Marsha Keluar Maestro?

4 Aug

Oleh FAIZAL SAHARUNI mfaizal@kosmo.com.my

TEMPOH tiga tahun mengecapi kemasyhuran bersama pihak pengurusan artis, Maestro Talent & Management Sdn. Bhd., kontrak Marsha kini sudah pun berakhir beberapa bulan lalu.

Sama ada kontrak yang dimeterai sebelum ini diteruskan ataupun Marsha dilepas bebas berterbangan, semua masih menjadi persoalan yang bersarang di hati penyanyi popular menerusi lagu Untuk Kali Terakhir.

“Kalau boleh saya nak keluar,” luah Marsha perlahan tatkala ditanya pendirian sama ada mahu terus berpayung di bawah Maestro yang memiliki kredibiliti mengurus perjalanan seni artis kelahiran Akademi Fantasia (AF).

Marsha mengakui kontrak bersama Maestro sudah berakhir, tetapi semuanya masih dalam peringkat perbincangan antara kedua belah pihak. “Saya tidak boleh ulas panjang lebar sebab saya sendiri pun tidak tahu situasi sebenar diri,” jawabnya dalam nada lembut.

Membutir pendapat peribadi, Marsha menganggap jika diberi peluang, dia mahu mengundur diri daripada Maestro setelah melayari bahtera bersama sepanjang tiga tahun.

Menyambung hujah, Marsha melihat senario kehadiran AF6 dan barangkali AF7 yang bakal muncul tidak lama lagi bakal memberi tekanan buat pihak pengurusan dan dirinya sendiri.

Justeru, Marsha menganggap lebih baik dia ‘mengangkat’ kaki daripada Maestro supaya dia tidak merasai perasaan dipinggir atau disisihkan.

“Saya masih belum buat keputusan muktamad. Bergantung pada keadaan selepas habis bincang dengan Maestro kelak.

“Paling penting, saya cukup bertuah kerana masih diberikan perhatian pihak pengurusan, cuma kalau boleh saya inginkan individu tertentu yang menjaga saya seorang atau dua, tiga penyanyi lain.

“Bukan nak kata pihak pengurusan sekarang tak bagus, tetapi saya lihat Maestro kini makin banyak artis,” jelas Marsha lagi.

Hati manusia sukar sekali hendak ditafsir, begitu juga dengan perasaan Marsha yang payah ditebak. Barangkali dia mahu keluar daripada cengkaman Maestro gara-gara masih belum ada album sendiri walau tiga tahun berlalu pergi.

“Saya agak kecewa juga sebab masih tiada album sendiri sedangkan artis baru yang muncul, terus punya album masing-masing.

“Enggan melatah dan berputus harap, saya selalu berfikiran positif dalam soal ini. Saya sentiasa percaya dan menekankan prinsip – nasib orang tidak pernah sama, malah rezeki kita pun lain-lain.


DILANTIK sebagai duta minuman air mineral berperisa buah-buahan bersama Rynn Lim.

“Saya tetap gembira sebab karier masih berjalan lancar, ada peluang jadi jurucakap, berlakon dan menyanyi. Saya tak boleh mengeluh, apatah lagi masa depan bidang seni tak selalunya cerah dan sukar diramal.

“Banyak benda saya nampak pada diri setelah menjadi anak seni. Sudah semestinya apa yang diperolehi dalam tempoh singkat ini masih belum memberi kepuasan buat saya. Banyak lagi yang perlu saya capai dalam dunia ini.

“Berbalik soal pembikinan album, inisiatif ingin muncul dengan album sulung memang ada, cuma bukan dalam masa terdekat ini. Saya tak kisah tunggu walau berapa lama sekalipun.

“Kalau kita hasilkan dengan kelam-kabut dan tiada kualiti pun, maka tiada gunanya bukan? soal Marsha pantas tersenyum penuh makna.

Cinta baru Marsha Niat di hati ingin menampilkan bakat sebagai penyanyi dan melantunkan vokal lunaknya buat tatapan khalayak, namun takdir tidak terhingga menentukan segala-gala buat Marsha.

Tiada siapa menyangka, selepas melangkahkan kaki keluar (AF3) tiga tahun lalu, wajah si jelita ini dilihat mekar menghiasi layar kaca sebagai pelakon, bukannya sebagai penyanyi.

Bukan mengejutkan kerana Marsha punya pakej yang diibarat syarat wajib ada untuk melibatkan diri dalam industri seni – cantik dan berbakat.

Lalu, tidak hairanlah apabila Marsha senang menembusi apa jua halangan serta tembok kukuh yang berada di depannya tanpa mengalami kesulitan.

Selain menerima undangan nyanyian, Marsha mengaku kerap ditawar peluang berlakon setelah mengakhiri ‘tahanan’ berkurung dalam akademi hampir tiga bulan.

“Habis saja AF3, saya menerima banyak undangan nyanyian, namun saya juga diberikan peluang untuk berlakon dengan sebuah produksi terkenal untuk tayangan sebuah stesen TV.

“Semua berjalan dengan baik hinggalah drama itu terpaksa dihentikan di pertengahan jalan kerana mengalami masalah tertentu antara produksi dengan stesen TV berkenaan.

“Agak kecewa juga dengan situasi yang berlaku, tetapi saya malas nak fikirkan sangat perkara itu, lalu meneruskan saja bidang nyanyian yang diminati.

TIDAK berhenti berharap kemunculan album sulungnya.

“Tidak lama kemudian, kekecewaan itu terubat apabila saya ditawar watak Karina dalam Kerana Karina yang merupakan drama bersiri pertama di internet Malaysia.

“Dari situlah saya betul-betul minat berlakon,” akui Marsha ketika ditemui pada acara yang memperkenal dirinya sebagai jurucakap Spritzer Tinge di Petaling Jaya baru-baru ini.

Selain Marsha, seorang penyanyi, pelakon dan pencipta lagu popular di Asia, Rynn Lim turut digandingkan dengan Marsha sebagai duta air mineral semulajadi berperisa buah-buahan yang tidak mengandungi pewarna dan karbonat itu.

Sambung Marsha, saat berlakon drama berkenaan dalam musim pertama, dia masih berasa gementar apatah lagi diganding dengan deretan nama besar dan hebat di persada lakonan termasuk Sazzy Falak dan Zizan Nin.

“Lama-kelamaan perasaan itu hilang setelah drama ini memasuki musim kedua. Saya dapat biasakan diri dengan bidang lakonan lebih-lebih lagi saya menerima tunjuk ajar daripada pengarah dan pelakon lain.

“Saya cukup teruja kerana selepas melibatkan diri dengan produksi Kerana Karina, semangat hendak berlakon terus membara dan melekat dalam diri.

“Rasa gembira sangat sebab saya dapat tambah pengetahuan dalam dunia lakonan. Lantas saya berpendapat untuk meneruskan sahaja karier lakonan tanpa sesekali menyisihkan cabang nyanyian.

Rancang sertai kelas lakonan Ramai yang terpesona dengan gadis bernama Marsha Milan Londoh. Dikurnia wajah yang cantik, ditambah pula dengan sepasang bibir menawan, membuatkan dia sentiasa menjadi igauan lelaki.

Itu semuanya sudah diketahui umum, justeru Marsha enggan cerita-cerita nakal terus menghantui diri. Dengan rasa penuh keterujaan, gadis berusia 23 tahun ini berkongsi perancangan ingin memasuki kelas lakonan demi meningkatkan diri pada tahap lebih atas.

“Sebelum ini pihak Maestro pernah mengadakan kelas lakonan yang dibuka kepada bekas pelajar AF selama dua kali seminggu.

“Cuma sukar buat saya dan rakan AF lain nak sertai kelas ini dek masing-masing punya komitmen serta jadual harian yang padat hampir setiap hari.

“Sedih juga sebab saya tidak dapat sertai kelas berkenaan, tetapi sekarang saya tengah memikirkan hendak ambil kelas lakonan di luar bagi memantapkan diri sebagai pelakon yang baik.

“Saya harus aturkan jadual seni dengan baik terlebih dulu kerana susah hendak berkejar ke sana ke mari. Niat untuk belajar dalam kelas lakonan memang ada, cuma ia bukanlah dalam waktu terdekat ini.

“Lagipun saya menghadapi masalah pengangkutan kerana saya sendiri tidak memandu dan tiada lesen kereta. Jadi pergerakan saya agak terhad dan terbatas.

“Kalau tiada sebarang masalah, saya akan mengambil lesen memandu sebelum penghujung tahun ini bagi menyelesaikan segala masalah saya ini,” azam Marsha bersungguh-sungguh untuk bergelar pemandu jelita di jalanan.

Kosmo

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: