Cinta Dirancang Keluarga

13 Aug

Oleh FERIDE HIKMET ATAK feride.hikmet@kosmo.com.my

MENDENGAR sahaja kisah ‘perkahwinan yang dirancang keluarga’, pasti pelbagai reaksi wajah yang diberi tatkala soalan sebegini diajukan.

Ada yang sangat tidak bersetuju dan ada juga tidak kisah jika calon pasangan mereka diaturkan keluarga.

Lain pula pandangan bagi empat pelakon remaja yang popular dengan drama bersiri Renjis, Sherry, Elyana, Ashraf Muslim dan Syed Ali. Masing-masing mempunyai pandangan tersendiri mengenai isu ini.

Apalagi, dalam Renjis, Elyana turut berpeluang merasa dilema kerana cinta yang dirancang keluarga. Justeru tiba-tiba saja kecoh seketika lokasi di bilik persalinan apabila masing-masing berebut-rebut untuk mengulas mengenai hal yang cukup menggembirakan untuk diperkatakan ini.

Tidak disangkakan pula walaupun mereka sudah menjadi teman ‘sekepala’ sejak dipertemukan dalam drama bersiri itu, pendirian mereka tetap berlainan.

Menerusi Renjis, Elyana yang melakonkan watak Kirana, sebelum ini pernah ditinggalkan kekasih dan takut untuk membuka lembaran cinta barunya semula.

Apabila ibunya (Liza Abdullah) mendapat tahu akan ketakutannya dalam percintaan, mulalah ibunya sibuk mencari calon menantu yang sesuai untuk Kirana.

“Dalam Renjis, memang ibu Kirana seboleh-bolehnya nak dapatkan calon suami yang sesuai untuk anaknya.

“Tetapi itu bukan dalam realiti hidup saya. Benda-benda begini semuanya terpulang pada keluarga. Pada saya, lebih elok jika saya yang membuat keputusan dalam hal hubungan cinta, lagi senang,” ujarnya berterus terang.

Lain pula cerita Sherry yang lebih gemarkan cabaran dalam mencari teman sehidup semati.

“Sebenarnya, saya tidak mempercayai perhubungan yang dirancang keluarga.

“Lebih bermakna lagi jika cinta itu datang dengan sendirinya dan cabarannya pasti berbeza berbanding dengan pilihan keluarga yang sedia ada,” jelasnya penuh yakin.

Beza pula dengan Syed Ali dan Ashraf, mereka lebih senang jika keluarga yang menguruskan sendiri tentang hal perkahwinan jika sudah sampai seru untuk mendirikan rumah tangga.

Meskipun lelaki biasanya berjiwa berdikari, mereka percaya pilihan ibu bapa adalah yang terbaik. Malah tidak kisah andainya wanita yang bakal menjadi isterinya itu hasil pilihan ibu bapa.

“Ibu bapa saya tak kisah jika saya sudah mempunyai pilihan hati sendiri. Begitu juga dengan saya, jika dijodohkan dengan wanita pilihan ibu bapa, saya juga tidak mempunyai masalah. Malah mungkin lebih senang.

“Apa yang penting wanita itu baik dan sedap mata memandang. Tapi kadang-kala, takut juga kalau tak serasi,” seloroh Syed Ali.

Tidak sukar bergaul

Mempunyai latar belakang yang berbeza, tidak bermakna mereka sukar bergaul bersama.

Malah seakan sudah lama mengenali antara satu sama lain, mereka bagaikan isi dengan kuku. Dan kisah tentang keakraban mereka ini seronok untuk dikongsi dengan pembaca Kosmo!.

“Sejak berlakon bersama, kami memang akrab. Tapi, tak adalah sampai 24 jam telefon sesama sendiri saja.

“Apa yang menyeronokkan, sepanjang kami di set penggambaran, kami langsung tak pernah rasa yang sebenarnya kami sedang bekerja. Tiada tekanan langsung. Saya rasa kumpulan krew kami paling memahami. Walaupun penggambaran dibuat dari pagi hinggalah ke malam, tak rasa penat pun,” ujar Elyana.

Disampuk pula oleh Sherry “Paling seronok sekali bila pengarah memberi kebebasan idea dalam apa saja yang ingin kami tambah dalam lakonan kami.

“Sampaikan, dialog yang kami lakonkan secara spontan tanpa perlu mengikut skrip. Siap boleh tambah ayat sendiri lagi.”

Bertegang urat? Langsung tiada dalam buku persahabatan pelakon-pelakon Renjis ini. Malah, kata Ashraf, mereka diibaratkan seperti adik beradik dalam lokasi.

“Kami saling bantu-membantu. Walaupun hari-hari penggambaran, kami masih gembira bersama, rasa seperti adik beradik dan masing-masing menjaga kebajikan antara satu sama lain,” ujar Ashraf pula.

Begitu teruja mereka menceritakan memori saat-saat kisah lucu mereka pada hari penggambaran drama bersiri itu. Keserasian mereka berempat ternyata kelihatan jelas sehingga sangat jelas kelihatan melalui hasil lakonan mereka yang nampak bukan dibuat-buat.

Renjis 2 kembali?

Pasti ramai peminat-peminat Renjis akan tersenyum gembira kerana dengar cerita, berkemungkinan besar drama bersiri ini mungkin akan disambungkan untuk musim kedua.


ELYANA merasai sendiri pengalaman bagaimana jodoh ditentukan keluarga dalam Renjis.

Semua ini kerana ia berjaya muncul antara program paling diminati ramai dalam saluran Astro Ria.

Bagaimana empat sahabat ini tidak berani untuk mengesahkan perkara ini kerana mereka juga tidak pasti sama ada ia bakal disambungkan mahupun tidak

“Kami harap ia dapat disambungkan. Dan yang penting, jika betul siri ini akan diteruskan, mungkin kami akan duduk sekali bersama pengarah dan berbincang bersama mengenai jalan cerita Renjis 2.

“Bolehlah saya kongsi idea sama kerana sebelum ini saya tak dapat turut serta dalam perbincangan mereka kerana mempunyai sedikit masalah,” jelas Syed Ali.

Tayangan Renjis berakhir pada malam ini (13 Ogos) pukul 9.30 malam dan pada episod ini, peminat bakal mengetahui siapakah lelaki pilihan Kirana. Adakah Rafiq (Syed Ali) ataupun Dean (Ashraf Sinclair) bakal menjadi teman hidupnya? Atau mungkin, orang lain pula yang melekat di hati Kirana?

Kosmo

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: