Masalah Visa Bantut Hasrat Erma

5 Sep

Oleh Zul Husni Abdul Hamid
zhusni@bharian.com.my


BAGAI KELUARGA: Barisan pelakon yang menjayakan lapan drama yang diterbitkan syarikat produksi milik Erma Fatima.

Enam drama guna lokasi di Makkah tak siap

SAAT ini Allah sedang menguji kekuatannya namun anak seni bernama Erma Fatima ini masih mampu tersenyum. Masih upaya untuk bercanda sekali pun jauh di lubuk hatinya, tiada siapa yang mungkin memahami gelora yang sedang ditanggungnya ketika ini.

Enam daripada lapan drama arahannya masih tertangguh penggambaran apabila gagal memperoleh visa untuk melakukan penggambaran di Tanah Suci. Wang sudah banyak dilaburkan, malah keringat juga sudah tumpah membasahi tubuh sejak tiga bulan lalu namun Erma masih mampu bertenang.

Tiada riak sedih kala masalah itu dikongsi bersama media, sebaliknya kekentalan jiwa dan semangat wanita itu jelas terpancar menerusi bait perkataan yang dituturkan sepanjang sidang media berlangsung.

“Saat ini Allah sedang menguji kesabaran saya tetapi saya masih mampu tersenyum,” katanya ringkas, barangkali cuba mengusir resah di sebalik senyuman yang dihulurkan itu.

Perancangan awal Erma sebahagian daripada drama arahannya itu akan ditayangkan sepanjang Ramadan ini, namun hasratnya tidak kesampaian disebabkan masalah itu.

“Kami masih menunggu kelulusan visa untuk ke Makkah. Saya sudah berusaha dan selebihnya saya reda apa yang Allah berikan. Mungkin ini ujian yang diturunkan-Nya untuk saya.

“Andai rezeki tidak berpihak, saya terpaksa menangguhkan dulu penerbitan ini. Saya tidak akan lepaskan drama ini tanpa melakukan penggambaran beberapa babak di Makkah.

“Kami hanya mencuba nasib dan sekali pun sukar, kami masih terus berusaha untuk menjadikan penerbitan ini satu kenyataan,” katanya.

Akui Erma, sepanjang tiga bulan lalu dia menyerahkan seluruh jiwa dan tenaganya untuk menyempurnakan penggambaran drama berkenaan, begitu juga barisan pelakon yang memberikan sepenuh komitmen.


KEMBALI BERLAKON: Ziana turut beraksi dalam drama Nur Kasih di Jabal Rahmah dan Tetamu Allah.

Bagaimanapun, apabila perancangan ke Makkah tertangguh sebanyak tiga kali Erma tidak mempunyai pilihan kecuali melepaskan mereka untuk berlakon bersama produksi lain.

“Saya senang bekerja dengan pelakon seperti Fahrin Ahmad dan Ziana Zain, malah mereka juga memberikan komitmen yang baik.

“Fahrin umpamanya terpaksa menolak tawaran lain kerana terbabit dalam lima penerbitan di bawah arahan saya. Tetapi, apabila terjadi hal yang tidak dapat dielakkan seperti ini saya tidak boleh menghalang pelakon untuk bersama produksi lain kerana lakonan adalah periuk nasi mereka,” katanya.

Jelas Erma, segala kepayahan yang dilaluinya akan terbayar dan dugaan yang ditempuhinya ketika ini adalah ujian Allah untuk melihat sejauh mana dia kuat bertahan.

Katanya lagi, ia bukan dugaan pertama yang dilaluinya kerana pengalaman itu turut dilaluinya ketika penerbitan drama Mencari Nur Khadijah, tiga tahun lalu.

Kata Erma, dia tidak mengejar keuntungan apabila menerbitkan drama genre itu sebaliknya apa yang dilakukannya tidak lebih sebagai jihad untuk menyedarkan anak bangsa sendiri supaya tidak terus hanyut ditelan arus modenisasi.

Dia akur, anak seni juga berperanan untuk menyebarkan mesej dakwah dan itu juga yang cuba dilakukannya menerusi penerbitan lapan drama di bawah penerbitan Rumah Karya Citra (M) Sdn Bhd dan Teratak G2 Sdn Bhd.

Sebagai penerbit, Erma cuba menggalas tanggungjawab dengan mengangkat pelbagai masalah sosial yang berlaku di kalangan masyarakat hari ini dan menerusi medium seni dia berharap sumbangan kecilnya mampu mengubati ‘penyakit’ itu.

“Penyakit rohani semakin parah di kalangan masyarakat Melayu beragama Islam. Saya percaya medium seni juga mampu membantu untuk mengubati semua penyakit itu.

“Andai penerbit lain lebih selesa menumpukan kepada penerbitan berunsur komersial dan remaja, saya cuba mencari pembaharuan dengan membawakan drama kerohanian.

“Saya percaya orang seni juga mempunyai peranannya sendiri untuk membangunkan anak bangsa. Saya cuba mengambil peluang itu dengan menyampaikan dakwah menerusi cabang seni,” katanya.

Drama terbaru arahan Erma Fatima

Qasidah Buat Laila Pelakon: Fifi, Fahrin Ahmad, Adi Putra, Julia Ziegler, Datuk Rahim Razali, Datuk Aziz Singah, Azizah Mahzan dan Aida Razwill

SHAZRIN anak tunggal hartawan Tan Sri Jamaluddin menjadi kegilaan ramai gadis. Namun, cintanya tertumpu kepada Siti Nurlaila, gadis yang menitikberatkan mengenai agama dan adab Melayu. Shazrin sanggup melakukan apa saja untuk menambat hati Laila. Laila meletakkan pelbagai syarat membuatkan Shazrin nekad ke sebuah pondok untuk mendalami agama. Laila mensyaratkan naskhah al-Quran yang habis dibaca Shazrin sebagai mas kahwinnya.

Nur Kasih di Jabal Rahmah Pelakon: Ziana Zain, Fahrin Ahmad, Adi Putra, Khatijah Tan dan Man Bai

WANDA gadis Melayu yang semakin terhakis nilai kemelayuannya. Dia terlalu taksub dengan lelaki Inggeris hingga langsung tidak memandang lelaki Melayu. Wanda memenangi pakej umrah dan atas nasihat ibunya, dia ke Makkah dengan hati yang berat. Pelbagai kerenah memualkan cuba dilakukannya tetapi Wanda tetap dilayan baik oleh Ustaz Fikri. Lelaki itu banyak membantunya malah menunaikan hajat Wanda untuk ke Jabal Rahmah. Kesabaran dan keikhlasan Fikri menawan hati Wanda.

Jangan Pelakon: Umie Aida, Sazali Khan, Mohd Nasir Ali, Latif Borgiba dan Abu Bakar Kassim

MENGISAHKAN Siti yang berkahwin dengan lelaki Bangladesh, Rashid walaupun ditentang hebat oleh keluarganya. Disebabkan masalah permit, pelbagai kejadian berlaku hingga akhirnya Rashid ditangkap. Kediaman mereka pula menjadi abu apabila terbakar.

Khalifah Pelakon: Erma Fatima, Sharuddin Thamby, Ilyas Johari dan Nur Farina Nadia

KHALIFAH cuba mengupas dan mencari jalan bagi memperbaiki diri sendiri. Satu program santai yang membentuk kanak-kanak serta remaja sebagai generasi berwawasan yang berakhlak mulia dan beragama.

Tetamu Allah Pelakon: Ziana Zain, Mohd Bathich, Vanidah Imran, Fahrin Ahmad dan Khatijah Tan

SHERINA yang mengamalkan hidup bebas berkahwin dengan lelaki Inggeris. Mereka dikurniakan anak cacat. Sherian akhirnya mengerjakan umrah. Namun, di sana dia koma dan mengalami pelbagai peristiwa yang menginsafkannya. Perubahan Sherina bagaimanapun, kurang disenangi suaminya.

Andalusia Pelakon: Erma Fatima, Datuk Rahim Razali, Betty Rahmad, Rashidi Ishak dan Hamidah Wahab

ROSSA belum bertemu jodoh lalu temannya, Linda mencadangkan dia ke Jabal Rahmah untuk berdoa. Ketika sedang berdoa, dia dipertemukan dengan lelaki pertama yang dicintainya, Cikgu Nasir. Cinta mereka putus apabila dihalang oleh bapa Rossa hingga menyebabkan Nasir membawa diri.

Kau Mencipta Dosaku Pelakon: Norish Karman, Erma Fatima, Fahrin Ahmad dan Rebecca Nur Al Islam

SURIA Kasih tabah mengharungi kehidupan yang penuh duri. Kebahagiaan yang diidamkan hasil perkahwinan dengan Badri tidak berkunjung tiba. Dia bertemu Rudy, namun keindahan yang diharapkan juga hampa apabila lelaki itu sudah berumah tangga. Pada masa sama, Suria terpaksa menanggung penderitaan.

Tasbih Cinta Pelakon: Eja, Fahrin Ahmad, Datuk Rahim Razali, Aida Razwil dan Hamidah Wahab

PAK JIJI bermastautin di Makkah kerana membawa diri dan ingin melupakan kisah pedih hidupnya. Ketika menguruskan jemaah ke sana, dia bertemu Firdaus. Pertemuan itu membawa lembaran baru dalam hidup Pak Jiji. Kehadiran wanita tua yang buta juga membongkar kisah hidup Pak Jiji.

Berita Harian

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: