Tuah One Nation Emcees

26 Aug

Oleh FAIZAL SAHARUNI
mfaizal@kosmo.com.my

Impak penarikan diri Liya


BAKAL cipta nama. One Nation Emcees terdiri daripada Jojoe (depan), Zydee (berdiri dari kiri), Mimi dan Kozae.

PADA awal pelayaran Gang Starz musim kedua empat bulan lalu, empat anak muda yang menggelarkan diri mereka One Nation Emcees (ONE) hampir berputus harap dengan nasib yang kurang menyebelahi.

Mereka diuji apabila salah seorang anggota tambahan yang diserap ke dalam grup mereka, Nur Hasliyah Abu Hassan atau Liya nekad menarik diri di saat-saat akhir tanpa memberi alasan munasabah.

Waktu itu, ONE tidak terdaya melakukan apa-apa. Perasaan sedih dan kecewa teramat sudah pastilah menyelubungi diri anggota One yang penuh ambisi ingin melebarkan bakat yang ada dalam lapangan seni.

ONE terdiri daripada Shamimi Amalina Norhisham (Mimi), Mohamed Fareezan Mohamed Murtaza (Kozae), Mohd. Norzaidi Edris (Zydee) dan Nur Hasan Baias (Jojoe).

Apa yang bermain di minda, hanyalah berserah pada takdir dan ketentuan-Nya agar semua dapat diatasi dalam waktu singkat.

Begitu pun, dengan ‘kelahiran’ semangat baru dan mencuba berdiri dengan empat anggota sedia ada, kini ONE diumum mampu tersenyum bangga apabila diumum menjuarai Gang Starz musim kedua yang diadakan di Stadium Melawati, Shah Alam Ahad lalu.

Bukan calang-calang, ONE turut menebus maruah dan harga diri negara yang kalah tahun lepas apabila trio dari seberang iaitu The Lima memenangi Gang Starz musim pertama.


EZLYNN menenggelamkan persembahan Paragon Child.

Mengukuhkan lagi bicara, Shamimi Amalina Norhisham atau lebih mesra disapa Mimi berkata, ONE diberitahu pihak produksi bahawa mereka perlu memasukkan seorang lagi ahli.

“Waktu itu memang kami berempat, tetapi grup kami tidak kelihatan seimbang apabila tiga anggota ONE, Zydee, Kozae serta Jojoe lebih cenderung kepada irama rap.

“Liya daripada grup Recall terpilih untuk menyertai ONE setelah menjalani pelbagai saringan dan tapisan.

“Pada waktu itu, kami perasan Liya macam kurang selesa dan seolah-olah tidak sudi apabila disaran masuk ke dalam grup kami. Lagipun dia sudah berjanji dengan grupnya sendiri untuk kekal bersama walau apa jua keadaan yang berlaku.

“Enggan membuang masa terhad yang ada, ONE termasuk Liya mula sediakan lagu dan menjalani latihan tarian. Mulai daripada situ, Liya dilihat tidak dapat memberi sepenuh komitmen seperti yang diharap ONE sebelum ini.

“Perkara ini jadi lebih teruk apabila Gang Starz musim kedua hendak membuka tirai, Liya ibarat tidak dapat dikesan serta mula buat hal,” ungkap Mimi ketika ditemui usai pertandingan berkenaan.


AKASIA sekadar muncul dengan persembahan sederhana.

Luah gadis berusia 21 tahun ini, setelah mengalami keadaan yang tidak diingini itu, ONE mulai tidak keruan sedangkan bermacam perkara telah pun diatur tenaga pengajar.

“Masa itu, kami sudah rasa putus asa. Kecewa sangat dengan apa yang berlaku dan menganggap kekurangan yang ada pada ONE tidak dapat diperbetulkan.

“Kalau Liya beritahu awal-awal, barangkali masalah ini dapat diatasi kerana selain Alia, ada dua lagi peserta yang berada dalam senarai bersedia dan tunggu peluang untuk menyertai ONE.

“Gara-gara Liya seperti yang dijanjikan bakal menganggotai ONE, dua peserta itu terlepas harapan padahal mereka lagi bagus, boleh menyanyi sambil menari dengan baik.

“Setelah Liya menghadapi masalah, kami tidak terdaya untuk melakukan apa-apa. Kalau hendak cari vokalis pengganti, rasa sudah terlambat.

“Jadi kami meneruskan saja perjuangan ONE tanpa mahu memandang isu remeh-temeh yang menimpa pada kami sebelum ini,” jelas Mimi yang tiada menerbitkan sekelumit dendam di hati kerana Liya sudah pun memohon kemaafan daripada ONE.


PERSEMBAHAN 3.5 bersama Lah VE menerusi lagu Ceritera Cinta.

Mimi beranggapan, ketiadaan Liya bersama ONE barangkali memantulkan hikmah yang terselindung. Setiap perkara yang terjadi ada tujuan yang relevan untuk diberitahu pada orang lain.

“ONE menyaksikan tanpa penglibatan Liya, kemungkinan ada hikmah di belakangnya. Kami mempercayai, ketiadaan Liya ke dalam ONE menaikkan lagi semangat juang kami untuk terus bergerak ke depan.

“Kalau tiada individu yang sudi hendak menyanyi dengan ONE, kami akan jadi geram sekali gus meniupkan sikap kesungguhan dan kerja keras masing-masing.

“Lagipun kalau Liya ada dalam ONE, kami akan jadi pemalas sebab Liya dikategorikan sebagai peserta yang hebat serta berbakat besar,” seloroh Mimi lagi.

Dalam konsert akhir berkenaan, ONE menyanyi lagu berjudul Kuda Hitam, Madu dan Racun serta Don’t Phunk With My Heart untuk persembahan berkumpulan solo. ONE juga berduet dengan Datuk Jeffrydin menerusi lagu Mas Mona dan Kenanganku.

Persembahan ONE yang cukup energetik dan penuh variasi dilihat berupaya memikat hati audiens hinggakan kumpulan ini memperolehi undian tertinggi khidmat pesanan ringkas (SMS) para penonton.


GABUNGAN serasi D’Reborn dan Dayang Nurfaizah.

ONE menewaskan empat lagi saingannya termasuklah satu kumpulan yang juga dari Malaysia, Akasia, Paragon Child dan 3.5 dari Filipina serta D’ Reborn dari Indonesia.

Tampil konsep krumt & blues

Selain meraih gelaran juara Gang Starz musim kedua, ONE yang membawa pulang wang tunai berjumlah AS$100,000 (RM330,000) juga diberi peluang merakamkan album.

Bagi Jojoe, 32, ONE masih akan mengekalkan konsep sama seperti apa yang peminat lihat di program mingguan Gang Starz.

“Minat kami terhadap lagu berkonsep rap memang tidak dapat dipersoalkan lagi. Ini merupakan diri dan personaliti sebenar ONE.

“Dan untuk melangkahkan kaki ke dalam industri seni, ONE harus menampilkan kelainan supaya tidak disamakan dengan grup rap lain sedia di Malaysia.

“ONE akan menonjolkan konsep krumt & blues. Biasanya kita dengar artis antarabangsa yang menekankan gaya ini sekadar menari saja tanpa ada lontaran vokal.

“Justeru kami ingin memperlihat pembaharuan. Kami memang mahu memfokuskan pada nyanyian dan tarian pada satu-satu masa.

“Kami berharap agar cara ONE dapat disukai peminat sekali gus dapat mempersembah kesegaran dan kepelbagaian buat cabang seni di Malaysia,” kata Jojoe penuh teruja.

Mahu tubuh bisnes

Kalau sudah memenangi wang tunai yang banyak, sudah pasti setiap anggota ONE punya perancangan tersendiri.

Mewakilkan rakan yang lain, Zydee, 26 memberitahu, ONE sebenarnya belum ada sebarang perancangan dek mereka terkejut dengan kemenangan itu.

“Kami belum membuat apa-apa keputusan lagi, tapi kalau hendak diikutkan, kami mahu menubuhkan bisnes sendiri kerana setiap anggota ONE ada keinginan sendiri.

“Ada antara kami juga yang mahu menyumbang wang itu kepada ahli keluarga yang selama ini banyak menyokong perjalanan kami,” jawabnya jujur.

Soal duit yang diraih itu bukan menjadi isu terbesar kepada ONE kerana sudah terang lagikan bersuluh, wang tunai itu secara rasmi dan mutlak menjadi hak milik mereka.

Cuma apa yang diberitahu ONE, mereka menganggap kemenangan diperolehi ini berupaya membakarkan semangat kerja-keras demi mencapai kejayaan yang lebih cemerlang.

“Kami melihat tanggungjawab mengharumkan nama negara bukannya sembarangan. Tugas ini cukup berat dan tidak seharusnya dipandang ringan.

“Harapan kami selepas ini adalah mahu terus melakar kejayaan sama ada di dalam dan luar negara.

“Kemenangan ONE dalam Gang Starz ini menjadikan kami mahu terus melakukan yang terbaik,” janji Kozae mengakhiri butir bicara.

Kosmo

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: