Izreen Tagih Watak Mencabar

22 Sep

Oleh Elrafaei Sapi
ahmadelrafaei@hmetro.com.my

Rap

BERBANDING lelaki, wanita biasanya lebih mudah menarik perhatian khalayak. Mungkin kerana wajah cantik dan susuk tubuh menawan, wanita yang menceburi bidang lakonan cepat mendapat banyak tawaran berlakon.

Namun, tidak seharusnya menyalahkan wanita cantik yang menjadi pelakon kerana kehendak penonton mahukan suatu yang cantik dan menarik untuk ditonton. Bagi pelakon baru Izreen Azminda, mengakui kecantikan aset penting tampil di TV mahupun layar perak tetapi apa yang sepatutnya dititikberatkan, bakat dan minat mendalam.

Sejak dua tahun membina karier sebagai pelakon, Izreen mula merasai impak glamor apatah lagi penampilan awalnya dalam lakonan turut dibantu pelakon popular seperti Rosyam Nor dan Aznil Nawawi. Menerusi drama bersiri, Sesuci Cinta Sofiya, Izreen meraih peluang berdampingan di sisi Rosyam sebagai pasangan kekasih manakala filem Otai, dia pula tampil menjadi pengacara bersama di samping Aznil.

“Seharusnya saya berterima kasih pada Rosyam kerana mula membuka peluang pada saya untuk pertama kali berlakon drama. Ketika mula berlakon dulu, perasaan saya bercampur gemuruh dan seronok.

“Saya sendiri tidak sangka ditawarkan watak bekas kekasih pada Rosyam dalam drama berkenaan apatah lagi saya hanya pelakon baru berbanding Rosyam yang menerajui watak utama. Namun, sepanjang berlakon bersama Rosyam, dia banyak memberi tunjuk ajar pada saya.

“Dalam pada itu, saya juga mahu menyatakan penghargaan pada pengarah Profesor Madya A Razak Mohaideen kerana membawa saya berlakon filem. Sejak berlakon dua filem bersama Razak dan drama Rosyam, rezeki saya dalam lakonan semakin bertambah.

“Alasan saya berlakon kerana minat mendalam walaupun saya bukan daripada keluarga seni. Boleh dikatakan minat lakon ini datang secara semula jadi dalam diri dan sejak kecil sememangnya saya suka tengok gaya pelakon dalam TV.

“Malah menerusi TV, saya belajar cara berlakon hingga di lokasi, saya mengambil peluang melihat lakonan orang lain sebagai satu proses pembelajaran.

“Sepanjang berlakon filem dan drama, banyak pengalaman baru yang ditimba dan saya juga rasa bertuah dengan peluang yang diperoleh,” katanya.

Pernah mengukir kejayaan selaku pemenang ketiga pertandingan Dewi Remaja 2005/2006, Izreen percaya peluang berlakon tetap ada jika seseorang itu menunjukkan minat dan berbakat besar. Bersandarkan pada faktor minat, Izreen sanggup meninggalkan kerjaya wartawan penyiaran TV3 yang ditimba selama setahun.

Izreen, 23, mahu memberi sepenuh tumpuan pada karier lakonan walaupun mempunyai kelulusan Diploma Kewartawanan Integratif dari Institut Media Integratif Malaysia (MIIM).

Akuinya, menjadi pelakon, Izreen mula mengenali kelebihan diri secara mendalam dan komitmen terhadap lakonan turut disokong keluarga dan rakan.

Mengenai lakonan, Izreen mempunyai tarikan tersendiri hingga setiap watak diterima menjurus pada watak negatif seperti Minah Rempit atau penggoda.

Katanya, dia tidak ambil kisah pandangan sinis penonton jika beranggapan pelakon sepertinya terlalu berani beraksi ‘panas’ dan liar.

Baginya, jika penonton memperkatakan lakonan yang dipersembahkan umpama realiti, itu satu kebanggaan yang menggambarkan dia berjaya membawakan watak berkenaan dengan berkesan.

“Saya sebenarnya gembira apabila membawakan watak sebegini. Mungkin juga kerana rupa atau karakter saya nampak sesuai dengan watak berkenaan lalu ia lebih mudah ditawarkan pada saya.

“Jika dalam drama Gerak Khas, saya membawakan watak Minat Rempit, menerusi drama Sedetik Aku Berpaling arahan Fauzi Nawawi, saya membawakan watak budak sekolah nakal.

“Sebagai pelakon baru, saya tidak mahu terlalu memilih watak. Walaupun ketika ini saya hanya tampil sebagai pelakon tambahan tetapi saya gembira apabila ada penonton yang mula kenal dengan lakonan saya.

“Bagaimanapun, saya mengharapkan suatu hari nanti saya berpeluang membawa watak berbeza lebih besar dan mencabar. Mungkin saya boleh mencuba watak gila memperlihatkan bakat lakon lebih berani.

“Saya teringin bawa watak lain supaya tidak dilabel stereotaip. Bahkan, watak berbeza dapat menguji kebolehan saya sebagai pelakon tetapi jika ada watak sama, saya tetap tidak menolak,” katanya.

Memiliki wajah iras pelakon Wilma, Izreen mengakui cabaran pelakon bertambah memandangkan ramai pelakon baru muncul di pasaran. Namun, Izreen menyahut cabaran berkenaan dengan semangat tinggi dan mahu beri terbaik dalam setiap watak dijayakan.

Terbuka dalam menerima kritikan penonton, Izreen tidak menolak jika peristiwa cinta lokasi terjadi padanya.

Katanya, dia percaya jika jodoh sampai tetapi berpandangan perjalanan hidup masih jauh untuk ditempuh dan mahu fokus kini tertumpu pada peningkatan karier seni.

Hingga kini, Izreen berpeluang berlakon di bawah pengarah Datuk Yusof Haslam menerusi Gerak Khas, Along Kamarudin (Atiqah Najwa 2), Feroz Khan (Dilema Wanita), Syamsul Yusof (Air Mata Maria), Adam Hamid (Bella) dan Fauzi Nawawi (Gila Auto Mania dan Sedetik Aku Berpaling).

Di samping itu, Izreen mengembangkan bakat dalam bidang pengacaraan apabila mengendali program Intrend di RTM. Soal pengacaraan, Izreen sekadar ingin mencuba dan mencari pengalaman baru.

>Profil

NAMA: Izreen Azminda Aznam.

TARIKH LAHIR: 30 Ogos 1985.

TEMPAT LAHIR: Kangar, Perlis.

DRAMA: CID 3278, Gerak Khas, Atiqah Najwa 2, Dilema Wanita, Air Mata Maria, Pasrah, Pria, Bella, Gila Auto Cinta, Apa Kata Cinta dan Sedetik Aku Berpaling.

FILEM: Nana Tanjung 2 dan Otai.

Harian Metro

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: