Usahawan Muda

19 Sep

Oleh Zaidi Mohamad
zaidim@bharian.com.my

Awal Ashaari, Dynas ambil berkat bulan Ramadan memulakan jualan pakaian di Damansara

MEREKA bukan bual kosong apabila bercakap mengenai mahu berniaga dan menyimpan hasrat untuk menjadi usahawan berjaya. Buktinya mulai awal Ramadan lalu, dua selebriti terkenal tanah air, Awal Ashaari dan Dynas memulakan bisnes menjual pakaian.

Begitu pun, bukan bermakna rezeki mereka dalam dunia seni semakin berkurangan, sebaliknya mereka lebih yakin berniaga dapat menjamin masa depan.

Sebelum butik sepenuhnya siap dijangka pada hujung Oktober atau awal November ini di Sri Hartamas, bekas pengacara Beat TV ini mengambil keberkatan bulan mulia ini untuk berniaga di bazar Ramadan, Cineleisure, Damansara dan bukannya di The Curve seperti yang dilaporkan dalam media sebelum ini.

Ketika Hip mengunjungi butik mereka, rakan artis Jehan Miskin dan Jaclyn Victor sudah pun berada di sana. Pandai Dynas dan Awal mempraktikkan teknik PR (perhubungan pelanggan), hinggakan kedua-duanya terpikat membeli pakaian yang dijual gara-gara celoteh mereka.

Kehadiran Hip pada petang itu turut menarik perhatian peminat mereka yang sambil mencuci mata, sempat juga mereka bergambar sebagai kenangan. Sebelum ini, ramai selebriti yang sempat menjejakkan kaki sambil membeli di gerai mereka seperti Julia Ziegler, Aleeza Kassim, Abby Abadi, Sherry Ibrahim, Jimmy Shanley dan Fadzlun.


AWAL dan Dynas bergaya dengan koleksi pakaian di butiknya.

Kalau yang berminat mengunjungi gerai milik Awal dan Dynas yang diberi nama D&A Celebrity Style, jemputlah singgah ke sana. Berbekalkan modal sebanyak RM25,000 dan sewa bulanan RM5,000, gerai D’Range yang diusahakan Dynas dan ibunya turut terletak bersebelahan dengan gerai mereka.

Jelas Awal, mereka berkongsi modal dan keuntungan sama rata. Bekalan baju kebanyakan diperoleh dari Bandung, Bangkok, Filipina, Terengganu dan Kuala Lumpur.

Kata Dynas, minatnya mula bercambah untuk bergelar usahawan sewaktu dia mendapat tajaan baju untuk sesi fotografi daripada Awal yang lebih dulu menceburi jualan pakaian secara online, Mannequeen. Lagipun Dynas memang suka berniaga mengikut resam keluarganya.

“Memang keluarga Dynas berorientasikan bisnes. Bayangkan sejak kecil, saya memang suka menjual. Sebagai contoh, kalau pergi ke pusat beli belah, saya sanggup meminta mama membelikan pensil di dalam kuantiti yang banyak supaya boleh dijual kepada kawan di sekolah.

“Ramadan kali ini memang saya banyak tolak tawaran berlakon sebab hendak memberi fokus kepada bazar Ramadan ini. Saya tolak empat undangan berlakon telefilem dan dua buah drama. Yang saya selesaikan cuma baki penggambaran drama Gerak Khas saja kerana ingin menamatkan watak Inspektor Julia.

“Dalam sibuk berniaga, saya tetap mengutamakan rumah tangga. Kalau sempat balik ke rumah, saya balik berbuka puasa dengan suami ataupun suami akan datang berbuka di sini (Cineleisure),” ungkap duta Safi dan Easy Pha-max ini.

Berkat liputan pihak media, gerai mereka kini semakin menjadi tumpuan ramai. Menurut Awal, sambutan hari demi hari semakin menggalakkan hingga mampu menampung separuh modal yang dikeluarkan. Memaksimumkan daya tarikan mereka sebagai selebriti, Awal dan Dynas juga bertindak sebagai penata dan pereka gaya. Kombinasi Dynas dan Awal dilihat menarik kerana mereka dilihat sebagai ikon yang hebat bergaya.

“Peminat meletakkan kepercayaan yang tinggi kepada selebriti kerana ada yang menganggap golongan seperti kami sebagai ikutan. Tak dinafikan golongan artis mempunyai kuasa mempengaruhi entiti gaya yang ingin diikuti ramai. Saya juga meminati gaya Dynas dan begitulah sebaliknya.

“Apabila kami berpeluang ke negara luar sama ada bercuti atau atas urusan kerja, kami tak lupa membeli koleksi yang menarik perhatian dan menjadi tren,” kata Awal yang bakal muncul dengan persembahan teater Impak Maksima The Musical yang turut dibintangi Dynas. Insya-Allah teater itu bakal dipentaskan di Istana Budaya mulai 11 November ini.

Bersederhana di Aidilfitri

BERSEMBANG mengenai Aidilfitri yang bakal menjelma, kata Dynas dia hanya akan memilih baju raya yang berkenan di hati di bazar untuk digayakan pada Hari Raya.

Keterujaan pastinya melingkari jiwanya, apatah lagi akan menyambut raya buat pertama kalinya dengan status isteri. Insya-Allah, selepas raya nanti, Dynas akan berlakon menjadi makhluk asing menerusi penerbitan Tayangan Unggul.

Mengenai anak, Dynas tidak pernah berhenti berusaha untuk mendapatkannya cuma belum ada rezeki. Kata Dynas, kalau dia mengandung pasti kecoh dan orang akan tahu juga di kemudian hari.

“Ikut perancangan, pada malam raya saya akan ke Shah Alam beraya dengan keluarga sendiri. Esoknya saya dan suami akan balik semula ke rumah sendiri di Hartamas dan apabila selesai beraya dengan pihak keluarga saya, kami akan konvoi beramai-ramai ke Bentong Pahang dan kemudian kembali ke Hulu Langat untuk beraya dengan keluarga mentua saya. Bab kuih raya, saya tunjuk saja yang berkenan dan bayar,” usik Dynas yang akan muncul dengan telefilem Di Bawah Ketiak Isteri pada hari raya ini dan selepas raya akan kembali menyambung penggambaran drama Di Bawah Ketiak Isteri musim kedua.

Ketika fotografi ini berlangsung, Awal masih sibuk menyudahkan baki penggambaran telefilem Impak Maksima Vs Rempit yang diarahkan Ahmad Idham dan Bob Ismail. Bulan puasa ini juga, Awal dan Dynas akan sibuk memulakan latihan untuk teater muzikal Impak Maksima.

Hasrat Awal untuk beraya di rumah semi D, tiga tingkat di Subang Jaya yang dibeli khas untuk ibu bapanya juga tidak kesampaian apabila ibu bapanya mahu terus tinggal di Kampung Baru. Kerana hal itu juga, Awal nekad menjual rumah barunya dan kepada sesiapa yang berminat boleh berurusan menerusi e-mel di awal.ashaari@gmail.com.

“Untuk mengubati hati, saya kena akur dan memperbaiki apa yang patut rumah di Kampung Baru. Selepas raya nanti, saya akan mula menyambung penggambaran drama kerjasama Filipina dan Malaysia berjudul A Time For Us.

”Saya akan kembali mengacarakan program Sehati Berdansa bagi empat pecahan program iaitu Di Sebalik Sehati Berdansa, Kenali Sehati Berdansa, Tirai Sehati Berdansa dan Imbasan Sehati Berdansa mulai Oktober ini. Hos utama program ini masih menggunakan khidmat pengacara tahun lalu iaitu Linda Onn dan Fahrin Ahmad.

“Selain itu, saya juga akan kembali mengacarakan program One In A Million musim ketiga bersama Marion Counters tidak lama lagi,” ungkap Awal yang kontraknya sebagai duta Dot Red Com (bagi pusat karaoke Red Box) di sambung lagi setahun.

Profil Awal

NAMA: Ahmad Awaluddin Ashaari

PANGGILAN: Awal

TARIKH LAHIR: 6 Ogos 1981

USIA: 26 tahun

KERJAYA: Pelakon, pengacara & model

PENDIDIKAN: Sarjana Muda Filem dan Televisyen, Universiti Lim KokWing dan Curtin University serta Diploma Media dan Komunikasi dari Universiti Teknologi Mara (UiTM).

PENGALAMAN: Hos Beat TV, Teh Tarik & Cabaran Tariking F&N 2006, Sensasi, One In A Million, Sehati Berdansa dan W

FILEM: Diva, Diva Popular, Impak Maksima, Malaikat Maut, Apa Kata Hati, I’m Not Single dan Syurga Cinta.

DRAMA: Cinta Medik, Impak Maksima The Series & A Time For Us (usaha sama Malaysia – Filipina)

Profil Dynas

NAMA PENUH: Wan Intan Edrinas Wan Mokhtar

TARIKH LAHIR: 8 Mac 1983

ASAL: Petaling Jaya, Selangor

PENDIDIKAN: Diploma Komunikasi Massa dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor

PENCAPAIAN: Pelakon TV Wanita Popular pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2007

SUAMI: Mohd Hafizy Hafiz, 37 (Kahwin pada pada 15 Mac 2008)

Drama: Di Bawah Ketiak Isteri, Ezora, Ai Di Beijing

Filem: Impak Maksima, Haru Biru, Kayangan, Apa Kata Hati

Berita Harian

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: