Percaturan Amir Luqman Berjaya

3 Aug

Oleh NOOR FAZRINA KAMAL
Foto REDWAN ADMAN

KREATIVITI beliau dalam meletakkan jenama menggunakan namanya sendiri bukan sahaja menyebabkan beliau dikenali di kalangan peminat fesyen tanah air, bahkan meletakkan beliau sebaris dengan pereka tersohor negara dalam usia yang boleh dikategorikan muda.

Itulah aura yang ada pada pemilik nama Amir Luqman Othman, yang baru sahaja mencecah usia 24 tahun. Menggunakan label Amir Luqman nyata satu percaturan positif yang menyerlahkan personaliti anak muda kelahiran negeri Kelantan ini.

Manakan tidak, kehebatan beliau teruji apabila dipilih menjadi pereka fesyen termuda yang diletakkan sebaris dengan pereka terkenal tanah air dalam sebuah buku ilmiah yang diberi nama ‘Batik Inspiration’.

Bukan untuk membangga diri, namun hakikatnya buku tersebut dibaca dan menjadi rujukan untuk sesiapa sahaja dan dijual di seluruh dunia, sekali gus meletakkan nama Amir Luqman di persada fesyen antarabangsa.

“Ketika itu usia saya baru menjangkau 22 tahun, ia merupakan pencapaian terhebat saya kerana idea saya diterima oleh golongan yang lebih senior dan pakar di bidang fesyen dalam perbincangan meja bulat tentang batik,” ujar beliau ketika membuka bicara di studio yang terletak di Robson Heights baru-baru ini.

Memiliki diploma dalam bidang rekaan fesyen dari International Fashion Training Centre (IFTC), kreativiti Amir tidak terhad pada penghasilan pakaian semata-mata, malah beliau meluaskan skop kerjayanya dengan menjadi koordinator pakaian untuk kebanyakan produksi terkenal di Malaysia.

l Peluang memandu Nissan Sylphy

Kesibukan tugasan harian dan komitmen dengan produksi membuatkan sebahagian besar masa Amir diperuntukkan di luar rumah. Bererti kenderaan beliau umpama ‘pejabat’ yang menyimpan banyak barangan seperti sampel kain, dokumen dan macam-macam lagi.

“Saya tidak nafikan sebagai pereka fesyen bebas, saya memerlukan kenderaan untuk bergerak. Justeru saya mencari satu kereta yang bersesuaian dalam menonjolkan imej saya sebagai seorang pereka fesyen,” kata Amir yang berpeluang memandu uji Nissan Sylphy.

Seiring dengan kenaikan harga bahan api di seluruh dunia, beliau berpendapat amat sesuai untuk individu yang banyak menghabiskan masa di jalan raya untuk ke sana-sini sepertinya.

Ini kerana Nissan Sylphy didatangkan dengan enjin serba aluminium MR20DE yang direka bagi memenuhi pemanduan harian yang optimum.

Tork akhiran-rendah mencukupi yang mendatar sekitar kelajuan pertengahan hingga tinggi bermakna 90 peratus tork boleh dicapai daripada 2,000 rpm sekali gus memaksimumkan keupayaan enjin.

Generasi ketiga Nissan Xtronic CVT (Transmisi Boleh Ubah Berterusan) memberi kelancaran dalam penukaran gear dan mengekalkan tork optimum pada sesuatu tekanan kuasa yang diperlukan.

Pada masa sama ia juga menitikberatkan isu alam sekitar dengan penjimatan minyak 16 kilometer seliter yang mesra alam

Amir tidak menafikan, kenderaan itu mampu mempengaruhi tanggapan pertama seseorang yang berurusan dengannya.

Setelah mencuba memandu Nissan Sylphy, beliau mendapati nilai praktikal pemanduan kereta tersebut banyak memberi inspirasi kepada beliau dalam menghasilkan rekaan.

Amir menambah, sesuai dengan maksud namanya yang diambil daripada perkataan Inggeris ‘sylph’ melambangkan semangat angin (udara) yang bersama dengan bumi, air dan api.

Selain reka bentuk luaran yang pernah menerima anugerah, Amir turut kagum dengan kemasan dalaman Nissan Sylphy yang disifatkannya sebagai sofistikated.

“Sebagai pereka fesyen, saya banyak memberi fokus terhadap reka bentuk. Paling menarik perhatian saya ialah kerusi berbentuk seumpama kerang yang bergaya, disarung pula dengan fabrik ‘Masumi’ yang berkualiti tinggi dan kalis calar. Kemasan kayu yang terletak di bahagian dashboard dan pintu juga nampak begitu mewah dan menarik,” jelas Amir yang memandu Nissan Sylphy berenjin 2.0 berwarna putih.

l Penglibatan dalam industri filem

Bagi setiap pereka fesyen pastinya mempunyai tema atau mengetengahkan identiti tertentu, Amir juga tidak terkecuali, beliau menjadikan batik sebagai inspirasi utama dalam setiap hasil seninya.

“Bagi saya batik amat praktikal, tidak lapuk ditelan zaman dan amat feminin,” jelas Amir yang banyak menonjolkan unsur pragmatik dalam penghasilan busana wanita.

Rekaannya pernah disarungkan oleh nama-nama glamor tanah air seperti Datin Sri Tiara Jacquelina, Kavita Sidhu, Ida Nerina, Datin Natasha Hudson, Erra Fazira dan Nora Danish.

Manakala di peringkat Asia pula, nama Amir mula dikenali apabila beliau menyiapkan busana untuk dipakai ketika majlis festival untuk aktres terkenal Thailand, Inthira Charoenpura juga Krisdayanti dan Rossa dari Indonesia.

Bagi peserta peringkat akhir Anugerah Pereka Minggu Fesyen KL anjuran The Star pada tahun 2005 ini, tiada apa yang lebih penting dari melihat rekaan fesyen berasaskan batik menjadi tumpuan di peringkat antarabangsa.

Utusan Malaysia

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: