Emran Jadi Diri Sendiri – Bila Imej Suami Dipertikai

18 Aug

Oleh JESSABELL SOO
jessabell@kosmo.com.my


ERRA mengambil sikap tidak melatah sebagai reaksi terhadap komen-komen negatif yang dilempar buat suami tercinta, Emran.

SUAMI Erra Fazira selekeh, tidak kemas dan tidak sesuai dengan tema dan kemeriahan majlis. Ungkapan ini jelas menuding ke arah lelaki tampan bernama Engku Emran Engku Zainal Abidin.

Menjadi suami bintang jelita seperti Erra Fazira, Emran bukan setakat merelakan segala kisah mereka diterokai dalam-dalam, bahkan setiap inci corak dan helaian baju dalam almarinya juga boleh diperkotak-katikkan dengan sesuka hati oleh semua pihak.

Maka, apabila Emran berpakaian tidak sedondon serta kelihatan santai sedangkan Erra penuh perincian dengan gaun malam yang meriah pada majlis Festival Filem Malaysia 21 (FFM21), 9 Ogos lalu, banyak pihak mula memandang sinis terhadap gaya Ketua Pengawai Eksekutif Suria FM ini.

‘Tidak sesuai dan selekeh’ itu bisik kurang manis yang sampai ke telinga pihak yang seolah memperkecilkan penampilan Emran di majlis glamor.

Tetapi sebagai isteri, Erra tidak mudah melatah bahkan dia tidak tertekan apabila diasak dengan persoalan sedemikian.

“Bagi saya dia seorang yang relaks dan tidak terlalu mencuba untuk menjadi orang lain. Itu adalah perwatakan dia. Lagipun dia hadir pada majlis itu bukan sebagai selebriti.

“Dia tampil sempoi tetapi masih ada stail tersendiri. Kalau ada orang cakap dia selekeh, itu adalah pandangan peribadi kerana fesyen adalah subjektif,” kata Erra ketika dihubungi Kosmo!.

Memang topik ini hangat di internet tetapi Emran menganggapnya sebagai satu isu kecil. Lagipun, isterinya mempercayai cita rasanya dan berpendapat pemakaian sesuai dengan majlis.

“Asalkan isteri saya cakap cara pemakaian saya okey, saya akan pakai. Lagipun saya menghadiri FFM21 hari itu hanya untuk menyokong dia. Lainlah kalau itu majlis untuk industri radio,” jelas Emran yang tidak merasakan pakaian terlalu ringkas.

Tidak kisah dengan komen orang ramai, Erra sendiri berasa selesa dengan penampilan Emran selama ini. Baginya itu adalah keistimewaan Emran.

“Saya sedikit pun tidak rasa malu kerana dia kelihatan elok sahaja. Dia tidak memakai pakaian formal untuk acara karpet merah tetapi stailnya santai dan kemas. Itu sudah cukup untuk menghormati majlis,” jelas Erra lagi.

Sebagai orang yang menjadi tumpuan selepas bergelar suami Erra, dia tidak sedikit pun kecil hati atau marah dengan komen negatif tersebut.

“Semua orang ada komen dan saya tidak kecil hati atau tersinggung. Saya perlu melalui semua ini kerana saya adalah suami kepada Erra Fazira, seorang artis. Tetapi ini tidak bermaksud saya akan berubah dan menjadikan diri saya sebagai selebriti. Saya masih akan memakai pakaian mengikut kesesuaian dan keselesaan diri selagi saya selesa,” tegas Emran.

Pada pandangan Kosmo! Emran tidak mahu imej artis popular yang ada pada diri isterinya ‘membelit’ dirinya. Justeru, dia memilih untuk bergaya sama seperti zaman solonya, sebagai orang biasa.

Jadi, sepatutnya kenyataan Emran berpakaian santai sehingga ‘merosakkan’ gaya dan penampilan isterinya tidak ditimbulkan oleh semua pihak seperti sekarang.

Apakah dengan mengahwini seorang artis, orang seperti Emran wajar merobah keselesaannya dan menjadi lebih ‘artis daripada artis?’.

“Saya bukan artis, tetapi suami kepada seorang artis. Jadi, saya macam orang lain, tak perlu ‘terperangkap’ dengan imej atau personaliti yang bukan menjadi diri saya yang sebenar,” kata Emran lagi.

Lakonan Erra lebih matang

Berbalik kepada Erra, sisi lakonannya dalam filem Anak menampakkan transisi daripada peranan yang pernah dibawanya sebelum ini.

Jauh sekali kelihatan cantik atau bergaya seperti dalam filem romantis yang sering kali memilihnya sebagai heroin.

Namun, keberanian memegang watak Nita telah memberikan Erra Fazira satu tempat untuk bertanding dalam kategori Pelakon Wanita Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-21 (FFM21) yang berlangsung malam Sabtu lalu.

Sungguhpun trofi anugerah itu jatuh ke atas tangan Maya Karin menerusi filem Anak Halal, Erra tetap bersyukur. Mungkin ramai yang menjangkakan kemenangannya tetapi Erra akur dengan keputusannya.

“Sebelum ini saya juga pernah menang tanpa dijangkakan dan ramai orang yang mempertikaikan. Dan untuk pencalonan kali ini, ramai yang menjangkakan kemenangan saya tetapi tidak menang,” kata Erra ketika ditemui pada majlis doa selamat sebelum penggambaran drama pertamanya, Mentua vs Menantu.

Namun, baginya filem ini memberikan kepuasan berlainan dan menyediakan dirinya untuk menerima watak lebih berat seperti wanita psiko.

“Secara jujur, ini merupakan kali pertama saya berasa diri saya berlakon (untuk filem Anak). Di bawah latihan dan bimbingan Fatimah Abu Bakar, saya rasa kini saya sudah bersedia untuk menerima watak yang tidak pernah dijayakan sebelum ini,” tambahnya yang bakal dilihat dalam filem Los dan Faun dan Sifu & Tongga.

Tidak menerima tawaran untuk filem kebelakangan ini, Erra menyifatkan dirinya bukan memilih tetapi kena membuat pilihan supaya tidak hanya terperangkap dalam watak dan genre yang sama sahaja.

Cuma mungkin dia yang sentiasa dicap dengan filem cinta, maka peluang untuk mencuba peranan lain telah dihadkan. Jadi dengan filem-filem seperti Anak, dia boleh membuktikan kepada orang ramai akan kebolehannya.

“Bukan senang untuk mendapatkan kepercayaan daripada orang lain untuk menawarkan saya watak berat dan serius. Semua orang bagaikan sudah menetapkan bahawa saya hanya boleh memainkan watak ‘ringan’ dalam filem komedi atau romantik,” tambah Erra lagi.

Drama pertama dalam karier Erra

April lalu, Erra menandatangani kontrak eksklusif bersama Astro selama setahun. Dalam kontrak ini, Erra akan terlibat dalam empat produksi Astro termasuk dua telemovie dan dua drama bersiri.

Selepas menyelesaikan sebuah telemovie, Joe dan Faridah, Erra kini bersiap sedia untuk drama pertamanya, Mertua vs Menantu untuk siaran saluran Astro Prima (Astro 105).


ERRA melihat gaya pemakaian Emran sebagai sesuatu yang sangat istimewa.

Drama komedi yang merangkumi 26 episod ini melihatkan Erra memegang watak Nurul Ain, seorang mekanik yang bersifat ‘kelelakian’.

“Disebabkan ini kali pertama saya berlakon dalam drama, saya sengaja mengambil watak ringan. Saya ingin menyesuaikan diri dengan rentak drama sebelum mencuba watak lebih serius.

“Dalam drama ini, saya akan berkahwin dengan seorang lelaki kaya (Aqasha) dan perlu berdepan dengan mak mertua saya. Kami akan berlawan tetapi secara psikologi,” jelas Erra yang perlu menukar tayar dan bateri kereta dalam drama ini.

Memulakan penggambaran pada 11 Ogos lalu di sekitar Lembah Klang, Erra memberitahu produksi sepatutnya bermula lebih awal supaya tidak mengganggu bulan puasa nanti.

Namun, disebabkan sebab yang tidak boleh dielakkan, rakaman 13 episod pertama ini akan berjalan selama sebulan sehingga bulan puasa nanti.

“Sekarang kita semua terpaksa berlakon masa bulan puasa. Tetapi rasanya tidak apa masalah yang timbul. Cuma sekarang saya berasa gementar untuk berlakon kerana bekerjasama dengan muka-muka baru. Saya takut penglibatan saya akan menyusahkan orang lain,” tambahnya lagi.

Gandingan pertama Erra dan Aqasha

Berganding buat kali pertama dengan Aqasha, Erra sebelum ini tidak pernah mengenali Aqasha secara dekat. Namun, Erra ada menjalankan sedikit penyelidikan mengenai lakonan Aqasha.

Bukan Erra sahaja melakukan persediaan, Aqasha sendiri juga ada mempelajari sejarah lakonan Erra kerana berpendapat dia adalah senior dalam dunia lakonan.

“Kalau nak dikirakan, dia adalah senior dalam dunia lakonan kerana dia lebih berpengalaman. Dia pernah berlakon dalam banyak filem dan saya amat menghormatinya.

“Tetapi saya adalah pelakon profesional. Maka isu senior itu bukan menjadi faktor. Apa yang penting adalah disiplin diri,” kata Aqasha yang berasa gembira untuk berlakon bersama Erra.


PERTAMA kali bergandingan, Erra dan Aqasha diberi tanggungjawab sebagai pasangan suami isteri.

Menonton hampir 60 peratus daripada filem lakonan Erra, Aqasha turut tidak menganggap jurang usia antara mereka berdua akan kelihatan janggal di kaca televisyen apabila mereka melakonkan watak sebagai suami isteri.

Dia juga yakin dengan lakonan Erra merasakan aktres ini tidak akan mempunyai sebarang masalah dan berharap untuk meneruskan kerjasama jika berpeluang nanti.

Kosmo

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: