‘Fesyen Adalah Saya’

11 Aug

Oleh IZYAN LIYANA MOHD DARIF izyanliyana.mdarif@kosmo.com.my

Memahami keperluan masyarakat yang mahukan busana yang ringkas, Nik Erwan menyelitkan sentuhan unik dengan konsep lipatan atau kedutan (pleatin).

NIK ERWAN NIK ROSELI. Siapakah gerangan pemuda ini? sehingga terpilih menghiasi muka depan Stailo kali ini. Walaupun nama Nik Erwan masih hijau dan belum popular seperti Hatta Dolmat, Rizalman, Rizman Ruzaini, Azura Couture atau Amir Luqman, tetapi rekaan fesyennya tidak boleh diperlekehkan.

Kebanyakan busana ciptaannya cantik dipandang dan digayakan. Sebab itu, selebriti terkenal tempatan, Noryn Aziz dan Siti Sarah Raisuddin sentiasa mendapat khidmat rekaannya.

Menurut Nik, kemunculannya di persada fesyen tempatan bermula apabila pihak program realiti Gangstarz musim pertama, memintanya menyediakan busana untuk kumpulan Mendua. Walaupun pada ketika itu, dia masih bergelar pelajar, namun tawaran tersebut tidak dipandang ringan.

“Saya menerima tawaran itu kerana ia merupakan peluang keemasan bagi saya mempamerkan kreativiti pakaian anggun.

“Terima kasih kepada Gangstarz kerana meletakkan sepenuh kepercayaan kepada saya, meskipun ketika itu saya masih lagi menuntut di UiTM,” jelas pereka muda yang berusia 24 tahun ini.

Mengapa bidang fesyen? Sebelum ini minatnya lebih cenderung dalam bidang grafik dan rekaan. Dia memilih jurusan Diploma Rekaan Grafik dan Digital Media di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam pada tahun 2002.

Meskipun sibuk dengan tugasan dan kuliah, Nik tetap meluangkan masa mengikuti pelajar aliran fesyen menghadiri pertunjukkan fesyen. Bermula dari saat itu, hatinya mula terpaut pada bidang rekaan fesyen.

Lantas bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan La Salle, Petaling Jaya ini meneruskan pengajian di peringkat Ijazah Rekaan Fesyen, UiTM. Sepanjang belajar fesyen, Nik tidak pernah berputus asa apatah lagi merendah diri apabila terpaksa bersaing dengan rakan kuliah yang memiliki kepakaran menjahit.


NIK (kiri) berbangga dengan bakat besar yang dimiliki oleh model Dilla, yang juga rakan karibnya.

Ini kerana sebelum menuntut bidang fesyen, Nik mengambil inisiatif menghadiri kelas asas jahitan selama tiga bulan. Sementara itu, teknik melukis dan lakaran rekaan yang dimiliki banyak membantunya.

“Fesyen adalah saya. Ia menyeronokkan kerana kita bukan sekadar melakar dan menghasilkan busana. Tapi, aliran ini boleh membawa saya dalam kerjaya penulis fesyen, perunding fesyen dan sebagainya.

“Walaupun masih baru tetapi pereka fesyen senior menerima kehadiran pereka baru seperti saya dengan hati yang terbuka. Banyak nasihat, tip dan pertolongan berkaitan fesyen dihulurkan,” katanya yang memuji sikap pereka fesyen senior.

Sambil menghasilkan lakaran busana, Nik yang pernah menjalani latihan praktikal sebagai pereka grafik di RTM, sempat menerangkan beberapa proses sebelum sesebuah busana dihasilkan.

Langkah pertama dia akan meneliti beberapa faktor rekaan baju sama ada ia bersesuaian dengan individu pilihan. Antaranya faktor rupa paras, ketinggian dan fizikal.

“Seterusnya saya mula memikirkan rekaan, warna dan pemilihan fabrik yang berpadanan. Selesai proses berkenaan, maka beralih pula proses memotong kain mengikut lakaran dan pemeriksaan bagi memastikan potongan berpadanan dengan lakaran asal,” ulasnya yang menyatakan kain juga memainkan peranan penting pada busana.


GEMAR menggabungkan dua warna berbeza dan elemen kedutan.

Bicara soal konsep, pereka ini gemarkan busana yang ringkas, tetapi menyelitkan sentuhan unik tersirat. Jelasnya masyarakat kini gemar busana ringkas tapi tampak elegan.

Pada bahagian atas baju, Nik lebih selesa menampilkan konsep lipatan atau kedutan (pleatin) yang memberikan signatur tersendiri.

Selain itu, pemenang koleksi pakaian terbaik projek akhir fesyen UiTM, gemar menggunakan dua gabungan warna yang berbeza. Antaranya hitam dan biru nilakandi, coklat dan hitam, merah jambu dan hitam serta hijau dan merah jambu.

Dari segi fabrik Nik banyak menggunakan fabrik tebal seperti satin Belanda, kain sutera tipis berkilat tetapi agak keras sedikit (tafetta) dan sutera Thai. Ini kerana warna fabrik tersebut begitu menonjol dan terang.

“Jika pereka lain gemarkan konsep manik, tetapi saya sebaliknya. Kecenderungan saya lebih tertumpu pada elemen kedut dan lipatan. Ini kerana jahitan manik memerlukan pengalaman dan teknik jahitan yang betul.

“Kalau tersilap jahit, ia boleh mencacatkan keindahan busana. Saya belum mahir menguasai teknik jahitan manik, sebab itu pleatin menjadi pilihan,” katanya ketika ditemui Kosmo!.

Lagipun pleatin sesuai ditampilkan pada pelbagai rekaan pakaian seperti busana koktel, formal dan tradisional. Walaupun dres tampak ringkas tapi dengan adanya pleate, gaun menjadi unik dan istimewa.


ANTARA lakaran koleksi busana Nik Erwan.

Menatap koleksi rekaan pakaiannya, didapati Nik banyak menggunakan khidmat model popular dan pemenang program Malaysia Most Beautiful, Dilla Syahira Abdul Latiff (Dilla).

“Mengapa Dilla? Bagi saya dia bukan sekadar model pilihan tetapi merupakan rakan karib saya. Bertubuh langsing dan tinggi lampai, Dilla merupakan seorang model baru yang berbakat besar. Kini kemunculannya dapat dilihat dalam pertunjukkan fesyen di serata Malaysia.

“Sejak memenangi Malaysia Most Beautiful, aksi beliau semakin menyerlah. Dilla bijak beraksi di depan lensa kamera dan mimik muka serta pose yang bertepatan dengan rekaan saya,” tambah Nik mengenai keistimewaan Dilla.

Kosmo

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: