Tidur Baring Di Studio – Gara-Gara Cicakman

3 Sep

Oleh TENGKU SUZANA RAJA HAMAT
suzana.rajahamat@kosmo.com.my


SELURUHAN karyawan Cicakman 2 mengharapkan agar filem ini meraih lebih banyak kejayaan berbanding sebelumnya.

SEKUEL kedua filem superhero milik Malaysia, Cicakman 2 – Planet Hitam mungkin akan tercatat sebagai filem termahal yang pernah dibikin. Itupun jika kos keseluruhan termasuk kos untuk imej janaan komputer (CGI) yang dikerjakan sendiri oleh pengarahnya Yusry Abdul Halim diambil kira secara berasingan.

Dengan lebih 800 syot CGI yang boleh menelan kos ratusan ribu ringgit serta tiga pasang kostum baru untuk watak Cicakman dan Rrama yang mencecah puluhan ribu untuk setiap sepasang, kos pembikinan filem kedua Yusry ini cukup membuktikan keberanian KRU Studios dalam menaik-taraf idea superhero mereka menjadi legasi, sebagaimana hero-hero komik barat yang digilai sedunia.

“Kalau nak dikira semua kerja-kerja CGI dan komputer grafik yang digunakan untuk filem ini, kosnya akan menjadi satu angka yang tidak masuk akal.

“Tapi semuanya dibayar dengan titik peluh saya sendiri kerana kerja-kerja itu dibuat secara dalaman,” beritahu Yusry. Tidak hairan pengarah muda ini sanggup tidur baring di studio selama berbulan-bulan selama menyiap Cicakman 2 – Planet Hitam yang dijadualkan tayangan pada musim cuti sekolah, Disember ini.


YUSRY dan dua ‘wira’ ciptaannya di alam khayalan.

Menurut pengarah muda ini juga, jangka masa yang diambil untuk menyiapkan CGI sahaja mengambil tempoh yang panjang iaitu selama tujuh bulan.

“Saya berkurung dalam studio dan tak pedulikan dunia luar, sebenarnya filem ini baru siap, baru sebulan lepas ia siap sepenuhnya. Sekitar setahun lepas, fokus saya hanyalah untuk filem ini. Itu pengalaman yang benar-benar menguji ketekunan saya,” ujar Yusry yang kelihatan cengkung dan matanya sedikit lebam mungkin kerana kurang tidur demi menyiapkan bayi keduanya ini.

Walaupun sekuel pertama Cicakman berjaya mencapai kutipan RM6.7 juta dan meraih kutipan tertinggi bagi filem tempatan pada tahun 2006, itu bukan jaminan bagi KRU Studios untuk mengulangi sejarah yang sama hujung tahun 2008 nanti.

Mahu bercuti panjang dan membebaskan diri daripada tekanan kerja sepanjang Ramadan ini, kata Yusry, pihaknya hanya mampu mensasarkan jadual tayangan yang sesuai dan promosi yang menyeluruh tetapi kuasa beli terletak sepenuhnya di tangan peminat dan pencinta filem.

Alasan Yusry, keadaan ekonomi semasa yang tidak menentu khususnya akibat kenaikan harga minyak adalah faktor utama.

Ekoran kenaikan harga minyak juga, bukan filem tempatan sahaja yang harus berdepan risiko bahkan kutipan filem antarabangsa juga terjejas.

“Sudah tentu saya menaruh harapan untuk filem ini mencapai kutipan pecah panggung tetapi saya perlu berpijak di bumi nyata dan mengakui keadaan pasaran sekarang.

“Biarlah sasaran yang diletakkan logik dan tidak terlalu tinggi,” katanya ketika ditemui pada majlis pengumuman kerjasama antara KRU Studios dan Celcom (M) Bhd, baru-baru ini.

Kata pengarah muda itu lagi, filem yang menjalani penggambaran di Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Perak selama 35 hari akhir tahun lalu menjalani proses pasca produksi hampir setahun termasuk proses CGI.


PERTEMBUNGAN kuasa baik dan jahat akan melahirkan banyak konflik dalam Cicakman 2.

Keperluan dan kewajaran menggunakan CGI bukanlah semata kerana filem berkenaan sebuah filem superhero tetapi faktor geografi serta lokasi penggambaran yang digunakan tidak banyak membantu kehendak skrip.

Menurut Yusry lagi, filem pertama Cicakman lebih bersifat eksperimental dan banyak kekurangan. Hasil maklum balas yang diterima Cicakman 2 – Planet Hitam diharapkan dapat mengisi segala kekosongan yang ditinggalkan oleh Cicakman yang pertama.

Fokus dan perincian Cicakman 2 – Planet Hitam boleh dilihat menerusi kostum baru Cicakman dan watak-watak jahat seperti Rrama, banyak adegan aksi serta pertarungan dan pembaikan jalan cerita yang tidak terlalu bersifat komedi.

“Jangan anggap filem ini bukan lagi filem komedi cuma jalan ceritanya agak berat sedikit berbanding yang pertama kerana Cicakman kali ini mempunyai banyak konflik, tanggungjawab dan banyak musuh. Komedi tetap ada, inikan filem lakonan Saiful Apek,” kata Yusry sedikit bertegas.

Dari segi aksi lagak ngeri pula, ada yang dilakukan pelakon asal sendiri serta menggunakan khidmat pelagak ngeri dan membabitkan teknik CGI. Ada pelakon seperti Saiful Apek yang sanggup melakukan sendiri aksi ngeri, tetapi terpaksa ditolak kerana bimbang terjadi perkara yang tidak diingini.

Menyuntik elemen komersial dan menjadikan promosi filem ini lebih agresif, sepuluh lagu baru dicipta sebagai lagu tema dan dimuatkan dalam album runut bunyi Cicakman 2 – Planet Hitam antaranya Planet Hitam (Tyco), Dibius Cinta (Melly Goeslow dan Yusry KRU) serta Mau Yang Besar (Pianka).

Lagu Dibius Cinta menjadi lagu duet pertama Melly Goeslow bersama artis Malaysia. Kata Yusry, tidak sukar berkerjasama dengan Melly kerana penyanyi dari seberang itu begitu mudah menyatakan kesediaan memberikan komitmen.

“Itulah walaupun filem Cicakman sekadar menjengah ke pasaran Indonesia, namun impaknya dapat dirasai. Kebetulan anak-anak Melly minat filem Cicakman, apabila kami memberikan tawaran ini, Melly terus bersetuju dan turut memberi idea untuk pembikinan video klip lagu berkenaan,” jelas Yusry mengenai usahasama dan video klip bersama Melly yang dilakukan di Indonesia itu.

Cicakman 2 – Planet Hitam masih mengekalkan pelakon asal seperti Saiful Apek sebagai Cicakman/Hairi, Aznil Nawawi (Profesor Klon), AC Mizal dan Adlin Aman Ramli (Ginger Ghost). Filem ini turut dibintangi muka baru seperti Sharifah Amani (Iman), Tamara Blaszenky (Rrama) dan Louisa Chong (Miss Cheef) selain penampilan khas daripada Linda Onn dan Julia Zieglar.

Lebih menggembirakan Yusry, apabila awal-awal lagi Cicakman 2 – Planet Hitam menempah nama di luar negara apabila menerima penghormatan rasmi untuk ditayangkan sempena World Premier di Festival Filem Antarabangsa Pusan ke-13 pada 2 hingga 10 Oktober.

“Itu yang membanggakan saya kerana biasanya filem-filem bercorak drama yang akan ditayangkan pada festival sedemikian. Mungkin pemilihan dibuat memikirkan Cicakman 2 – Planet Hitam sebuah filem superhero dari sebuah negara kecil seperti Malaysia,” kata Yusry bangga.

Filem yang akan mula menemui penonton di 60 pawagam tanah air pada 11 Disember ini akan ditayangkan di empat negara apabila Grand Brilliance Sdn Bhd (GBSB) akan mengedar untuk pasaran Malaysia dan Brunei, Cathay-Keris Films Pte. Ltd. (Singapura) dan PT Tripar Multi Vision Plus (Indonesia).

Filem terbitan KRU Studios dengan kerjasama GBSB ini juga baru sahaja selesai proses pembikinan ‘A Print’ di Bangkok, Thailand dan mendapat kelulusan penuh daripada Lembaga Penapisan Filem Malaysia dengan klasifikasi untuk tontonan umum (U).

Mengenai kerjasama antara KRU Studios dan Celcom yang dimeterai baru-baru ini, sebagai rakan pakatan perniagaan tau lebih tepat lagi penaja rasmi, Celcom menawarkan banyak tawaran menarik khususnya buat bagi pelanggan Celcom.

Naib Pengerusi Kanan Pemasaran Celcom, Zalman Aefendy berkata, sebagai penaja utama, Celcom menawarkan kandungan mudah alih yang menarik kepada peminat antaranya nada dering monofonik, polifonik, logo operator, trailer dan banyak lagi berkaitan filem ini.

Bagi mevariasikan koleksi peribadi para peminat, terdapat juga produk Cicakman yang boleh diperoleh antaranya siri komik, barangan sekolah, buku warna dan novel. Paling terbaru, kini turut dipasarkan novel Rrama, watak baru yang diperkenalkan dalam Cicakman 2 – Planet Hitam.

Kosmo

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: