Diana Rus Mangsa Gosip

8 Sep

Oleh FERIDE HIKMET ATAK
feride.hikmet@kosmo.com.my


DULU baca gosip, sekarang digosip.

BARU sahaja melangkah ke dalam industri hiburan, dia terus dihambat dengan kata-kata negatif. Kononnya, krew sebuah drama lakonannya semakin tidak gemar dengan sikapnya yang cuba tunjuk hebat dengan orang-orang di sekelilingnya ketika penggambaran.

Malah, dia dikatakan tergamak membetulkan lakonan pelakon-pelakon senior yang sememangnya sudah hebat dalam bab lakonan berbanding dengan dirinya yang baru setahun jagung dalam dunia lakonan.

Lucu tatkala membaca ruangan gosip mengenai diri sendiri. Namun bila difikirkan kembali, hati artis baru yang dimaksudkan, Rusdiana Rusdi atau Diana Rus terdetik untuk menegakkan kebenaran demi menyelamatkan kerjayanya yang baru bertatih itu.

Sebagai pendatang baru, Diana akur dan menerima setiap kritikan ataupun gosip yang dilemparkan, kerana tahu untuk menjadi seorang pelakon yang hebat dan dikenali, dia terpaksa menerima apa sahaja biarpun pahit.

“Sebenarnya ibu saya yang tahu dulu mengenai gosip itu lalu mengejutkan saya untuk membaca artikel itu dan saya agak terkejut sambil tertanya-tanya, siapa yang sanggup buat cerita macam itu?

“Bila saya risik, rupa-rupanya ada orang dalam yang bercakap fasal saya. Tak seronoklah bila keluar isu remeh-temeh sebegini.

“Setahu saya, sepanjang perjalanan penggambaran, saya tak pernah buat perangai besar kepala atau tunjuk hebat kepada pelakon-pelakon lain. Saya tahu batas saya sebagai seorang pelakon baru.

“Apalagi bila pertama kali saya dapat watak utama dalam drama bersiri Ampang Medikal, mesti saya meminta pandangan daripada pelakon-pelakon senior dan buat yang terbaik,” ujarnya.

Tambahnya, kini baru dia faham bagaimana perasaan menjadi seorang artis apabila difitnah tanpa hujung pangkal.

Apa yang Diana inginkan bukanlah gosip-gosip kosong semata-mata, sebaliknya produk lakonan yang ditunjukkan kepada umum.


NGASRIAL NGASRI

“Dulu, kalau saya membaca gosip-gosip artis, saya mempercayai cerita-cerita kosong itu dalam 80 peratus. Apabila terkena pada saya pula, pasti kebanyakan pembaca akan mempercayainya.

“Ini sekali gus dapat mencalarkan sedikit karier saya. Baru saya tahu apa rasanya bila ditohmah tanpa sebab.

“Ada beberapa pelakon senior tanya semula pada saya, macam mana boleh jadi begini? Walhal saya yang banyak minta ilmu daripada mereka,” tuturnya minta difahami.

Persis pelakon berpengalaman

Pasti ramai yang sudah pun menonton drama bersiri Ampang Medikal bukan? Melihatkan gaya lakonan Diana, dia persis seorang pelakon yang berpengalaman.

Dia berjaya menghidupkan karakter Dr. Siti, seorang wanita kampung yang baru mendapat kerja di Kuala Lumpur dan begitu komited dengan kerjanya kerana mahu membantu bapanya yang sakit.

Berbicara mengenai pengalamannya mendapat watak utama buat pertama kali, mimik wajah Diana menunjukkan betapa sukar untuk menggambarkan perasaannya waktu itu.

Perasaan seronok bercampur takut. Sangkanya, dia mungkin akan mendapat watak sampingan seperti drama-drama lakonannya sebelum ini.

“Bila saya diberi kepercayaan untuk melakonkan watak utama iaitu Dr. Siti, saya rasa seronok sangat. Tapi pada masa yang sama, saya takut dan risau kerana dikelilingi pelakon-pelakon terkenal seperti Azhar Sulaiman, Nur Aliah Lee, Julia Ziegler dan Ngasrizal Ngasri.


FADZLIE RAHIM

“Takut tak setanding dengan mereka pula. Maklumlah, sebelum ini saya sekadar memainkan peranan watak sambilan sahaja,” tuturnya dengan rasa rendah diri.

Biarpun dirinya sentiasa dilanda perasaan cemas, Diana berasa bertuah kerana mendapat bimbingan krew produksi serta barisan pelakon lain.

Pengalaman pelakon Ampang Medikal

Selain pengalaman pelakon utama Ampang Medikal, bagaimana pula pengalaman pelakon-pelakon yang turut membintangi drama bersiri yang disiarkan di setiap Khamis pukul 8.30 di ntv7 ini.

Bukan sahaja pelakon yang sudah dikenali seperti Ngasrizal Ngasri dan Julie Ziegler berhadapan dengan pengalaman baru berlakon sebagai doktor tetapi juga seorang lagi pendatang baru, Fadzlie Rahim.

Satu cabaran bagi si empunya nama Ngasrizal Ngasri bila lakonannya kali ini lebih kepada penghafalan bahasa terma-terma kedoktoran.

Bukan setakat itu saja, bahkan dia perlu mematangkan diri berbanding pelakon-pelakon lain.

“Susah juga nak bawakan watak sebegini. Dahlah saya pendek dan nampak kebudakan sedikit, kena pula bawa watak yang lebih matang berbanding pelakon lain.

“Lebih-lebih lagi pelbagai terma kedoktoran yang perlu dihafal. Terbelit juga lidah saya ni. Tapi walau apa pun, alhamdulillah semuanya berjalan seperti yang diinginkan pengarah,” ungkapnya.

Sepanjang penggambaran drama itu, pelbagai pengalaman yang terpaksa ditempuhinya. Apalagi bila menjadi seorang doktor, sudah pasti babak-babak pembedahan pasti diselitkan.


JULIA ZIEGLER

“Itu yang saya paling ngeri sekali kerana untuk pengetahuan umum, saya ni ‘alergi’ darah. Tapi bila kena melakonkan babak pembedahan, rasa lain macam sedikit. Selamatlah ia bukanlah darah sebenar.

“Tapi, paling menggelikan saya ialah apabila saya diperlukan membuat pembedahan prostat. Ish, sungguh menggelikan!” ujarnya dalam tawa.

Sementara itu, Julia Ziegler pula mempunyai sedikit masalah tatkala berada di hospital.

Dirinya dilanda fobia seketika dek kerana teringat kembali kemalangan yang berlaku kepadanya pada November 2006 dan terpaksa ‘meringkuk’ di hospital selama dua minggu akibat kecederaan yang agak parah.

“Masa awal-awal melangkah masuk ke hospital, ada satu perasaan fobia sikit. Tapi saya tekadkan semangat kerana lakonan adalah salah satu sumber rezeki saya.

“Takkan kerana fobia, saya terpaksa ketepikan rezeki saya? Apa pun, lama kelamaan, saya dah biasa. Perasan fobia pun berkurangan,” ujarnya yang membawakan watak seorang doktor yang bersuara lantang.

Bagi pendatang baru, Fadzlie Rahim yang membawakan watak Dr Jeffrey pula, dia menganggap drama ini sebuah lagi drama yang memberikan pengalaman untuk menjadi seorang pelakon yang hebat di masa akan datang nanti.

Membawakan watak seorang pakar pediatrik yang gemar bertukar-tukar teman wanita dan kemudian jatuh cinta dengan Dr. Siti.

Kata Fadzlie, Dr. Jeffrey merupakan seorang yang sangat profesional sewaktu bekerja, tetapi akan berubah menjadi seorang kaki perempuan di luar kawasan bekerja.

“Ampang Medikal adalah drama kedua saya selepas drama Kami. Agak mencabar, kerana ia membabitkan kerjaya profesional dan saya agak takut jika terma kedoktoran kami tersilap kata.

“Bagaimanapun, untuk menjiwai watak dan mahu selesakan perkataan terma-terma itu, saya sentiasa merujuk kepada sepupu saya yang juga merupakan seorang doktor,” katanya.

Kosmo

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: