‘Hanya Aku’ Papar Derita Penagih Dadah

27 Aug

Oleh Elrafaei Sapi
ahmadelrafaei@hmetro.com.my

Rap
PERSEPSI masyarakat sering kali menganggap penagih dadah terlalu jijik untuk didekati walaupun golongan ini insaf dan mengambil jalan untuk bertaubat. Terasing daripada kehidupan manusia normal, bekas penagih dadah digambarkan tiada peluang kedua untuk memulakan hidup baru kerana segelintir mereka kembali menagih selepas keluar dari pusat serenti.

Namun, dalam mencetuskan kesedaran kepada masyarakat terhadap peranan yang harus dimainkan untuk memberi sokongan kepada bekas penagih, usaha penerbit TV menghasilkan drama dengan tema sebegini difikirkan perlu.

Walaupun sudah banyak drama membawa tema sama dengan mesej pengajaran bekas penagih mampu berubah menjadi baik dan keluarga menerima semula anggota bekas penagih, usaha ini seharusnya diteruskan.

Bagi pengarah JS Pictures Sdn Bhd, Azman Yahya atau Jinggo, penerbitan drama terbaru, Hanya Aku, yang mengambil kisah penagih dadah memberi cabaran kepadanya untuk memahami sifat sebenar golongan ini. Katanya, pengalaman melakukan penggambaran selama sembilan hari di Rumah Pengasih, Kuala Lumpur memberi persepsi berbeza kepadanya sehingga memahami kehidupan seharian yang dilalui bekas penagih di tempat berkenaan.

“Sebelum saya masuk dan melihat sendiri keadaan bekas penagih di sini, persepsi awal saya membayangkan mereka ini berhingus dan kotor untuk didekati. Rupanya apabila saya berkenalan dengan mereka dan memahami proses pemulihan dilakukan di sini, hati saya tersentuh.

“Sebagai pengarah, apa yang paling mencabar ialah menghasilkan drama ini berbeza daripada genre drama yang sama sebelum ini. Keyakinan saya untuk mengarah drama ini bertambah apabila saya bersama isteri, Sheila Rusly dan penulis skrip, Nazli Jaafar atau Che Li duduk berbincang.

“Lalu, apabila saya mendapat skrip, saya berhadapan cabaran untuk menterjemahkan cerita ini dalam bentuk visual. Sebaik bekerja dengan pelakon dan kru produksi, keseronokan menghasilkan drama ini mula dirasai.

“Saya berharap drama ini mampu menyentuh perasaan penonton dan memenuhi cita rasa penulis skrip. Saya percaya setiap manusia pernah melakukan kesilapan dan tidak salah untuk memulakan hidup baru.

“Drama ini bukan bertujuan menghina bekas penagih dadah dan sepanjang penggambaran drama ini dilakukan, saya cukup gembira dengan sokongan ditunjukkan penghuni di sini,” katanya.

Menampilkan empat pelakon utama drama ini, Sheila, Hattan, Que Haidar dan pelakon baru, Nadiya Nisa Kamaruddin yang terjebak dengan dadah, menariknya drama ini buat kali pertama diberi kesempatan untuk menggunakan lokasi sepenuhnya di Rumah Pengasih.

Turut merakam keadaan penagih yang dikurung dalam bilik detox dan isolate selain dewan makan, surau dan asrama, paparan lokasi sebegini menjadi realiti yang harus dipaparkan kepada penonton.

Sheila pula yang diberi kepercayaan membawa watak utama bernama Sara menyatakan idea asal drama ini lahir selepas drama Sebuah Ijtihad mendapat respons positif penonton. Katanya, menerusi kisah kehidupan wanita dalam penjara, penonton semakin meminati pelbagai kisah realiti kehidupan yang lebih mencabar untuk dikongsi bersama penonton.

“Pada awal penerbitan drama ini, masalah berlaku apabila tidak mendapat kebenaran untuk melakukan penggambaran di sebuah pusat serenti. Akhirnya apabila kami mendapat kerjasama Rumah Pengasih dan memilih lokasi berkenaan, baru skrip ditulis.

“Bagi mendapat keadaan sebenar dengan lebih jelas, saya juga berbincang dengan Presiden Rumah Pengasih, Mohd Yunus Pathi Mohd. Drama ini mengisahkan empat watak utama iaitu dua lelaki dan dua wanita terjebak dengan dadah dan mendapat bantuan pemulihan di sini.

“Menariknya, drama ini menampilkan dua generasi penagih dadah yang berbeza latar belakang iaitu Sara dan Jamil (lakonan Hattan) adalah generasi terdahulu yang mengambil dadah heroin manakala Hadi (Que) dan Bella (Nadiya) pula terpengaruh dengan rakan untuk mencuba dadah campuran iaitu syabu.

“Saya dan Que turut berlakon dalam bilik isolate yang menempatkan penagih dadah yang tidak stabil. Watak Sara dipaksa suami (Bront Palarae) menghisap dadah hingga terpaksa menggadai diri untuk mendapatkan wang membeli dadah.

“Dalam kes Jamil, isterinya iaitu lakonan Wan Nor Azlin terpaksa menanggung derita akibat suami ketagihan dadah. Watak Hadi pula dihantar ke sini oleh bapanya selepas gagal mengawal minda sehingga mahu membunuh adiknya manakala Bella yang juga anak orang kaya mengambil dadah akibat sikap ibu bapa yang tiada persefahaman.

“Untuk menghayati watak Sara, ia memberi cabaran besar kepada saya sebagai pelakon berikutan saya tiada pengalaman menjadi penagih tetapi belajar daripada pergaulan bersama penghuni di sini. Menjadi Sara, saya tidak hanya tahu cara menghisap dadah tetapi bagaimana menyesuaikan diri di Rumah Pengasih.

“Saya rasakan lakonan Sara sukar apatah lagi dikelilingi penghuni di sini yang lebih tahu sikap penagih dadah sebenar. Bagi mendapatkan penghayatan lebih mendalam sebagai penagih dadah, saya juga berlakon di Lorong Haji Taib yang menjalani penggambaran selama sehari.

“Menerusi drama ini, saya berharap ia dapat mendidik penonton dengan mesej positif dan bukan tujuan saya untuk mengajar penonton menjadi jahat tetapi bagaimana kita sebagai anggota masyarakat dapat mengatasi gejala penagihan dadah,” katanya.

Di samping pelakon Datuk Jalaluddin Hassan dan kemunculan semula Wan Nor Azlin berlakon dalam drama ini, seramai 70 penghuni Rumah Pengasih juga terbabit sebagai pelakon tambahan. Diberi peluang untuk muncul di TV, Sheila mengakui ada antara penghuni ini mempunyai bakat berlakon.

Che Li yang pernah bekerjasama menerusi drama Sebuah Ijtihad, Demi Masa, Tuhan Pun Tahu dan Tain bersama JS Pictures, melihat skrip drama kelima ini memberi kekuatan dan tarikan kepada penonton. Katanya, tiga tahun lalu, dia pernah menghasilkan drama Hanya Sekali Lagi yang turut mengetengahkan kisah penagih dadah.

Namun, kisah kali ini berbeza apabila memfokuskan empat watak yang terjebak dengan dadah dan berusaha untuk berubah. Sebagaimana cabaran besar yang dirasai Sheila untuk melakonkan Sara, Que juga mengakui drama ini menuntut dirinya berlakon dengan lebih beremosi.

“Mungkin fizikal saya yang kurus membuatkan saya sesuai membawakan watak Hadi. Namun, saya melihat karakter ini berbeza dengan lakonan saya sebelum ini.

“Sebagai pelakon, saya mahukan karakter mencabar seperti Hadi. Dalam drama ini, ada adegan saya tidak sedarkan diri seperti paranoid kerana khayal dengan dadah.

“Bagi memberi lakonan berkesan, saya perlu meluahkan emosi pada tahap maksimum dan setakat ini saya puas serta gembira dengan hasil lakonan saya dalam drama ini,” katanya.

Drama ini dijangka tayangan pada Aidilfitri kedua di saluran Astro Ria.

Harian Metro

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: