dia mendapat layanan yang baik daripada keluarga angkatnya dan dapat merasai pengalaman orang Malaysia beraya.

– Aizat raya besar-besaran
Kata penyanyi comel berusia 19 tahun ini nampaknya dia ada peruntukan besar untuk menyambut lebaran. Selain menempah kad raya sendiri, dia juga sanggup bersusah payah membeli kuih raya untuk diberikan kepada kawan-kawan dan wartawan.

Semua itu adalah hasil wang daripada kejayaan lagunya itu. Lebih bermakna pada tahun ini Aizat berhasrat untuk melakukan majlis rumah terbuka yang akan diadakan di sebuah dewan.

“Jangan tak percaya majlis itu nanti saya akan buat besar-besaran dan meriah. Saya nak panggil kawan-kawan, peminat dan wartawan meraikan rumah terbuka saya nanti yang menggunakan duit saya sendiri,” kata Aizat.

Yang lebih bermakna pada tahun ni Aizat boleh beli banyak pakaian dan baju raya selepas berat badannya turun. Kalau sebelum ini susah nak dapatkan saiz yang sesuai tapi kali ini tak ada masalah lagi untuk dia mencari seluar bersaiz 34 inci.

“Dulu pinggang saya 44 inci tapi sekarang dah semakin kecil. Banyak pakaian yang saya boleh pakai,” katanya.

– Dafi anggap rezeki murah
Apabila mencecah usia 20 tahun pada tahun ini, sesuatu yang paling istimewa buat Dafi kerana pertama kalinya dia dapat membayar zakat. Kalau sebelum ini wang zakat dibayar oleh bapanya kerana dia masih tanggungan keluarga tetapi selepas bergelar artis, Dafi menggunakan wangnya bagi tujuan itu.

“Best sangat bila kita dapat guna duit kita nak bayar zakat dan beli macam-macam keperluan. Sebelum ini memang harap duit orang tua kita saja,” kata Dafi.

Raya tahun ini dia menganggap rezekinya begitu murah kerana mendapat banyak peluang berlakon iklan dan filem.

Dan pada tahun ini ayahnya yang juga Menteri Belia dan Sukan sudah mengambil cuti selama dua minggu untuk membolehkan mereka sekeluarga bergembira menyambut lebaran.

“Pada Hari Raya nanti ayah akan buat sedekah di kampung di Temerloh. Mungkin kami akan tumbangkan seekor lembu untuk buat kenduri,” kata Dafi.

Utusan Malaysia

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: